Rabu, 27 Mei 2015 | 12:03am
AMANITA membuat demonstrasi pada kursus induksi motosikal. - Foto Mohd Rafi Mamat
AMANITA pada majlis penutupan kursus induksi motosikal di pusat latihan IT Zon Timur Alor Akar. - Foto Mohd Rafi Mamat

AMANITA dekati masyarakat


KETUA Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Foto BERNAMA

SKUAD Aman Wanita (AMANITA) yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac tahun lalu terus diperkasa apabila menerima tambahan aset 33 skuter elektrik.

Penambahan aset berteknologi hijau itu diyakini mampu meningkatkan keupayaan skuad AMANITA untuk bergiat lebih cergas dalam program pencegahan jenayah dan pada masa sama, menyokong Program Amalan Hijau dan Teknologi Hijau PDRM.


ANGGOTA AMANITA diberi latihan menggunakan motosikal pada kursus induksi di pusat latihan IT Zon Timur Alor Akar. - Foto Mohd Rafi Mamat

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata sebagai permulaan, 33 unit skuter berkenaan akan digunakan skuad AMANITA di sekitar Lembah Klang, sebelum diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara bergantung kepada peruntukan dan keperluan.

"Penambahan aset ini adalah sebahagian daripada Program Amalan Hijau dan Teknologi Hijau PDRM. Kita yakin penggunaan aset ini mampu memperkasa keupayaan skuad ini terutama dalam rondaan pencegahan jenayah.


AMANITA melakukan lintas hormat ketika perbarisan sempena Hari Polis ke-208 di Dataran Kawad Pulapol, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jimat 23% bahan bakar

Pada masa yang sama, penggunaan teknologi hijau dengan kerjasama GreenTech Malaysia ini mampu memberi penjimatan sehingga 23 peratus penggunaan bahan bakar.

"Ia turut mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sehingga 19 peratus, sekali gus meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar," katanya ketika ditemui pemberita pada Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM, di Putrajaya, di sini, baru-baru ini.


ANGGOTA membuat perbarisan pada majlis penyerahan motosikal skuter AMANITA, Kenderaan MPV dan Motosikal URB di padang kawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak . - Foto Balqis Jazimah Zahari

Skuad AMANITA adalah inisiatif PDRM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan Mac tahun lalu, yang mana polis wanita dikerah mendekati setiap lapisan golongan hawa terutama suri rumah untuk mengetahui permasalahan berkaitan jenayah di kawasan persekitaran tempat tinggal mereka.


AMANITA menjalani latihan kemahiran menunggang. - Foto Mohd Rafi Mamat

Khalid berkata, skuad AMANITA yang ditubuhkan PDRM setakat ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat awam terutama suri rumah.

Berdasarkan statistik PDRM, kini ada 11,571 anggota polis wanita iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota polis di negara ini dan Khalid menetapkan sasaran untuk menambah keanggotaan sehingga 30 peratus.

Skuad dipercayai

Skuad AMANITA terbukti berkesan kerana mudah meraih kepercayaan masyarakat setempat terutama golongan suri rumah dan banyak membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan kejiranan masing-masing.

Dalam erti kata lain, suri rumah menjadi mata dan telinga pihak polis, manakala semua polis wanita adalah anggota Skuad AMANITA, perlu menjalin rangkaian kerjasama antara masyarakat setempat dan pihak polis.


AMANITA mempamerkan kebolehan mengendalikan motosikal sambil berdiri pada majlis penutup kursus induksi. - Foto Mohd Rafi Mamat

Menerusi kerjasama pintar ini, Skuad AMANITA turut berperanan mengajar dan memupuk kesedaran orang ramai khususnya wanita, mengenai keselamatan diri dan bagaimana cara melindungi kawasan kejiranan masing-masing.

Ia turut merangkumi kaedah mempertahankan diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, pencabulan dan jenayah siber.

Skuad AMANITA juga menyertai kegiatan masyarakat setempat seperti kenduri, kelas taici dan kelas memasak, yang secara tidak langsung mengukuhkan ikatan perhubungan mereka dengan masyarakat setempat.


AMANITA mempamerkan kebolehan menunggang pada majlis penutup kursus induksi motosikal. - Foto Mohd Rafi Mamat

"Saya berharap momentum hasil maklum balas yang baik ini dapat diteruskan Skuad AMANITA bagi memastikan kadar jenayah terutama membabitkan mangsa wanita dapat dikurangkan dan ditangani dengan sebaik mungkin," katanya.

Khalid berkata, selain penggunaan skuter elektrik berkenaan, PDRM juga mengamal pakai beberapa inisiatif hijau, antaranya di bangunan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

"Inisiatif hijau turut dilaksanakan menerusi pemasangan sistem Hibrid Revolo pada kenderaan peronda MPV Inspira PDRM bagi menguji keberkesanan dalam aspek penjimatan dan pengurangan karbon dioksida," katanya.


PERSEMBAHAN AMANITA pada majlis penutup kursus induksi motosikal. - Foto Mohd Rafi Mamat

Belanja RM30.7j untuk teknologi hijau

Beliau berkata, PDRM membelanjakan kira-kira RM30.7 juta bagi perolehan hijau pasukan keselamatan itu melalui peruntukan tahun ini.

"Kita perlu sedar dalam mengaplikasikan teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan mutu hidup masyarakat dengan menjamin kelestarian alam sekitar yang lebih mapan.

"Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan mutu kehidupan dan masyarakat sekiranya gangguan itu dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar dapat dikurangkan," katanya.

230 dibaca
Berita Harian X