;
Khamis, 9 Julai 2015 | 12:15am
ABAM antara pelakon utama yang menjayakan filem seram komedi Hantu Bungkus Ikat Tepi. - Foto Nik Hariff Hassan
ABAM ketika menjayakan konsert solo Datuk Rossa di Istana Budaya. - Foto Rohanis Shukri
ABAM (tengah) ketika rakaman tele-Aidilfitri, 'Projek Bakar Lemak'. - Foto Saifullizan Tamadi
PELAWAK, Kumpulan Bocey dari kiri, Acey, Abam dan Fad pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) di Arena of Star, Genting Highland. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Abam Bocey temui cinta baharu

ADAT dalam bercinta bukan selalunya indah, pemenang Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Abam Bocey juga turut pernah melalui fasa kekecewaan dan jiwa kacau. Beliau pernah kecewa dua tahun lalu apabila percintaannya dengan gadis pujaan terputus akibat ketiadaan persefahaman. Selepas merawat luka di hati, beliau sekali lagi menemui cinta.

Pada pertemuan di Hotel Majestic di ibu negara baru-baru ini, pelawak comel ini memberitahu yang dia sudah mengenali seseorang yang cukup istimewa. Namun Abam memilih untuk tidak terlalu mendedahkan siapa gerangan wanita yang bertakhta di hatinya itu.

"Kalau ada jodoh panjang dan rezeki lebih mungkin saya ingin memperisterikannya tahun depan. Tapi semua masih dalam perkiraan," katanya.

Semua manusia di muka bumi ini berhak dan layak untuk dicintai sekali gus mencintai. Tak kira bagaimana rupa atau saiz kita sebagai manusia, naluri kecintaan itu sentiasa ada. Cinta itu juga bersifat universal. Penyajak dan penulis Khalil Gibran sendiri juga banyak berkongsi mutiara kata cinta yang membuktikan cinta itu seperti keperluan bagi mereka yang bernama manusia.

Bagi Abam, memiliki badan comel tidak bererti dirinya tidak pernah atau akan dicintai seseorang. Cuma beliau ingin memastikan sang kekasih memahami dan menerima dirinya seadanya.

"Saya tak minta banyak dalam percintaan ini. Cukup dia memahami kerjaya saya yang waktunya tidak menentu. Saya tak pilih paras rupa cukup dia ada hati yang tulus serta ikhlas dengan saya," katanya.


ABAM (kanan) bergambar bersama ibunya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagi Abam, putus cinta tidak sekali-kali menghilangkan kepercayaan dirinya biarpun rasa kecewa mencengkam hati. Beliau akan bangkit meneruskan kehidupan serta mengharapkan sinar kasih baharu.

"Siapa yang tak pernah kecewa dalam bercinta. Adalah kecewa sedikit kalau putus cinta. Tapi saya ini mungkin jenis yang tak kecewa dalam tempoh lama. Hati saya memang jenis cepat terusik. Jadi apabila kecewa bertandang, saya akan cuba melupakan terus apa yang sepatutnya perlu diingat.

"Saya akan alih perhatian dengan lakukan perkara baharu. Saya juga tak lihat saiz badan sebagai penghalang untuk dicintai dan mencintai. Hati dan cita rasa manusia berbeza-beza. Ada nak yang berbadan sado dan sebaliknya. Sebenarnya sepanjang pengalaman saya, ada wanita yang lebih suka lelaki seperti saya kerana tiada saingan. Cuba kalau kekasihnya tampan dan memiliki badan cantik, mesti ramai yang memandang," katanya

Sepanjang Ramadan ini Abam banyak berehat di rumah dan mengurangkan aktiviti seni. Dia memilih untuk bersama keluarga di Batu 10, Gombak. Abam tinggal bersama ibunya. Ibu dan bapanya sudah bercerai. Malah, ayah tirinya juga sudah meninggal dunia.

Pada raya ini, Abam juga cukup teruja dan beriya-iya untuk membawa seluruh ahli keluarganya bercuti ke sebuah pulau.


ABAM Bocey. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya memang sudah lama merancang untuk membawa satu keluarga saya bercuti ke sebuah pulau. Jadi cuti raya ini dikira satu ruang terbaik untuk menjadikannya kenyataan. Rumah di Gombak yang saya diami inilah umpama kampung selama ini. Ini kerana rumah ibu saya dekat dengan rumah nenek dan pakcik.

"Insya-Allah saya ingin raya kali ini memberi kelainan. Saya nak bawa seluruh ahli keluarga saya bercuti ke pulau. Besar kemungkinan Pulau Tioman. Memang itu cadangan awal. Cuma harap laut tak bergelora. Saya nak lepaskan tekanan dan beriadah bersama keluarga. Insya-Allah dalam 30 orang akan beraya bersama saya nanti. Doakan semua berjalan lancar kerana ramai yang sudah ambil cuti.

"Saya juga sudah membuat penyelidikan chalet atau penginapan mana yang sesuai didiami kelak. Pendek kata saya sudah lama 'google' apa yang patut untuk input tambahan. Kami mungkin ke pulau itu pada raya ketiga atau keempat. Ini kerana saya akan beraya di Gombak terlebih dahulu dan pada masa yang sama ada komitmen kerja pada raya ketiga nanti," katanya.

Abam turut ditanya mengenai perkembangan dirinya untuk hidup sihat selepas mengucapkan laungan 'Gemuk Is Awesome' ketika menerima trofi Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 atau ia sekadar hangat-hangat tahi ayam.

"Saya laungkan ucapan itu semata-mata nak naik semangat kepada orang berbadan besar seperti saya. Bukan lebih kepada menjurus ke arah hidup yang tak sihat. Tak kira saiz, orang kurus pun boleh jatuh sakit. Saya sekarang ini dalam proses mengurangkan berat badan dan bukannya menguruskan badan. Saya memang tak boleh kurus secara mendadak dan kena turun perlahan demi perlahan.


ABAM dinobatkan sebagai Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2014. - Foto Munira Ghani

"Saya bersenam pun tak menentu. Ikut kelapangan. Kadang-kadang balik kerja berlakon sudah penat. Tapi kalau ada masa terluang, saya pusing taman berdekatan. Nak lari bimbang akan timbul pula masalah lutut. Jadi saya hanya berjalan atau melakukan aktiviti ringan yang boleh mengeluarkan peluh dan membakar kalori.

Mengenai memori raya, Abam memberitahu dia masih terkenang baju Melayu berwarna merah jambu yang dipakainya tujuh tahun berturut-turut.

"Baju Melayu itu memang mempunyai nilai sentimental. Baju itu saya tempah untuk menghadiri pernikahan kakak saya. Sampai sekarang sudah 10 tahun ia tersimpan rapi. Bayangkan anak kakak saya pun sudah berusia 11 tahun," katanya yang akan terbabit dengan penggambaran filem Hantu Rumah Sakit Jiwa terbitan Astro Shaw selepas musim raya nanti.

Info Abam
* Sudah dua tahun lebih menyertai persada seni.
* Pemenang Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Abam Bocey
* Menganggotai Kumpulan Bocey, kumpulan lawak yang bertanding dalam Maharaja Lawak Mega. Kumpulan Bocey terdiri daripada tiga pelawak iaitu Abam, Acey dan Fad.

462 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »