Ahad, 19 Julai 2015 | 6:24pm
KEMALANGAN maut yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Tong. - Foto Tg Syamim Tg Ismail

Bayi lima bulan maut, bapa parah dalam kemalangan di Setiu


KEMALANGAN maut yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Tong. - Foto Tg Syamim Tg Ismail

SETIU: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan maut manakala bapanya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 41 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Tong di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.10 pagi itu, Nurul Akma Azmi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepalanya manakala bapanya Azmi Mat, 47, cedera parah di kaki kanannya selain dua lagi anggota keluarga mereka cedera ringan.

Kereta yang dipandu Azmi dikatakan bertembung dengan sebuah lagi kereta yang dipandu Muhammad Amirullah Ramlan, 21, dari arah Kuala Terengganu.

Muhammad Amirullah cedera parah pada kaki kanannya selain patah tulang rusuk manakala enam lagi anggota keluarganya cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Idris Mohamad ketika dihubungi Bernama hari ini, mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat Nurul Akma dibawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat dan kesemua mangsa lain turut dirawat di hospital itu.

- BERNAMA

91 dibaca
Berita Harian X