Isnin, 6 Julai 2015 | 5:52pm
Robin van Persie

Van Persie kekal di Old Trafford - ejen

LONDON: Ejen kepada Robin van Persie menolak spekulasi yang mengaitkan penyerang antarabangsa Belanda itu di ambang untuk meninggalkan Manchester United.

Van Persie kembali ke kediamannya di Cheshire, hari ini selepas menghabiskan cuti musim panas dan dijadual kembali ke kem latihan Manchester United di Carrington sekalipun timbul laporan mengatakan dia sudah bersetuju dengan terma peribadi untuk berpindah ke Fenerbahce.

Begitupun, difahamkan tiada sebarang perjanjian sudah dijalankan di antara Man United dan kelab Turki itu dengan sumber rapat kepada Van Persie menegaskan dia mahu menghabiskan baki kontraknya di Old Trafford.

"Sekiranya Robin sudah menemui kelab baharu, dia akan mengumumkannya. Dan saya berada di Belanda ketika ini," kata ejen kepada Van Persie, Kees Voss ketika ditanya mengenai laporan perpindahan yang turut membabitkan pembayaran balik kontrak bernilai STG12 juta (RM71.10 juta) kepada majalah Voetbal International.

Bekas penyerang Arsenal itu masih memiliki baki setahun bersama Man United.

"Apa yang saya boleh katakan esok (hari ini) Robin akan melaporkan diri untuk sesi latihan pertama Manchester United."

Penyerang berusia 31 tahun itu dikatakan masih bimbang mengenai tempatnya bersama jurulatih, Louis van Gaal dan dijangka akan mengadakan perbincangan dengan bos Man United itu untuk mendapat penjelasan.

Keputusan sama ada Van Persie kekal atau tidak dikatakan bergantung kepada kemampuan Man United untuk memancing penyerang baharu ke kelab itu.

Antara nama yang dikaitkan ialah penyerang Argentina, Gonzalo Higuain dari Napoli dan penyerang Uruguay, Edinson Cavani dari kelab Paris St-Germain. - Agensi

45 dibaca
Berita Harian X