Isnin, 4 Mei 2015 | 12:03am
LBS turut membangunkan hartanah perniagaan.
PROJEK hartanah kediaman yang dimajukan LBS di Cameron Highlands.

Kesepakatan adik-beradik rahsia kecemerlangan LBS


SATU lagi projek hartanah yang dimajukan LBS.

KISAH kejayaan perniagaan keluarga kalangan kaum Cina di negara ini bukan sesuatu yang baru dan resipi sama digunakan syarikat pemaju hartanah terkemuka tempatan, LBS Bina Group Bhd (LBS), untuk bertahan selama berdekad lamanya.

Kesepakatan adik-beradik daripada keluarga Datuk Seri Lim Bock Seng itu juga menyebabkan syarikat itu sangat dikenali dalam kalangan peserta industri hartanah, perbankan dan pelanggan sebagai 'juara perumahan rakyat untuk semua lapisan masyarakat'.

LBS yang diasaskan sebagai perniagaan keluarga sekitar 1960-an diambil daripada pangkal nama Lim Bock Seng, 82, yang kini adalah pengerusi syarikat itu dan masih lagi memantau perkembangan operasinya.

Syarikat itu kini diterajui oleh anak lelaki sulungnya, Datuk Lim Hock San yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan sejak 1992 selepas peralihan perniagaan LBS daripada sebuah syarikat pembinaan menjadi pemaju hartanah.

Adik-beradik daripada keluarga Lim juga adalah pemegang saham terbesar syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 2002 itu.

Hock San, 55, ketika ditemui di ibu pejabat LBS di Seri Setia, Petaling Jaya, berkata rahsia syarikat itu dapat bertahan lama adalah hasil didikan bapanya yang mahukan anak bekerja keras dan berpegang kepada janji.

"Bapa tidak menerima pendidikan tinggi, hanya belajar di peringkat sekolah rendah selama tiga tahun.

"Namun begitu, dalam menjalankan perniagaan kami memegang prinsip bapa yang pentingkan kepercayaan pelanggan.

"Sebab itulah beliau menekankan kepentingan berpegang kepada janji walaupun ia sekadar diucapkan tanpa ada hitam putih.

"Bapa juga mementingkan pendidikan dan kami adik-beradik berjaya menamatkan pengajian ke peringkat tinggi serta menjadi profesional seperti akauntan dan jurutera," katanya.

Mengimbas perjalanan panjang syarikat yang berpusat di kawasan perindustrian Sungai Way, Petaling Jaya itu, beliau berkata LBS pada awalnya hanya menjalankan perniagaan pengangkutan dengan menjadikan sebuah lori sebagai aset syarikat sebelum beralih kepada sektor pembinaan pada pertengahan 1970-an.

Sebagai kontraktor pembinaan, katanya, LBS yang ketika itu masih diterajui bapanya giat menjalankan beberapa projek di sekitar Lembah Klang yang rancak menjalani proses pembangunan.

Antara projek yang kini menjadi mercu tanda pembabitan LBS dalam industri pembinaan adalah bangunan Kedutaan China di Jalan Ampang.

LBS terbabit dalam beberapa projek pembinaan lain di sekitar Lembah Klang, khususnya Subang Jaya dan daerah Ampang.


PENGARAH Urusan Kumpulan LBS Bina Berhad, Datuk Seri Lim Hock San. - Foto Sugumaran Suppiah

Hock San yang ketika itu melanjutkan pengajiannya di University of Wales, Cardiff dalam bidang kejuruteraan sivil, menanam impian untuk meneruskan perniagaan keluarga dengan cara lebih profesional. Beliau menamatkan pengajiannya pada 1982 dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama.

Pada tahun akhir pengajian, beliau menyerlahkan bakatnya dalam bidang kejuruteraan dengan merangkul tempat kedua Pertandingan Reka Bentuk Tempat Duduk Utama Stadium United Kingdom (UK) anjuran British Steel Corporation menerusi projek tahun akhirnya.

Sekembalinya ke tanah air, Hock San diberi tanggungjawab cukup besar sebagai anak lelaki sulung keluarga Lim apabila dilantik sebagai Pengarah LBS.

Beliau secara aktif terbabit dalam pengurusan operasi seharian syarikat itu. Selepas sedekad, beliau kemudian diberi tanggungjawab untuk mengemudi hala tuju LBS, khususnya menjelang peralihan syarikat menjadi pemaju hartanah daripada firma pembinaan.

"Peralihan itu yang diterajui saya sendiri adalah berikutan beberapa kekangan biasa yang dihadapi kontraktor pembinaan seperti kelewatan mendapat bayaran.


ANTARA projek hartanah kediaman yang dimajukan LBS.

"Susulan itu LBS mula menceburi sektor hartanah dengan projek sulung syarikat ialah memajukan tapak perindustrian dan perumahan Jelapang Maju seluas 60 hektar di Ipoh, Perak," katanya.

Nama LBS mula menyerlah apabila memeterai perjanjian bersama beberapa pemain badminton kebangsaan yang baru saja menerima hadiah iaitu bidang tanah daripada kerajaan Selangor susulan kejayaan menjulang Piala Thomas pada 1992.

Misbun Sidek bersama tiga adiknya, Jalani, Rahman dan Rashid serta pemain perseorangan, Foo Kok Keong dan Kwan Yoke Meng, adalah pemain yang memutuskan untuk memajukan tanah hadiah kejayaan memenangi Piala Thomas iaitu dua hektar tiap seorang, di Sungai Kuyoh, sebagai kawasan perindustrian.

Tanah itu mula dimajukan pada 1993 dan kini dikenali sebagai Kawasan Perindustrian Bukit Serdang. LBS memajukannya menjadi 296 unit rumah teres satu setengah tingkat.

Hock Seng berkata, kejayaan projek 'Piala Thomas' itu kemudian menjadi pemangkin kepada LBS untuk terus mengorak langkah sebagai pemaju hartanah tempatan.

"Syarikat sedikit demi sedikit mula membeli simpanan tanah dan memajukannya menjadi projek kediaman atau perindustrian. LBS mula berkembang ke kawasan seperti Seri Kembangan, Balakong dan Ipoh," katanya.

Prestasi kewangan memberangsangkan dari setahun ke setahun membolehkan perniagaan keluarga itu akhirnya bersedia untuk mengatur langkah lebih besar dengan rancangan penyenaraiannya ke Bursa Malaysia. Hock San berkata, bagi tujuan itu LBS tidak menghadapi masalah dari segi keperluan prestasi kewangan, namun menghadapi kekangan dari segi keluasan simpanan tanah minimum yang menjadi antara syarat penyenaraian syarikat hartanah.

"Berikutan itu, kami melaksanakan proses pengambilalihan berbalik syarikat Instant Green yang mempunyai simpanan tanah besar di China, tetapi berdepan masalah susulan krisis kewangan Asia pada 1997 hingga 1998.

"Proses itu selesai pada 2000 dan dua tahun kemudian, LBS disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Pengambilalihan berbalik itu sebenarnya menjadi 'serampang dua mata' kepada LBS kerana pelaksanaannya bukan saja membolehkan syarikat itu melepasi syarat penyenaraian malah membolehkannya memiliki aset di wilayah Zhuhai, China.

Kawasan itu mempunyai sebuah litar antarabangsa iaitu satu daripada dua litar perlumbaan di China selain Shanghai serta sebuah resort lapangan golf 36 lubang.

Hock San berkata, selama beberapa tahun LBS berjaya menyegarkan semula imej kedua-dua kemudahan itu yang sebelum itu agak suram berikutan krisis kewangan Asia.

"Kami juga sedang dalam peringkat persediaan untuk membangunkan projek perumahan dan perindustrian di kawasan itu," katanya.

Pada peringkat domestik, beliau berkata, LBS terus aktif sebagai pemaju hartanah dengan projek di sekitar Lembah Klang seperti Puchong dan Bandar Saujana Putra, Batu Pahat serta Cameron Highlands.

Sebagai sebuah syarikat yang bergerak maju, LBS juga tidak terlepas daripada menghadapi cabaran besar. Hock San berkata, LBS berdepan masalah kenaikan harga bahan binaan ketika kemuncak kemelesetan ekonomi global pada 2008 yang menyebabkan nilai jualan merosot teruk dan syarikat menanggung kerugian sepanjang tempoh itu.

Enggan mengalah dengan masalah itu, beliau berkata, LBS mula fokus kepada perniagaan dengan tumpuan lebih mendalam kepada rancangan membangunkan perumahan sederhana dan sederhana tinggi dan pada 2008, nilai jualan syarikat adalah RM107 juta.

Namun tumpuan yang lebih khusus kepada segmen terbabit melonjakkan nilai jualan LBS kepada RM662 juta tahun lalu. Bagi empat bulan tahun ini saja, nilai jualan sudah mencecah RM352 juta dan berada pada landasan kukuh mencapai sasaran jualan RM800 juta untuk 2012," katanya.

Percaya kepada jenama, Hock San berkata, resipi kejayaan LBS juga terletak kepada usaha menempatkan diri sebagai 'juara rumah rakyat' dan bagi tujuan itu LBS komited menyediakan rumah bermutu yang dibeli bagi tujuan kediaman keluarga pada harga berpatutan setanding kualiti bahan binaannya.

"Kami baru saja melaksanakan proses penjenamaan semula pada Julai tahun lalu. Serentak dengan itu, operasi perniagaan juga diperbaharui, termasuk menubuhkan unit pembinaan dalaman serta mengukuhkan unit perkhidmatan pelanggan," katanya.

Dari segi gaya kepemimpinan, Hock San berkata apa yang membezakan beliau dan bapanya adalah beliau lebih agresif manakala bapa lebih konservatif.

"Ketika menerajui syarikat, bapa ada juga menegur mengenai langkah agresif kami membeli satu demi satu simpanan tanah. Mungkin sebagai individu yang lebih berusia, beliau berhati-hati dalam setiap langkah.

"Namun, pada suatu hari beliau berjumpa dengan saya dan berkata 'awak sudah membuat perkara yang betul'," katanya sambil tersenyum.

PROFIL

Nama: Datuk Lim Hock San

Umur: 55 tahun

Jawatan: Pengarah Urusan LBS Bina Group Bhd

Jawatan Lain: Presiden Persatuan Hokkien Sungai Way; Presiden Persatuan Industri dan Perniagaan Petaling Selangor; Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Cina Petaling Jaya; Presiden Dewan Perniagaan Galakan Pelaburan Malaysia-Guangdong; Presiden Dewan Perniagaan Perdagangan dan Industri Malaysia di China-Guangdong dan Ahli Jawatankuasa

77 dibaca
Berita Harian X