Rabu, 10 September 2014 | 1:15pm

Iqram mohon maaf kepada Zaquan dan Ayu Raudhah


Pelakon, Iqram Dinzly

KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzly memohon maaf kepada Zaquan Adha dan isterinya, Ayu Raudhah jika isu berbangkit mencetuskan rasa kurang senang. Iqram yang menghubungi BH Online sebentar tadi menjelaskan apa yang dilakukan dalam filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (LBS3) sebahagian daripada tugas seorang pelakon.

Apa yang dijelaskan Iqram ini rentetan daripada tindakan Zaquan Adha memuat naik status di laman Twitter yang tidak sanggup melihat isterinya yang membawakan watak Zahirah dipukul suaminya, Shan dilakonkan Iqram.

"Untuk Ayu, jika apa yang saya lakukan ketika penggambaran membuatkan dia rasa tak selesa atau sakit, saya mohon maaf. Apa yang kita lakukan ketika itu atas perbincangan bersama. Saya memang tak ada isu dengan Ayu seperti yang diakuinya juga.

"Apa yang saya lakukan sebagai pelakon atas permintaan pengarah. Mungkin saya 'naik syeh' hingga tak sedar apa yang dilakonkan. Malah ada kawan pelakon saya cakap watak saya seperti benar-benar psiko dan gila.

"Untuk Zaquan, jika rasa lakonan itu membuatkan dia rasa tak suka atau mungkin mencabar dirinya sebagai suami yang tak berkelakuan sedemikian, saya minta dia kalau tak sanggup jangan tengok filem ini," kata Iqram.

Ditanya apakah semua ini sebagai sandiwara untuk melariskan tayangan filem LBS3, Iqram tidak berfikiran sebegitu.

"Saya tak kenal pun Zaquan secara peribadi. Tapi dia ada hak untuk buat begitu. Saya hormatinya. Kalau ada anggap ini sebagai sensasi untuk melariskan filem, saya rasa sebaiknya masyarakat dan penggemar filem ke pawagam untuk menontonnya sendiri," katanya.

372 dibaca
Berita Harian X