Isnin, 30 March 2015 | 8:51pm

ASUM senarai 16 perenang ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih renang kebangsaan, Paul Birmingham berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mempertimbangkan jumlah perenang yang disyorkan ke Sukan SEA di Singapura, Jun ini.

Beliau berkata berdasarkan persembahan cemerlang pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang berakhir semalam, banyak lagi perenang layak ke Sukan SEA.

"Banyak perenang mencatat masa peribadi terbaik dan ia petanda yang sangat baik untuk Malaysia. Saya juga berharap sebilangan perenang yang hampir melepasi masa kelayakan turut diberi pendedahan," katanya

Menurutnya, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyenarai pendek 16 perenang untuk Sukan SEA dari 5 hingga 16 Jun ini,

"Sudah pasti Singapura dan Thailand masing-masing mungkin akan menghantar kira-kira 50 perenang. Diharap MOM akan menimbang 16 perenang ini," katanya.

Ketua jurulatih itu juga kagum dengan pencapaian perenang muda khususnya, Wong Fu Kang yang meleburkan rekod kebangsaan berusia 15 tahun dalam acara 100 meter kuak dada dengan catatan masa 1:02.56s, sekali gus memadamkan rekod 1:02.59s milik perenang Sabah, Elvin Chia.

Beliau juga berkata perenang Sarawak, Welson Sim merakamkan masa yang lebih baik dalam acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masing-masing 1:49.67s dan 3:53.91s.

"Dia baru berusia 18 tahun dan hampir layak ke Sukan Olimpik. Dia mempunyai masa dua setengah tahun lagi....sekiranya dapat memperbaiki catatan dua saat lagi, maka tempat ke Sukan Olimpik sudah dijamin...saya amat positif," katanya.

Birmingham juga kagum dengan persembahan Alwyn Tan yang berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 50m gaya bebas dengan catatan masa 23.10s serta perenang wanita, Khoo Cai Lin yang menang pingat emas dalam acara 800m gaya bebas.

Pada kejohanan itu, enam perenang melepasi had kelayakan 'B' untuk layak ke Kejohanan Dunia FINA di Kazan, Rusia, Ogos ini.

Perenang lelaki tersebut ialah Welson Sim (200m dan 400m gaya bebas), Yeap Zheng Yang (200m gaya bebas), Wong Fu Kang (100m kuak dada) dan Kevin Yap (1,500m gaya bebas) manakala perenang wanita ialah Jing Eng (50m kuak dada) dan Khoo Cai Lin dalam acara 400m gaya bebas. - BERNAMA

378 dibaca
Berita Harian X