Jumaat, 14 Ogos 2015 | 5:21pm

Samsung pertingkat saingan menerusi telefon pintar skrin besar


GALAXY S6 edge+ yang baru dilancarkan oleh samsung.

NEW YORK: Samsung meningkatkan pertaruhan dalam pengeluaran telefon pintar menerusi pengenalan dua model skrin besar terbaharu serta sistem pembayaran bagi meningkatkan saingannya kepada Apple.

Langkah itu dilihat bertujuan memastikan pengeluar dari Korea Selatan itu kekal menerajui segmen telefon pintar dunia dengan meningkatkan saingannya kepada model popular Apple, iPhone 6 dan 6 Plus.

Pada majlis pelancaran di Lincoln Center di sini malam tadi, Samsung memperkenalkan model Galaxy S6 edge+ serta Galaxy Note 5 yang disasarkan kepada kalangan profesional.

Sepanjang tahun 2015, Samsung mencatatkan penurunan dari segi penjualan walaupun syarikat yang berpusat di Seoul itu adalah pengeluar telefon bimbit terbesar di dunia. Samsung menguasai 15 peratus bahagian pasaran telefon bimbit di seluruh dunia.

Samsung dilihat menekankan strategi pemasaran yang mengetengahkan telefon pintar mampu milik bagi menewaskan pesaingnya seperti Apple, Motorola dan LG.

Namun berbeza pula percaturan dengan pengeluar dari China seperti Xiaomi dan Huawei, yang mendominasi pasaran dengan varian telefon bimbit yang jauh lebih murah.

Pada masa yang sama, Samsung dilihat telah mula mengorak langkah dan menumpukan perhatian kepada peranti phablet (kacukan telefon dan tablet) tetapi haluan berkenaan tetap dikekang ekoran banyak pesaing lain telah sedia menguasai pasaran.

Sememangnya saingan dunia elektronik adalah sukar, melihatkan syarikat seperti HTC yang menjadi peneraju telefon bimbit Android mengumumkan terpaksa menghentikan 15,000 pekerjanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semasa majlis pelancaran yang berlangsung di New York, para eksekutif Samsung menyentuh pembaharuan yang dimulakan mereka terutama dari sudut inovasi.

Samsung menyatakan bahawa mereka adalah pelopor telefon bimbit yang mempunyai skrin besar.

Walaupun keistimewaan itu dianggap sebagai satu gimik semasa mereka mula-mula memperkenalkannya namun kelebihan skrin besar turut ditiru oleh syarikat seperti Apple.

Keunikan skrin lengkung pada Galaxy S6 Edge+ serta saiz skrin sebanyak 5.7 inci disifatkan Samsung sebagai salah satu pembaharuan baharu yang ingin diketengahkannya.

Mengikut penganalisis IDC, Ramon Llamas berkata inovasi adalah kunci kejayaan berterusan Samsung.

"Sungguhpun terdapat banyak phablet di pasaran, Samsung masih mendahului dari segi kualiti dan keseluruhan," kata Ramon.

Beliau turut menambah Samsung tidak seharusnya mengambil mudah dan mengekalkan perancangan innovasi terutama apabila mula memasuki dunia jam tangan pintar.

Dalam pada itu, Samsung turut menampilkan beberapa teaser mengenai jam tangan pintar baru keluaran mereka iaitu Samsung Gear S2 pada majlis itu.

Pengkritik turut menyentuh bahawa tarikh pelancaran kedua-dua peranti itu sangat strategik lantaran diadakan sebulan sebelum majlis bonanza tahunan Apple yang diadakan setiap tahun dalam bulan September. - AFP

294 dibaca
Berita Harian X