Khamis, 2 April 2015 | 12:04am

Telur kerengga pemikat betok


TELUR kerengga yang belum dibersihkan

ALOR GAJAH: Setiap kali musim cuti sekolah, penulis pasti terkenang pengalaman sewaktu zaman kanak-kanak yang menyertai keluarga lebih dewasa mencari anak-anak sungai, lubuk dan parit di sekitar kampung menjejak ikan.

Sudah pasti ikan keli, puyu, haruan, bujuk, limbat, sebarau dan talapia hitam menjadi sasaran.

Tidak kurang juga ikan putih, sepat siam, sepat ronggeng dan baung menjadi mangsa. Aku bersama rakan-rakan juga tidak ketinggalan mengatur rancangan menjejaki kubang kerbau yang menjadi lubuk ikan di sekitar kampung.


YUSRI Madi sedang menjolok sarang kerengga untuk mendapatkan telur.

Sudah pasti ikan puyu atau betok...yang menjadi pilihan kerana ikan ini amat lasak dan mampu hidup di darat tanpa air bagi tempoh lama.

Untuk memancingnya, kita memerlukan kepakaran dan memilih umpan yang betul serta sesuai...pastinya telur atau anak kerengga yang baru menetas menjadi pilihan.

Bagi Yusri Madi, umpan telur kerengga paling `berhantu' bagi menjinakkan ikan puyu dan bagi kaki pancing di Kampung Cherana Puteh, Melaka.

Ini menjadi kemestian setiap kali sekiranya hendak memancing ikan yang turut dipanggil betok bagi penduduk di negeri Hang Tuah.


PROSES membersihkan telur kerengga.

"Tidak semua sarang kerengga ada telurnya...kita mesti tahu sarang yang ada telur. Pertama, lihat dulu sarang berkenaan, jika ada sedikit (tiga atau lima helai) daun kering ia amat sesuai. Jika terdapat daun kering melebihi daun hijau, menandakan telur kerangga sudah menetas.

"Kedua, jika ingin mengambil telur kerengga kita perlu lihat bulan Islam harus genap di bulan berkenaan. Jika hari berkenaan hari bulan ganjil elok lupakan. Kita hanya akan memperoleh anak-anak kerengga yang kecil keputihan. Istilahnya telur sudah melepas (menetas)," katanya.

Turut bersama memungut telur kerengga bapa saudaranya, Jamlus Hamid dan dua anak saudara.


PROSES mengasingkan telur kerengga dari daun dan ranting.

Katanya, untuk memperoleh telur kerengga berkenaan kita perlu menjolok buluh yang dipasang kerondong seperti tangguk yang diperbuat daripada upeh pinang.

"Selepas memperoleh telur berkenaan, kita perlu berhati-hati supaya tidak pecah kerana ia amat sensitif pada tekanan. Bagi mengasingkan telur dengan kerengga yang jatuh bersama di dalam kerondong, kita perlu menggunakan daun kelapa kering yang dibakar.


TELUR kerengga yang telah dibersihkan.

"Bukan setakat di situ, telur kerengga yang diambil itu kemudian direbus bersama daun kunyit dan sedikit garam. Daun kunyit digunakan untuk menimbulkan aroma dan sebagai pemikat ikan. Kebiasaan sebiji telur kerengga untuk umpan seekor ikan puyu dan mata kail yang digunakan harus bersaiz kecil nombor lapan atau sembilan," katanya.


RUPA telur kerengga yang dijolok dari sarang.

203 dibaca
Berita Harian X