Selasa, 9 Jun 2015 | 12:02am
ZAHALINA Abdul Rahman menunjukkan koleksi di butik Bahari Asyek, Plaza Shah Alam Seksyen 9. - Foto Halim Salleh
REKAAN Syawal 2015 kali ini diubah suai kepada sentuhan kontemporari dengan potongan diperbaharui berdasarkan gaya klasik. - Foto Rosdan Wahid

Bahari Asyek serlah busana Melayu lama


SENTUHAN ciri klasik dan tradisional yang dipaparkan koleksi terkini Bahari Asyek, ternyata mempesona serta memperlihatkan keayuan si pemakai.

 

Bagi pencinta rekaan busana klasik dan tradisional, pastinya ia sesuatu yang dinanti-nantikan untuk dimiliki. Gaya rekaan persalinan seumpama itu jelas sekali, mampu menyerlah dan memaparkan citra kecantikan si pemakainya.

 

Masih mengekalkan rekaan klasik, koleksi Syawal kali ini mengetengahkan rekaan potongan moden dan lebih labuh daripada rekaan asal bagi mengetengahkan lagi tema klasik yang sememangnya sinonim dengan busana Bahari Asyek.

Pengarah Urusannya, Zahalina Ab Rahman, berkata koleksi kali ini menawarkan 30 rekaan baharu yang diberi suntikan eksklusif dan kontemporari supaya fesyen Melayu lama itu tidak ditelan dek zaman, walaupun mengharungi arus pemodenan. 


BUSANA tradisional Melayu ini akan sentiasa menjadi pilihan apatah lagi selepas diberi nafas baharu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat


ANTARA koleksi baju yang diperagakan pada pertunjukan fesyen Bahari Asyek. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Katanya, koleksi kali ini mengetengahkan fabrik kapas asli, sifon dan broket, yang direka menjadi potongan lebih menarik seperti kurung Tun Teja, yang dihasilkan daripada gabungan fabrik broket dan sifon agar membentuk kesan beralun lembut pada baju berkenaan.

"Masih lagi berteraskan tradisional, rekaan Syawal 2015 kali ini diubah suai kepada sentuhan kontemporari dengan potongan diperbaharui berdasarkan gaya klasik.

 

"Antara rekaan yang diketengahkan termasuk kurung Pahang, kebaya Kota Bharu, kurung Kedah, kurung Riau, kebaya labuh dan kebaya kembang.


PERTUNJUKAN Fesyen Hari Raya Koleksi Bahari Asyek. - Foto Rosdan Wahid

"Kecantikan busana ini diserlahkan lagi dengan penggunaan fabrik sifon selain fabrik kain kapas viscose dan rayon, yang menghasilkan corak warna blok, bersesuaian dengan kehendak fesyen anak muda masa kini.

"Selain dipakai menjelang Aidilfitri mahupun majlis rasmi, busana tradisional Melayu ini akan sentiasa menjadi pilihan apatah lagi selepas ia diberi nafas baharu," katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan 30 rekaan Syawal busana Bahari Asyek di Hotel Concorde, di Shah Alam, baru-baru ini.

 

Pengurus Operasi yang juga suami kepada Zahalina, Zailani Ab Ghani berkata, koleksi Syawal kali ini direka agar bersesuaian dengan nama komersialnya, Busana Bahari Asyek, yang berasal dari perkataan Melayu lama iaitu `jatuh cinta' kepada warisan silam yang indah dan molek, berseni halus lagi indah, sekali gus menjadi ciri tersendiri koleksinya.


PENGARAH Urusan Bahari Asyek, Zahalina Ab Rahman (tengah) pada majlis Pertunjukan Fesyen Hari Raya Koleksi Bahari Asyek. - Foto Rosdan Wahid

"Koleksi kali ini lebih istimewa kerana ia dicipta lebih labuh dan beralun lembut, berbanding rekaan sebelum ini selain menyerlahkan ciri kesopanan dan kesantunan si pemakai dengan menggabungkan unsur klasik dan moden untuk baju kurung moden, kaftan dan jubah.

 

"Untuk melambangkan karektor wanita dari sudut gaya tradisional ke moden, Bahari Asyek turut menggunakan fabrik berbunga dan corak kerawang. Apa yang lebih menarik, koleksi raya kali ini, rona terang dan gelap turut diketengahkan," katanya.

 

Koleksi Syawal Bahari Asyek dijual pada harga yang amat berpatutan iaitu antara RM280 sehingga RM1,800 sepasang bergantung kepada jenis fabrik.

Berita Harian X