Ahad, 5 Julai 2015 | 5:39pm

Van Persie temu Van Gaal tentu nasib


Robin van Persie

LONDON: Penyerang Belanda, Robin van Persie bercadang untuk kembali ke Manchester United, minggu depan bagi membincangkan masa depannya di Old Trafford bersama pengurus, Louis van Gaal.

Van Persie ketika ini sedang menikmati cuti musim panasnya di Belanda dan tiada keinginan untuk berpindah sekalipun gergasi Turki, Fenerbahce serta beberapa kelab gergasi lain sedang berusaha keras untuk mendapatkan khidmatnya.

Terbaharu, kelab Sepanyol, Valencia turut berminat untuk memancingnya yang hanya memiliki baki kontrak setahun bersama Man United.

Sekalipun dikatakan tidak berminat untuk keluar dari Man United, Van Persie dikatakan akan menimbang pilihan itu seandainya Van Gaal menyifatkan dirinya sebagai 'lebihan' di dalam skuad itu.

Begitupun, kesemuanya bergantung dengan kemampuan gergasi Inggeris itu untuk membawa masuk penyerang baharu ke kelab itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah bintang Argentina dan Napoli, Gonzalo Higuain dan penyerang Uruguay, Edinson Cavani dari kelab Perancis, Paris St-Germain.

Seandainya Van Persie muncul pilihan ketiga dalam senarai serangan United musim depan, penyerang berbisa itu dikatakan tidak menunggu lama untuk keluar dalam usaha mengukuhkan tempatnya dalam skuad Belanda bagi Euro 2016. - Agensi

35 dibaca
Berita Harian X