Isnin, 1 September 2014 | 4:19pm
PELUMBA Moto3 Malaysia, Muhammad Hafiza Rofa. - Foto Ihsan motogp.net.au

Tiket MotoGP milik Hafiza jika kekal prestasi konsisten

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 Malaysia yang sedang meningkat naik, Muhammad Hafiza Rofa berpeluang menerima tiket 'wildcard' pada perlumbaan pusingan ke-17 perlumbaan MotoGP Dunia pada Grand Prix Malaysia di Litar Sepang, mulai 24 hingga 26 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata apa yang perlu dilakukan Hafiza ketika ini adalah mempamerkan prestasi konsisten yang meyakinkan agar tidak terlepas peluang beraksi di hadapan peminat sukan permotoran tempatan.

"Kita tidak mahu janji akan beri tiket 'wildcard' itu kepada Hafiza buat masa ini walaupun dia adalah pelumba terbaik setakat ini.

"Apa yang boleh dikatakan, kalau Hafiza mengekalkan prestasi di perlumbaan CEV Repsol Sepanyol, Insya-Allah, tiket itu akan jadi milik dia," katanya.

Hafiza, 18, adalah pelumba kejuaraan FIM CEV Repsol 2014 yang bernaung di bawah pasukan SIC Ajo.

Beliau pernah menyertai ujian rasmi terakhir Kejohanan Dunia Moto3 di Litar Jerez, Sepanyol sebagai pelumba gantian kepada rakan senegara, Hafiq Azmi yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan tangan kanan, Mac lalu.

Di Litar Jerez, Hafiza menamatkan keseluruhan 83 pusingan dengan merekodkan masa terbaik 1:53.100s.

Sementara itu, Razlan melahirkan kebimbangan terhadap prestasi pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Ongetta-AirAsia yang agak merosot musim ini.

"Kalau tengok betul-betul prestasi semua pelumba Malaysia setakat ini, Zulfahmi amat mengecewakan sebab kita tahu dia boleh buat yang lebih baik.

"Selepas pusingan ke-11 dan berbaki beberapa pusingan sebelum ke Malaysia, saya harap Zulfahmi dapat buat sesuatu untuk menaikkan prestasi demi peminat yang akan menonton aksinya di Sepang nanti," katanya.

Bagaimanapun, Razlan berpuas hati dengan prestasi Hafiq Azmi dari SIC Ajo yang menunjukkan peningkatan ketika sesi latihan serta pusingan kelayakan, namun masih kurang menyengat ketika dalam perlumbaan.

Dalam pada itu, Razlan berkata beliau kagum dengan pelumba Moto2 pasukan Petronas Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah yang dapat mengumpul mata pada setiap pusingan perlumbaan. - BERNAMA

235 dibaca
Berita Harian X