Sabtu, 29 Ogos 2015 | 12:01am
MENU nasi ayam di Restoran Ikan Bakar Mabeles.

Kelainan resipi ikan bakar bara arang


PEMILIK Restoran Ikan Bakar Marbeles, Mohd Nasir Hassan di hadapan premis perniagaannya. - Foto Muhammad Sulaiman

MAKLUMLAH, bukan semua yang dihidangkan menepati kehendak selera kerana sekiranya ada kekurangan sama ada menerusi cara ia disediakan, kualiti ikan malah kuah serta sos yang tidak enak selain layanan pula kurang mesra, terasa seolah-olah membazirkan masa dan wang berkunjung ke restoran atau gerai berkenaan.

Restoran Ikan Bakar Mabeles di Bandar Saujana Putra, Jenjarom boleh diharapkan dalam memberikan kepuasan menikmati hidangan itu.

Pengusahanya, Mohd Nasir Hassan, 44, rela turun padang mengetepikan imejnya sebagai 'tauke kedai' apabila membakar sendiri ikan untuk pelanggannya.

Usahanya itu adalah sebahagian daripada 'resepi rahsia' untuk terus mengikat selera pelanggan yang datang menjamu selera di restorannya.


MOHD Nasir Hassan membakar ikan yang ditempah pelanggan.

"Saya memilih cara orang lama membakar ikan, iaitu menggunakan arang berbanding memanggang di atas kuali. Berbanding kuali yang menyerap lemak ikan sekali gus menjadikan isinya keras, arang pula bertindak mengekalkan lemak itu dan hasilnya, pelanggan dihidangkan dengan ikan yang isinya lembut dan manis walaupun setelah ia sejuk," katanya yang turut menggunakan kipas besar dihalakan ke arah ikan itu.

"Kipas ini mempercepatkan lagi proses pembakaran ikan selain memastikan dagingnya masak sekata," katanya menjawab persoalan penggunaan kipas elektrik menggantikan amalan biasa menggunakan kipas tangan.

Kelainan ikan bakar Mohd Nasir ialah isinya masih lembut, segar dan sedap diratah biarpun hidangan sudah sejuk. Ia seperti ikan itu baru dikeluarkan dari jala ataupun terus dibakar sebaik ia memagut pancing.


MOHD Nasir Hassan (kiri) dan isteri, Rohana Abu Bakar, 35, bersama sajian yang disediakan di Restoran Ikan Bakar Marbelos, Jenjarom. - Foto Muhammad Sulaiman

Namun, katanya, bekalan ikan bukan lagi hasil borong dari sungai Teluk Panglima Garang tetapi dibeli di pasar raya berdekatan restorannya.

"Lazimnya ikan diperap sebelum dibakar tetapi saya gaulkan ia dengan garam dan kunyit lalu terus bakar.

Ia menjadikan isi ikan lebih lembut dan segar," katanya yang menyediakan sos istimewa iaitu sambal cili kering resipi saudaranya di Sungai Petani Kedah untuk dicicah bersama tiga jenis ikan sebagai menu utama iaitu siakap, selar dan cencaru.

Bagi memastikan rasa sos sama seperti resipi asli, Mohd Nasir bersama isteri, Rohana Abu Bakar, 35, berkali-kali melakukan percubaan dan pengubahsuaian rasa sampai difikirkan mampu menepati cita rasa pelanggan.

"Setiap hari kami berikhtiar menyelitkan pelbagai ramuan dan cara memasak. Syukur akhirnya dapat juga menyediakan rasa yang sama seperti resipi asal malah pelanggan nampaknya suka sangat dengan sos ini sehingga ada yang minta tambah," katanya yang tidak mengenakan bayaran bagi permintaan menambah sos itu.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke restorannya, Mohd Nasir menyediakan perkhidmatan penghantaran khas set sajian ke rumah.

Namun, tempahan hanya diterima daripada pelanggan yang menghuni kawasan perumahan berdekatan selain menetapkan harga pakej bermula RM18.

Ilham mengambil tempahan dan menghantar hingga ke rumah diilhamkan daripada cadangan pelanggan yang bukan selalunya ada masa melepak makan di restorannya.


SET ikan masak Ikan masak pekasam di Restoran Ikan Bakar Marbeles.

Menyedari pelanggannya berbilang selera, Restoran Ikan Bakar Mabeles turut menyediakan pilihan lain di dalam menu seperti pelbagai masakan nasi goreng antaranya nasi goreng ayam Hainan, nasi goreng paprik 'seafood', nasi goreng sardin, dan nasi goreng USA.

Aneka kuetiau, mi dan mihun juga disediakan.

Turut ditawarkan sajian asam pedas Melaka dan sajian masakan Barat seperti spageti carbonara, spageti bolognese dan kentang goreng dengan keju.

Katanya, nasi goreng ayam Hainan mendapat sambutan menggalakkan disebabkan kelazatan daging ayamnya yang rangup, namun lembut dikunyah.

Selain itu, kelazatan kailan ikan pekasam turut menjadi buah mulut setiap pelanggan yang pernah memesan hidangan itu.

Ikan pekasam dari Gerik, Perak seperti ikan loma, tenggalan dan sebarau digemari kerana menawarkan keunikan rasa.

INFO

Restoran Ikan Bakar Mabeles

  • Lokasi: Jalan SP4/27, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor.
  • Facebook: IkanBakarMabelesBSP.
  • Telefon: 017-6720162

570 dibaca
Berita Harian X