Ahad, 7 Jun 2015 | 12:13am
PESERTA 'Jejak Mossy Forest' berselfie di puncak Gunung Irau di Cameron Highlands. - Foto Fazrol Nasir
PESERTA 'Jejak Mossy Forest' bergambar kenangan di puncak Gunung Irau di Cameron Highlands. - Foto Fazrol Nasir
ANTARA pepohon yang terdapat di 'Mossy Forest'. - Foto Fazrol Nasir
PESERTA 'Jejak Mossy Forest' melalui kawasan menarik di 'Mossy Forest'. - Foto Fazrol Nasir
'MOSSY Forest' dipenuhi lumut menghijau. - Foto Fazrol Nasir
PENGARAH Tourism Malaysia Pahang, melepasi laluan mencabar ketika mendaki ke puncak Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir
PESERTA 'Jejak Mossy Forest' ceria sebelum memulakan pendakian Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir

Indah bagai kayangan


CANTIK dan misteri. Persekitaran yang agak 'creepy' atau mistik di Hutan Berlumut juga dikenali sebagai Mossy Forest tidak ubah seperti memasuki terowong masa ke alam yang digambarkan dalam filem Lord Of The Rings atau Alice in Wonderland.

Disebabkan keindahan dan keunikan rupa bentuk dan flora serta faunanya yang mistik serta terletak di ketinggian kira-kira 1,9999 meter (6,561 kaki), maka ia pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Puteri Gunung Ledang membabitkan babak Laksamana Hang Tuah (lakonan Datuk M Nasir) bertemu dengan Puteri Gunung Ledang (Datin Seri Tiara Jacquelina) pada tahun 2004.

Hutan berlumut ini adalah satu daripada anugerah alam yang paling unik di Pahang dan terletak di Cameron Highlands yang patut dipulihara bagi tatapan generasi akan datang.


PENGARAH Tourism Malaysia Pahang, Faharuddin Hatmin berpaut pada akar ketika mendaki ke puncak Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir

Ia dipenuhi dengan lumut menghijau dari lantai hutan ke puncak pokok memberikan pemandangan yang cantik dan mendamaikan selain pepohon yang tumbuh adalah sangat tebal. Suasana lagi menarik di sebelah pagi apabila berkabus, lembap dengan hanya sedikit pancaran cahaya matahari singgah ke lantai hutan menyebabkan permukaan tanahnya seperti hamparan permaidani.

Terdapat juga pelbagai jenis fauna dan flora termasuk anggerik liar, periuk kera, tumbuhan aktoparasit tanah tinggi, kacip fatimah yang menjadi tumpuan lensa jurugambar dan pendaki untuk merakamkan keunikan hutan.

Jemputan Tourism Malaysia Pahang menerusi program Jejak Mossy Forest mengamit penulis untuk melihat sendiri khazanah hutan berkenaan dan untuk ke situ bermula dengan  papan tanda Hutan Simpan Mossy Gunung Brinchang di jalan masuk utama terletak kira-kira 500 meter dari Hotel Corpthorne.


PESERTA 'Jejak Mossy Forest' berpaut pada akar ketika mendaki ke puncak Gunung Irau. - Foto Fazrol Nasir

Penulis bersama 25 peserta Jejak Mossy Forest diketuai Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Mohd Faharuddin Hatmin menginap di Hotel Corpthorne yang terletak kira-kira 1,600 meter juga kawasan tertinggi di pusat peranginan Cameron Highlands.   

Perjalanan ke pintu masuk Hutan Lumut melalui jalan berturap disajikan dengan pemandangan ladang teh BOH Sungei Palas sebelum belok ke kiri pada papan tanda Stesen Mikro Gunung Brinchang.

Malah laluan berturap ke puncak Gunung Brinchang menjadikan ia perjalanan ke puncak gunung setinggi 2,000 meter (6,666 kaki) dari paras laut tanpa perlu mendaki dan juga tempat tertinggi di Malaysia  yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor.

Dari kawasan tempat letak kereta, terdapat laluan jambatan (walkway) sepanjang 200 meter yang membawa pengunjung ke dalam hutan berlumut yang disediakan Jabatan Perhutanan termasuk tempat rehat bagi menikmati pemandangan menarik banjaran Titiwangsa.

Menariknya, laluan denai hutan ke puncak Gunung Irau setinggi 2,112 meter (6,932 kaki dari paras laut) yang mana 'mossy forest' lebih menarik dengan jarak kira-kira 2.35 kilometer dan mengambil masa pendakian antara tiga hingga empat jam mengikut kepantasan atau kecergasan individu.


SUASANA mistik dan persekitaran hijau di 'Mossy Forest' ketika mendaki Gunung Irau di Cameron Highlands. - Foto Fazrol Nasir

Peserta Program Jejak Mossy Forest turut diiringi jurupandu alam semula jadi, Ahmad Burhanuddin yang turut berkongsi pengalaman membawa pendaki dari dalam luar negeri sejak lima tahun lalu.

"Denai mendaki memang licin dan berselut tetapi semakin tinggi ke puncak Gunung Irau, keindahan dan keunikan rupa bentuk pokok yang disaluti lumut secara alam semula jadi di dalam Hutan Berlumut ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Memang ramai datang ke sini secara individu atau berkumpulan sehinggakan keadaan jalannya becak dan jika tersalah pijak selut yang dalam sehingga menyebabkan tapak kasut tercabut," katanya.

Sementara itu, nasib 25 peserta program Jejak Mossy Forest kurang elok ketika mendaki kerana hujan lebat ketika mahu menuruni puncak Gunung Irau dan terpaksa berhati-hati kerana permukaan licin dan akar kayu yang berselirat boleh menyebabkan pendaki tersandung dan cedera.

Namun, ia memberi pengalaman istimewa dan menarik kepada peserta untuk menikmati pemandangan indah tanpa perlu melancong ke luar negara.

Kami bersetuju bahawa hutan berlumut itu memang memiliki keunikan tersendiri dan berpotensi untuk menjadi produk pelancongan sukan lasak terbaru, justeru wajar semua pihak bekerjasama memelihara dan mengawal selia terutama berkaitan kebersihan.

Mohd Faharuddin juga berkata, Tourism Malaysia Pahang akan bekerjasama dengan agensi pelancongan dan pengusaha hotel dan inap desa di pusat peranginan tanah tinggi itu dengan sasaran kepada pelancong yang gemarkan aktiviti lasak.


'MOSSY Forest' pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Puteri Gunung Ledang. - Foto Fazrol Nasir

"Pahang memiliki banyak kawasan yang boleh dijadikan aktiviti lasak untuk diterokai seterusnya dijadikan pakej pelancongan baru dengan sasaran kepada pelancong berusia 18 hingga 40 tahun yang gemarkan cabaran. Pakej mendaki gunung, meneroka gua, menuruni jeram atau merentas hutan juga boleh menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negeri.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi pelancongan, pengusaha hotel, inap desa untuk menyediakan pakej yang berpatutan dan ini juga kita akan cuba perluaskan menjelang Tahun Melawat Pahang pada 2017 dengan sasaran menarik 15 juta pelancong," katanya.

FAKTA GUNUNG IRAU

  • Ketinggiannya antara 1,800 hingga 2,000 meter dari paras laut.

  • Hutan semula jadi yang lembap, berlumut dan basah sepanjang tahun.

  • Dilitupi hutan jenis dipterokarp atas dan hutan montane

  • Bersempadan antara Pahang dan Perak

  • Pendaki sebaik-baiknya memakai kasut getah atau boot

  • Tempoh pendakian dari puncak Gunung Brinchang ke puncak Gunung Irau ialah tiga hingga empat jam

  • Masa sesuai mendaki antara Mac hingga September.
  • 597 dibaca
    Berita Harian X