Sabtu, 18 April 2015 | 8:16pm

Taruhan Hans untuk Lawak Ke Der 2015, berhasil


PILIHAN barisan pelawak oleh Hans Isaac pada persembahan komedi Lawak Ke Der 2015 berjaya menghiburkan peminat yang hadir di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR : Barisan pelawak pilihan pengarah dan penerbit Hans Isaac untuk persembahan Lawak Ke Der 2015 kali ini ternyata berjaya menghiburkan peminat yang hadir di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam pembukaannya, Khamis lalu.

Hans mengambil risiko dengan mempertaruhkan pelawak baru seperti Bocey dan Reyza Mukmin bagi menjayakan program lawak itu. Beliau berasa bangga dan beranggapan barisan pelawak berkenaan sebagai pilihan yang tepat.

"Saya begitu berbangga dengan mereka kerana berjaya membuktikan bakat lebih penting daripada populariti semata-mata. Ada pihak yang mempertikaikan barisan pelawak kali ini kerana berpendapat nama mereka tidak cukup besar dalam industri.

"Sebagai penerbit, saya rasa persembahan kali ini sangat padat dan saya amat berpuas hati kerana semua pelawak mempunyai tahap dan identiti tersendiri," kata Hans ketika ditemui pada sidang media selepas pementasan Lawak Ke Der 2015 di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini.

Lawak Ker Der 2015 dipentaskan bermula 16 hingga 19 April itu membariskan pelawak popular iaitu Harith Iskander, Afdlin Shauki, Dougles Lim dan menggunakan perantara pelakon Sherry Alhadad.


SHERRY Al-Hadad pada persembahan Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sherry selaku satu-satunya pelawak wanita berjaya mencuri perhatian ramai dengan persembahan tarian pembukaan menerusi lagu Who Run The World, yang dipopularkan oleh Beyonce.

Walaupun sekadar berperanan sebagai perantara, kehadiran Sherry mewarnai setiap segmen selingan berjaya memberikan impak kepada hadirin. Aksi selambanya membuatkan penonton tidak kering gusi dengan keletahnya.

Sketsa kenduri kahwin kumpulan Bocey juga berjaya mencuri perhatian. Bukan saja penonton, malah mereka sendiri kadang kala tidak dapat menahan ketawa dengan keletah masing-masing.


KUMPULAN Bocey pada persembahan Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelawak berbangsa Cina, Douglas Lim memilih untuk beraksi tanpa skrip dan mengekalkan komedi spontan seperti sebelum ini. Selain membincangkan isu semasa seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), Douglas mengambil langkah berani dengan bercerita mengenai perbelanjaan isterinya.

Afdlin Shauki pula memilih untuk bercerita mengenai fizikalnya yang berbadan besar serta kelebihan bertubuh begitu. Pemilihan topik itu berdasarkan isu perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahari yang sebelum ini menegur Abam (Bocey) berhubung ungkapan 'Gemuk Is Awesome'.


Harith pada persembahan komedi Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Harith Iskander berjaya mendapat sorakan gemuruh dengan memilih topik laman sosial Instagram untuk jenaka lawaknya kali ini. Harith berkongsi komen lucu peminat pada gambar yang dimuat naik oleh beberapa artis popular.

Segmen tribute khas buat Allahyarham Harun Salim Bachik ditayangkan bagi memperingati jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam industri komedi tanah air berjaya membuat penonton sebak dengan pemergian sebutir permata yang begitu berbakat.

189 dibaca
Berita Harian X