Ahad, 23 Ogos 2015 | 7:39pm

EPL: Bos Arsenal, Wenger sedia belanja besar


PENGENDALI Arsenal, Arsene Wenger . - Foto Reuters

LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger sedia untuk berbelanja besar selepas tertekan dengan perbelanjaan yang dibuat pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) lain.

Penyandang juara, Chelsea dan Manchester City masing-masing melaburkan jumlah yang besar sejak beberapa hari lalu untuk memantapkan pasukan bagi pemburuan kejuaraan.

Chelsea sudah mendapatkan khidmat pemain sayap Barcelona, Pedro dengan nilai STG21 juta (RM137.76 juta) manakala pengendali City, Manuel Pellegrini membawa masuk pertahanan Valencia, Nicolas Otamendi dengan nilai STG32 juta (RM209.92 juta).

Sekadar menonton pesaingnya terus berbelanja besar dalam pasaran perpindahan, Wenger berkata dia sedang meneliti untuk menguatkan pasukannya di bahagian serangan sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.

"Sudah tentu, ada tekanan untuk bersaing dengan mereka," kata Wenger. "Kesemua mereka membelanjakan wang namun hanya satu boleh memenangi kejuaraan.

"Bukan hanya disebabkan wang yang mereka belanjakan untuk menentukan betapa berjayanya anda.

"Kerana itu kamu perlu kekal bertenang dan bukan membeli kerana orang lain membeli, namun kamu membeli kerana kamu sudah menemui pemain yang benar-benar memberi tambahan kepada kamu," katanya.

Selain Chelsea dan City, Manchester United juga dijangka akan membuat penambahan dalam skuad sedia ada sebelum tarikh perpindahan ditutup. - Agensi

139 dibaca
Berita Harian X