Sabtu, 13 Jun 2015 | 12:00am
MOHD Nasir Hassan mencurah sos istimewa ketika menyediakan ikan bakar. - Foto Muhammad Sulaiman

Arang serlah kelainan Ikan Bakar Mabeles


ORANG ramai cuba memadamkan kebakaran di Kampung Pisang, Tawau. - Foto ihsan pembaca BH

MENCARI ikan bakar yang benar-benar memenuhi cita rasa kita, kadang-kadang memang 'memberikan cabaran'.

Maklumlah, bukan semua dihidangkan menepati kehendak selera kerana sekiranya ada kekurangan baik menerusi cara ia disediakan, kualiti ikan, malah kuah serta sos yang tidak enak selain layanan pula kurang mesra, terasa seolah-olah membazirkan masa dan wang berkunjung ke restoran atau gerai berkenaan.

Tambahan pula kebanyakan restoran yang menawarkan ikan bakar ini bukanlah benar-benar 'dibakar' atau dipanggang dengan bara api, sebaliknya hanya dipanggang di atas kuali leper. Ini menjadikan ikan atau makanan laut yang dikatakan dibakar itu tidak masak dengan sekata selain banyak menyerap minyak dan lemak.

Restoran Ikan Bakar Mabeles di Bandar Saujana Putra, Jenjarom boleh diharapkan dalam memberikan kepuasan menikmati hidangan itu.


PEMILIK Restoran Ikan Bakar Mabeles, Mohd Nasir Hassan di hadapan kedainya. - Foto Muhammad Sulaiman

Pengusahanya, Mohd Nasir Hassan, 44, rela turun padang mengetepikan imejnya sebagai 'tauke kedai' apabila membakar sendiri ikan untuk pelanggannya.

Usahanya itu adalah sebahagian daripada 'resipi rahsia' untuk terus mengikat selera pelanggan yang datang menjamu selera di restorannya.

"Saya memilih cara orang lama membakar ikan, iaitu menggunakan arang berbanding memanggang di atas kuali.

Berbanding kuali yang menyerap lemak ikan sekali gus menjadikan isinya keras, arang pula bertindak mengekal lemak itu dan hasilnya, pelanggan dihidangkan dengan ikan yang isinya lembut dan manis biarpun setelah ia sejuk," katanya yang turut menggunakan kipas besar yang dihalakan ke arah ikan itu.


IKAN dibakar menggunakan arang yang dapat mengekalkan keenakan sajian. - Foto Muhammad Sulaiman

Kipas itu, kata Mohd Nasir, mempercepatkan lagi proses pembakaran ikan selain memastikan dagingnya masak sekata.

Kelainan ikan bakar Mohd Nasir ialah isinya masih lembut, segar dan sedap diratah biarpun hidangan sudah sejuk. Pendek kata, seperti ikan itu baru dikeluarkan dari jala ataupun terus dibakar sebaik ia memagut pancing.

Namun, katanya, bekalan ikan bukan lagi hasil borong dari sungai Teluk Panglima Garang tetapi dibeli di pasar raya berdekatan restorannya.

"Lazimnya ikan diperap sebelum dibakar tetapi saya gaulkan ia dengan garam dan kunyit lalu terus bakar. Ia menjadikan isi ikan lebih lembut dan segar," katanya yang menyediakan sos istimewa iaitu sambal daripada cili kering resipi saudaranya di Sungai Petani, Kedah, untuk dicicah bersama tiga jenis ikan selaku menu utama iaitu siakap, selar dan cencaru.

Bagi memastikan rasa sos sama seperti resipi asli, Mohd Nasir bersama isteri, Rohana Abu Bakar, 35, berkali-kali melakukan percubaan dan pengubahsuaian rasa sehingga ia difikirkan mampu menepati cita rasa pelanggan.

"Setiap hari kami berikhtiar menyelitkan pelbagai ramuan dan cara memasak. Syukur akhirnya dapat juga menyediakan rasa yang sama seperti resipi asal, malah pelanggan nampaknya suka sangat dengan sos ini hingga ada yang minta tambah," katanya yang tidak mengenakan bayaran bagi permintaan menambah sos itu.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke restorannya, Mohd Nasir menyediakan perkhidmatan penghantaran khas set sajian ke rumah.

Namun, tempahan hanya diterima daripada pelanggan yang menghuni kawasan perumahan berdekatan selain menetapkan harga pakej bermula RM18.

Ilham mengambil tempahan dan menghantar hingga ke rumah datang dari cadangan pelanggan yang bukan selalunya ada masa melepak makan di restorannya.


ENAM rumah terbakar di Kampung Pisang, Tawau, mengakibatkan lebih 60 penghuni tinggal sehelai sepinggang. - Foto ihsan pembaca BH

Menyedari pelanggannya juga mempunyai pelbagai selera berbeza, Restoran Ikan Bakar Mabeles turut menyediakan pilihan lain dalam menu seperti pelbagai masakan nasi goreng, antaranya nasi goreng ayam Hainan, nasi goreng paprik 'seafood', nasi goreng sardin, nasi goreng USA selain aneka kuey teow, mi dan mihun, malah asam pedas Melaka.

Tidak ketinggalan sajian masakan Barat seperti spageti carbonara, spageti bolognese dan kentang goreng dengan keju.

Katanya, nasi goreng ayam Hainan mendapat sambutan menggalakkan disebabkan kelazatan daging ayamnya yang garing, namun lembut dikunyah.

Selain itu, kelazatan kailan ikan pekasam turut menjadi buah mulut setiap pelanggan yang pernah memesan hidangan itu.

Ikan pekasam mengemukakan campuran pelbagai spesies ikan dari Gerik seperti ikan loma, tenggalan dan sebarau itu digemari kerana menawarkan keunikan rasa selain disifatkan sajian lain dari yang lain pernah dinikmati mereka.

INFO:

  • Restoran Ikan Bakar Mabeles
  • Lokasi: Jalan SP4/27, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor
  • Facebook: IkanBakarMabelesBSP
  • Telefon: 017-6720162
408 dibaca
Berita Harian X