Rabu, 8 April 2015 | 1:01am

Warga tua maut cuba halang penyamun

KUALA LUMPUR: Seorang warga tua maut dipercayai dipukul ketika cuba menghalang seorang lelaki yang cuba menyamunnya di halaman rumahnya di Jalan 17/48, Petaling Jaya, kira-kira jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata Ang Hun Mung, 66, seorang pesara, dipercayai dipukul sehingga maut selepas cuba menghalang suspek daripada melarikan beg miliknya.

Menurutnya, mangsa dipercayai sedang menyiasat halaman rumah bersebelahan yang juga miliknya yang disyaki dipecah masuk oleh lelaki berkenaan berusia 20-an.

Suspek cuba merampas beg mangsa ketika menyedari kedatangannya di rumah itu sehingga berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, suspek dipercayai telah memukul mangsa, bagaimanapun telah gagal merampas beg berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

52 dibaca
Berita Harian X