Selasa, 10 March 2015 | 6:03am

Kuasai bahasa melalui prinsip ilmu, bukan warisan

Antara kisah kejayaan pelajar yang menarik perhatian hasil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lalu ialah kecemerlangan Saaya Harada. Dia gadis remaja Jepun yang baru tujuh tahun tinggal di Langkawi kerana mengikut keluarganya yang berniaga. Dia mendapat 9A, termasuk subjek Bahasa Melayu.

Daripada seorang remaja yang tidak tahu sepatah perkataan Bahasa Melayu tujuh tahun lalu, minggu lalu dia membuktikan dirinya sebagai pelajar tunggal SMK Kedawang yang memperoleh 9A. Kini dia boleh bertutur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik.

Bagaimana dalam hanya tujuh tahun, pelajar asing ini boleh menguasai bahasa Melayu? Boleh memahami pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu? Bagaimana boleh 'menewaskan' calon lain di SMK Kedawang yang mewarisi bahasa Melayu?

Bukankah selama enam tahun di sekolah rendah, dan enam tahun di sekolah menengah, kebanyakan pelajar kita belum dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Malah sebahagian pelajar Melayu lemah bahasa Melayunya?

Harada adalah anak bongsu daripada tiga beradik berasal dari Yamaguchi, Jepun. Dia tiba di Langkawi pada tahun 2007 kerana mengikut ibu bapanya yang bekerja di sini, khabarnya membuka restoran Jepun.

Harada mengakui dulu dia langsung tidak boleh bercakap bahasa Melayu, tetapi kini gembira apabila lulus cemerlang dalam bahasa itu dalam SPM.

Pelajar yang menjadi kebanggaan SMK Kedawang memperoleh A+ dalam Matematik, A bagi subjek Bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik Tambahan dan Biologi. Manakala bagi Pendidikan Moral serta Fizik dia memperoleh A-.

Kejayaan Harada menguasai bahasa Melayu, serta bagaimana dia memanfaatkan bahasa ini untuk meraih kecemerlangan dalam SPM, membuktikan kaedah ilmu amat penting. Subjek bahasa juga perlu dipelajari melalui kaedah ilmu bahasa. Pewaris sesuatu bahasa bukan secara automatik boleh mahir dalam bahasa ibundanya.

Kita boleh melihat bagaimana kaedah warisan tidak menjamin kekuatan kepada sesuatu bangsa. Sebagai contoh, Islam yang diturunkan secara warisan, hanya secara luaran memperkenalkan kita kepada manusia dengan nama Islam, tetapi manusia itu lemah akidah serta penerapan cara hidup Islamnya, kerana kurang mendalami Islam sebagai suatu ilmu dan tasawwur.

Langkah menguasai bahasa

Ada beberapa langkah yang perlu dilalui dalam proses menguasai sesebuah bahasa. Pertama, ia harus belajar menyebut perkataan dengan betul. Dalam konteks bahasa Melayu, prosesnya agak mudah, kerana perkataan bahasa Melayu disebut sebagaimana ia ditulis.

Langkah kedua ialah menguasai perbendaharaan kata dan tata bahasa atau nahu. Dengan tahu tata bahasa, kita boleh membina pelbagai ayat yang betul dan berkesan. Semakin banyak perbendaharaan kata yang kita kuasai, semakin banyak kita dapat membina ayat yang bermakna dan betul. Kita juga boleh memilih diksi yang paling tepat, dan dalam laras bahasa yang tepat bagi sesuatu bidang ilmu.

Langkah ketiga ialah proses berterusan mendengar, menulis dan membaca dalam bahasa yang sedang kita pelajari. Dengan mendengar, kita bukan sahaja dapat menambah kosa kata baharu, malah boleh memastikan intonasi sebutannya. Dengan menulis, kita membiasakan memilih perkataan atau diksi yang tepat bagi sesuatu tujuan penulisan. Dengan membaca pula kita dapat melihat dan menghayati ayat yang betul dan berkesan dalam menyampaikan sesuatu wacana.

Langkah keempat, ialah membiasakan diri bertutur dalam bahasa yang kita pelajari. Lebih baik jika dapat berbual dengan penutur asli bahasa tersebut. Pertuturan membiasakan kita untuk memilih perkataan dan membina ayat secara spontan, dalam usaha menyampaikan perasaan atau idea secara jelas dan berkesan.

Langkah itulah yang dilalui Saaya secara sistematik, tekun dan berdisiplin. Dia dikelilingi elemen bahasa Melayu dan sosial yang baik. Oleh sebab dia mempelajari bahasa Melayu melalui prinsip ilmu, maka tidak hairanlah Harada mendapat A bagi Bahasa Melayu. Sebaliknya, ada pelajar Melayu kurang cemerlang dalam bahasa Melayu kerana tidak mendalami prinsip ilmu, melainkan bergantung kepada faktor warisan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

88 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »