Selasa, 21 April 2015 | 8:01pm

Chong Wei, Nicol calon Olahragawan, Olahragawati 2014


DATUK Jamil Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2014 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Dua tokoh sukan tersohor negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David sekali lagi tersenarai dalam pencalonan bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2014.

Biarpun Chong Wei masih menunggu keputusan ujian doping daripada pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) namun bekas pemain nombor satu dunia badminton itu masih memahat nama di persada sukan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh berkata 12 atlet dicalonkan untuk merebut gelaran Olahragawan manakala lapan untuk anugerah Olahragawati negara. "Pemilihan calon Olahragawan dan Olahragawati adalah mencabar memandangkan setiap calon telah membuktikan kejayaan masing-masing sepanjang tahun lalu dan pemilihan mereka adalah berdasarkan kriteria mutu dan kualiti sukan yang dipersembahkan oleh atlet.

"Kami juga sedang mengusahakan agar semua atlet yang dicalonkan hadir pada majlis itu kecuali bagi mereka yang sedang mengikuti kejohanan di luar negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2014 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Anugerah sukan berprestij kali ke-49 itu dijadual berlangsung pada 28 April ini. Antara calon yang bakal mencabar Chong Wei ialah atlet bina badan negara Sazali Samad, Hafifi Mansor (angkat berat), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Lim Chee Wei (karate), Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Mohd Al-Jufferi Jamari (silat), Mohamad Fairus Abd Jabal (boling padang), Ong Beng Hee (skuasy), Ooi Tze Liang (terjun) dan atlet tenpin boling Mohd Rafiq Ismail.

Nicol, yang mengungguli anugerah itu sebanyak sembilan kali akan dicabar oleh Tan Li Lian (bina badan), Syakilla Salni Jefri Krisnan (karate), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Sin Li Jane (tenpin boling).

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, sembilan lagi anugerah dipertandingkan termasuk pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, olahragawan dan olahragawati paralimpik, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Jawatankuasa pemilihan pemenang anugerah itu terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) serta wakil media.

Mengulas mengenai penyertaan persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam anugerah berkenaan, Jamil berkata hanya 14 daripada 47 persatuan dan Majlis Paralimpik Malaysia mengemukakan pencalonan atlet masing-masing. - BERNAMA

168 dibaca
Berita Harian X