Jumaat, 21 Ogos 2015 | 6:01pm

Kami hanya kawan rapat - Uqasha Senrose


PELAKON, Uqasha Senrose. - Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrose akui selesa berkawan rapat dengan pelakon, Iqram Dinzly namun menjelaskan mereka tidak bercinta.

Mengikut Uqasha, dia mula rapat dengan Iqram selepas menjayakan majlis sambutan Aidilfitri selama empat hari di Kuching, Sarawak.

Beliau menafikan dakwaan menuduh Iqram sebagai orang ketiga yang menjadi punca keretakan hubungan rapatnya dengan pelakon Syafiq Kyle.

"Tidak timbul istilah putus cinta kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan kami bercinta. Malah, saya sendiri terkejut apabila dia (Syafiq) tampil dengan kenyataan sebegitu.

"Berkenaan Iqram, kami hanya berkawan rapat dan saya selesa berkawan dengannya. Memang pelbagai tohmahan dan kata-kata negatif dilemparkan kepada Iqram namun saya percaya manusia boleh berubah.

"Hubungan rapat kami bukanlah sekadar gimik semata-mata. Saya memuat naik gambar atas dasar kawan. Namun saya kurang pasti kenapa Iqram menggunakan kapsyen sebegitu," katanya kepada BH Online.

Uqasha diminta mengulas hubungannya dengan pelakon itu selepas timbul gosip baharu dia menjalinkan cinta dengan Iqram Dinzly.

Gosip itu tercetus apabila kedua-dua mereka dilihat sering memuat naik gambar kemesraan di laman sosial masing-masing.

Dalam perkembangan terkini, Uqasha turut meluahkan rasa terujanya menjayakan siri jelajah Bas Drama Sangat bahagian utara hujung minggu lalu.

"Buat pertama kalinya saya menyertai jelajah sebegini. Sukar untuk saya ungkapkan perasaan gembira kerana dapat mendekati dan bermesra dengan peminat di kawasan luar bandar.

"Saya jatuh terduduk apabila seorang peminat menarik saya apabila ingin bergambar. Saya tidak menyalahkan mereka kerana berpendapat mereka terlalu gembira dan teruja. Saya tidak marah kerana bukan mudah untuk orang minat pada kita, jadi kita seharusnya menghargai mereka," katanya.

273 dibaca
Berita Harian X