Selasa, 11 Ogos 2015 | 12:10am

Harapan baharu diami planet Kepler-452B

MISI perpindahan besar-besaran penduduk bumi ke planet lain berikutan pelbagai isu, antaranya dihimpit masalah kepadatan penduduk, pencemaran dan bencana alam, mungkin berlaku.

Saintis terkemuka dari seluruh dunia sebelum ini berpandangan Marikh adalah planet paling hampir untuk dijadikan 'rumah kedua', namun hajat itu berdepan beberapa kekangan.

Antaranya, kandungan udara di bawah lapisan atmosfera Marikh dipenuhi gas karbon dioksida, manakala suhu persekitarannya lebih sejuk berbanding bumi.

Tidak berputus asa, penyelidik bertungkus-lumus membangunkan pelan dan menjalankan kajian menerusi teknologi terkini untuk mencipta peralatan bersesuaian yang berupaya menampung kehidupan manusia di Marikh.

Sinar baharu

Bagaimanapun, pengumuman oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) pada 23 Julai lalu mengenai penemuan planet yang diberi nama Kepler-452b seolah-olah memberi sinar baharu kepada saintis.

Planet bersaiz 60 peratus lebih besar daripada bumi dan mempunyai komposisi bahan semula jadi yang sama itu, mengetepikan pelan asal untuk manusia meneroka peluang kehidupan di Marikh.

Namun, saintis yang ingin menjelajah ke Kepler-452b dan menempa nama sebagai orang pertama menjejakkan kaki di planet itu seperti sejarah dilakar angkasawan Neil Armstrong yang menjejak bulan puluhan tahun lalu, terpaksa melupakan hasrat itu untuk seketika.

Perkiraan jarak Kepler-452b, mendapati planet berkenaan terlalu jauh, iaitu 1,400 tahun cahaya atau bersamaan 14 juta tahun.

Penjelajahan ke Pluto, iaitu planet kesembilan dalam sistem solar sebelum ini menggunakan stesen angkasa antara planet, New Horizon mengambil masa hampir sembilan tahun. Kelajuan maksimum New Horizon meneroka angkasa lepas untuk sampai ke Pluto ketika itu adalah 84,000 kilometer sejam (km/j).

Terlalu jauh

Menerusi kecanggihan teknologi dan kemampuan industri kejuruteraan, kelajuan maksimum kapal angkasa berupaya ditingkatkan kepada 100,000km/j.

Saintis menjangkakan peningkatan kelajuan itu tidak menyingkatkan tempoh perjalanan, sebaliknya ia mengambil masa kira-kira 10,000 tahun untuk melengkapkan penjelajahan satu tahun cahaya.

Sehubungan itu, menerusi kemampuan penjelajahan angkasa lepas dan teknologi masa kini, manusia tidak mungkin berupaya melihat sendiri bentuk topografi dan menjalankan kajian lanjut mengenai planet Kepler-452b.

Mungkin kepesatan penyelidikan dan pembangunan teknologi sains diterajui pelbagai saintis terkemuka dari seluruh dunia boleh membuka peluang untuk manusia meneroka peluang suatu hari nanti, sekali gus menjadikan Kepler-452b sebagai 'rumah kedua' selepas bumi.

INFO: KEPLER-452B

  • Mengandungi bahan sama seperti bumi iaitu silikon, karbon dan besi
  • Muatan air hampir sama
  • Lapisan atmosfera tepu
  • Topografi berbatu
  • Ditemui oleh NASA pada 23 Julai lalu
  • 60 peratus lebih besar daripada bumi
  • 1.5 bilion tahu lebih tua daripada bumi
  • Graviti 2 kali ganda
  • Jarak, 1,400 tahun cahaya yang bersamaan 14 juta tahun
  • 385 hari setahun
  • Sistem solar memancarkan 10 peratus lebih tenaga
  • Saiz solar 20 peratus lebih besar daripada matahari bumi
  • 1,030 planet sudah dikenal pasti oleh saintis
  • 4,696 planet berpotensi sebagai pengganti bumi
  • 2,165 bintang di angkasa mempunyai sistem putaran tersendiri
1202 dibaca
Berita Harian X