Ahad, 12 Julai 2015 | 12:00am
DATUK Dr Zurinah Hassan. - Foto Nik Hariff Hassan
ROSLI K Matari, Sutung Umar dan SM Zakir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Penyair lelaki lebih menyerlah rangkul Anugerah Sastera Negara


PENGARAH Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran.

BARANGKALI saya agak `terkhilaf' ketika menyebut bahawa saya tidak nampak penyair wanita yang layak untuk diberikan Anugerah Sastera Negara (ASN), sekali gus dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) sekiranya dibandingkan dengan penyair lelaki.

Mungkin saya patut menyebut saya lebih nampak ASN lebih wajar dianugerahkan kepada penyair yang menghasilkan karya yang memiliki keunggulan daripada aspek pemikirannya dan kekuatan daripada sisi kekuatan serta keindahan bahasa dan sifat puitisnya.

Selepas itu, barulah saya wajar menambah dengan pengakuan bahawa saya lebih nampak hal itu dijelma dan diterjemahkan oleh penyair seperti Latiff Mohidin; Wan Omar Wan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar Rs; Mohd Rosli Nik Mat (Rosli K Matari) dan Zainal Palit (Zaen Kasturi), hatta Allahyarham Rahimidin Zahari.

Malah, sekiranya keunggulan, kekuatan dan keindahan itu sangat kuat diungkap dan dihasilkan oleh penyair seperti Rahimidin, barangkali juga ia turut dimiliki oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun lalu, iaitu Md Ismail Jamjam (Zam Ismail).

Mungkin bukan lagi `barangkali', bahkan kalimah yang tepat `pastinya' kerana Zam Ismail dipilih dan diangkat daripada senarai nama calon yang khabarnya turut menampilkan nama Rahimidin.

Konotasi sama

Barangkali kenyataan itulah setepat dan selunaknya diungkapkan pada Dialog Orang Muda (DOM): Dialog Bersama Editor di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun bak kata orang tua, terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik. Apapun, kedua-dua bentuk kenyataan itu membawa konotasi yang sama, iaitu dalam genre puisi dan dengan andaian SN Ke-13 adalah dalam kalangan penyair, maka senarai penyair lelaki lebih ramai berbanding penyair wanita.

Latiff walaupun sudah lama tidak berkarya, tiada siapa yang dapat menafikan kekuatan pada Sungai Mekongnya sehingga nama itu sendiri sudah tidak boleh dipisahkan daripada penyair yang juga seniman besar dalam dunia seni halus itu.

Walaupun agak lama tidak berkarya, Latiff juga seperti Zam Ismail, memiliki satu karya terbitan mutakhir (barangkali judul itulah yang memenangkan penyair Johor itu berbanding calon lain yang menghasilkan lebih banyak kumpulan puisi), iaitu Sajak-Sajak Lengkap Latiff Mohidin (selain buku bertajuk Catatan dan karya terjemahan, Faust yang penulis asalnya adalah sasterawan dan pemikir agung Jerman, Goethe).


SUTUNG Umar RS. - Foto Nik Hariff Hassan

Menulis meskipun dalam rawatan

Sutung Umar Rs pula sejak bersara sebagai Ketua Unit Pengembangan Sastera dan Budaya BH, dipacu oleh semangat luar biasa meskipun terpaksa melalui rawatan dialisis buah pinggang dan pernah menjalani pembedahan.

Di tengah-tengah kepayahan itu, Sutung menghasilkan kumpulan puisi, Di Negeri Kalbu dan Ratib Kalbu, selain kumpulan cerpen seperti Anggerik Dari Bukit Tujuh dan novel, Dia dan Nya.

Rosli K Matari pula, meskipun hanya muncul dengan karya berbentuk kumpulan puisi mutakhir ini, namanya sudahpun tercatat dalam senarai penyair tanah air berdekad-dekad lalu, malah, tidak akan lengkap untuk memperkatakan ranah puisi Kelantan sekiranya mencicirkan namanya.

Kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan hanya diterbitkan pada tahun 2011, namun ia menghimpunkan karya terbaik merentasi sempadan dekad tetapi tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan, sebelum disusuli dengan Tidakkah Kita Berada di Sana dan Anak Dusun serta Matahari Itu Jauh yang turut memenangi tempat kedua Sayembara Penulisan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-PENA-BH 2.

Zaen Kasturi mungkin dianggap `muda' meskipun sebenarnya beliau sudahpun bersara, hatta pada tahun ini sama usia dengan Datuk A Samad Said ketika dinobatkan sebagai SN.

Dalam aspek karya Zaen Kasturi yang pernah diangkat oleh Rahimidin sebagai antara tiga penyair yang mengubah puisi tanah air selepas SN Datuk Usman Awang dan Latiff; memberikan kumpulan puisi, 77 Tuju kepada kita selepas Iga dan Katarsis.

Khazanah tidak ternilai

Rasanya tidak perlu untuk saya catatkan sumbangan karya oleh Rahimidin kerana beliau sudahpun meninggalkan kita dengan warisan kumpulan puisi, novel, majalah, jurnal dan buku nonkreatif serta khazanah budaya yang tidak ternilai, manakala Zam Ismail pula mungkin sudah makruf kerana baru saja menerima SEA Write.

Malah, nama lain yang patut disebut juga adalah seperti Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) yang meskipun kekuatannya tidak dinafikan pada kumpulan cerpen dan esei, sebenarnya turut menghasilkan kumpulan puisi serta Ramli Selamat (Marsli NO) yang menggabungkan kekuatan puisi dan deklamasi.

Memang daripada senarai itu, penyair lelaki yang pernah menerima SEA Write hanyalah Latiff dan Zam Ismail tetapi apakah ASN mesti disyaratkan menerima anugerah daripada yayasan di Thailand atas nama kerajaan negara itu terlebih dulu atau penganugerahan tertinggi kesusasteraan tanah air kita mengutamakan sumbangan dalam bentuk karya?

Senarai penulis wanita

Sekiranya prasyarat ASN memerlukan SEA Write, maka tidaklah perlu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka pencalonan SN, sebaliknya terus mengambil calon daripada senarai penerima SEA Write terbabit.

Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna pengarang wanita tidak berpeluang sama sekali kerana dalam genre seperti novel, kita berdepan dengan senarai yang sama kuat seperti Dr Fatimah Busu, Zaharah Nawawi, Azmah Nordin, Jong Chian Lai, Norhisham Mustaffa dan Hasanuddin Md Isa sehingga jantina tidak memberikan apa-apa makna lagi.

Barangkali tulisan inilah yang patut saya perkatakan ketika menjadi panel DOM bersama Editor Dewan Sastera (DS), Fadli alAkiti yang dipengerusikan oleh penulis, Muhammad Lutfi Ishak. Tetapi, mungkin itulah sebabnya saya lebih sesuai menjadi editor dan bukannya orator.

85 dibaca
Berita Harian X