;
Sabtu, 20 Jun 2015 | 3:01pm

EPL: Van Persie harus bangkit, serasi corak latihan Van Gaal untuk kekal di MU


Robin van Persie

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Robin van Persie diberitahu, dia perlu menyesuaikan diri secara lebih baik dengan corak latihan Louis Van Gaal jika ingin masa depan yang berjaya di Old Trafford.

Dia menamatkan aksi musim lalu dengan hanya menyumbang 10 gol selepas setahun dihambat kecederaan dan persembahan berbeza di bawah kendalian pengurus yang melantiknya sebagai kapten Belanda ketika bersama pada Piala Dunia musim panas lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu mempunyai baki setahun kontrak bersama United dan berminat kekal, namun dia berdepan masalah tanpa sebarang gambaran mengenai apa yang perlu dilakukan jika mahu terus beraksi bersama kelabnya musim depan.

Van Gaal dilihat tidak memaksa Van Persie untuk meninggalkan Old Traffod, malah sedar jika beliau menjual bekas bintang Arsenal itu, maka dia perlu membeli dua pemain di barisan depan bagi menghadapi permulaan musim baharu.

Begitupun, pengendali itu juga tidak percaya bahawa Van Persie tidak cuba melakukan yang terbaik sepanjang sesi latihan bersama pasukannya.

Bagaimanapun, Van Gaal tidak risau, rekod bersih dipamer Van Persie sebagai antara penyerang terbaik di England mungkin akan berakhir dan dia secara fizikal mungkin lebih sesuai untuk meneruskan aksi bola sepaknya di Itali.

Van Persie dikaitkan dengan kemungkinan perpindahannya ke Itali tetapi dia dilihat masih berminat menamatkan baki kontrak di Old Trafford.

Bintang kelahiran Belanda itu mula menyertai Manchester United dari Arsenal pada Ogos 2012, selepas mengikat kontrak empat tahun bersama kelab London itu.

Sejak 1 Julai lalu, pemain United sudah mula kembali menjalani latihan, namun Van Persie dan pemain lain yang terbabit dalam perlawanan antarabangsa baru-baru ini, diberi 10 hari cuti tambahan. - AGENSI

78 dibaca
Berita Harian X