Sabtu, 25 April 2015 | 9:55am

Mungkin saingan empat penjuru di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh bermula jam 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Ia dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama-nama calon bertanding.

Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin menyerahkan borang pencalonan jam jam 9.03 pagi, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan borang jam 9.05 pagi.

Setakat ini dua calon bebas turut menyerahkan borang pencalonan iaitu Salleh Isahak, 53, dan Azman Shafie, 50, manakala Dr Abdullah Zawawi, 47, membatalkan hasrat untuk bertanding dan tidak menyerahkan borang pencalonan.

Beliau memberi alasan enggan bertanding atas alasan sudah ada dua calon Bebas menawarkan diri selain mahu memudahkan pengundi Permatang Pauh membuat pemilihan.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Pada pilihan raya umum lalu, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 11,721 undi.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013. Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015).

46 dibaca
Berita Harian X