Sabtu, 21 March 2015 | 12:01am
Pisang Crispy Coklat Keju di Restoran Ayam Ghantari di Puchong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
RESTORAN Ayam Ghantari di Puchong - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PAKET Kecak di Restoran Ayam Ghantari di Puchong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
DEPE Ghantari di Restoran Ayam Ghantari di Puchong. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Iga panggang cicah sos istimewa


HIDANGAN istimewa di Restoran Ayam Ghantari di Puchong - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Deretan iga atau tulang rusuk lembu jenis premium diperasakan sos istimewa Ghantari, dibakar atas pemanggang memang mencetuskan haruman semerbak sekitar Medan Selera Lokas Makana, Taman Puchong Utama, Selangor.

Sekiranya anda penggemar makanan Nusantara, hidangan iga bakar, ayam atau puyuh bukanlah menu asing kerana hidangan berkenaan popular di negara seberang, Indonesia.

Biasanya, hidangan berkenaan enak dimakan bersama nasi putih, ulaman dan pelengkap rasa (sos) berbeza fenomena ayam penyet bersama sup kosong yang boleh ditemui di mana-mana di seluruh negara.


PAKET Juragan di Restoran Ayam Ghantari di Puchong - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menu unik

Warung Ghantari, gerai milik tiga anak tempatan menyediakan menu unik pertama seumpamanya di negara kita menggunakan cara memasak dari seberang tetapi idea dan rempah tempatan.

Mempopularkan tulang rusuk diperap rempah buatan sendiri, direbus lebih empat jam dan akhirnya, dibakar selama beberapa minit nyata berjaya mencipta satu hidangan baharu menyelerakan.

Dagingnya lembut dan mudah dipisahkan daripada tulang, sekali gus menjadi sebati apabila dicicah sos pedas manis, resipi salah seorang pengasas, Shamsul Mohd Halime, 37.

Bagi pelanggan yang tidak berani mencuba iga bakar, mereka boleh menikmati ayam bakar organik dan puyuh bakar. Juadah ini enak dimakan ketika panas sahaja.

Selain itu, penggemar makanan laut ditawarkan hidangan ikan siakap dibaluti rempah ratus dan petai, boleh dimakan bersama hidangan lengkap atau diratah.


PEMILIK Restoran Ayam Ghantari dari kiri, Shamsul Mohd Halime, Donald Angew dan Jasri Juzaili - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tawar pakej promosi

Sekiranya datang dalam kumpulan besar, pelanggan boleh mempelbagaikan hidangan menerusi pakej promosi Barongan (kombinasi ayam dan iga), Kecah (ayam, puyuh) atau Juragan (dua iga).

Tidak ketinggalan, perkembangan budaya dan sejarah Nusantara menjadikan tempe atau turut dikenali sebagai koji di China, salah satu pelengkap makanan yang semakin diterima masyarakat tempatan.

Menurut pengasasnya, Jasri Juzaili, hidangan Nusantara kurang lengkap tanpa tempe, justeru mereka mempelbagaikan sumber kacang soya secara komersial menerusi inovasi baharu.

"Tempe banyak khasiat dan mudah diterima. Kami cuba hidangan baharu gabungan Nusantara dan Jepun, iaitu Selimut Miyabe iaitu ikan Shashimi dibalut tempe, diikat menggunakan daun kucai dan digoreng rangup," katanya.

Uniknya, semua hidangan dihidangkan bersama sos Ghantari pedas manis diolah sendiri Shamsul, yang pengalaman dalam industri makanan (F&B) hampir 20 tahun.

Sos olahan sendiri

Katanya, beliau terpaksa melakukan penyelidikan dan kajian rasa sos selama hampir tiga bulan sebelum memperoleh rasa diinginkan.

"Kami cuba menjenamakan sos pedas manis sebagai identiti Ghantari. Semua hidangan termasuk hidangan baharu nanti, akan disaji bersama sos pedas manis.

"Sejak dibuka kepada orang ramai setahun lalu, kurang 10 kali saya mencuba masakan sendiri khususnya ketika buat menu baharu," katanya yang dibantu tujuh kakitangan lain.

INFO
- Medan Selera Lokas Makana (Jalan PU 13/1)
- Waktu Operasi: 6 petang - 12 malam (hujung minggu dilewatkan sejam)
- Twitter dan Instagram: @AyamGhantari

277 dibaca
Berita Harian X