Ahad, 30 Ogos 2015 | 9:21am

Kepemimpinan Adenan bakal teruji menjelang PRN-11


ADENAN (tengah) bersama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kanan) selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB, di Ibu Pejabat Parti PBB di Jalan Bako, Kuching, 16 Ogos lalu. - Foto Jeakqlyn Yacho

BEDUK Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) semakin kencang apabila Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyatakan sudah mendapat 'ilham' mengenai 'tarikh keramat' bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ditanya mengapa beliau kelihatan cukup gembira selepas melancarkan Program Kibarkan Jalur Gemilang anjuran Jabatan Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya semalam, Adenan berterus-terang menyatakan sudah menetapkan tarikh pilihan raya negeri, sekali gus mengejutkan pihak media yang membuat liputan acara itu.

"Namun, saya tidak akan memberitahu tarikh itu kepada anda (pemberita) sekarang.... tunggulah masa yang sesuai," katanya sambil mengesahkan pilihan raya negeri sudah pastinya diadakan lebih awal dari tempoh tamat penggal DUN Sarawak, 20 Jun tahun depan.

Hakikatnya, kenyataan beliau itu tidak begitu mengejutkan kerana umumnya menyedari pilihan raya negeri semakin hampir, lebih-lebih lagi Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak sering memberikan 'pembayang' dan 'kata kunci' mengenainya dalam pelbagai majlis rasmi dihadirinya.

Ini termasuk mengumumkan pengekalan calon bertanding di beberapa kawasan yang disifatkan sebagai kubu kuat BN, terutama dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinannya.

Laluan mudah

Malah, spekulasi pilihan raya negeri semakin hampir turut diperkukuhkan lagi dengan lawatan 'bersilih-ganti' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negeri ini membawa bersama peruntukan pembangunan yang besar.

Secara teknikalnya, tempoh tamat penggal DUN Sarawak adalah sehingga 20 Jun 2016, namun berdasarkan prestasi serta senario semasa, pilihan raya negeri dijangka berlangsung antara November tahun ini hingga Mac tahun depan.

Kali terakhir pilihan raya negeri diadakan pada 16 April 2011, dengan BN di bawah kepemimpinan mantan Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud menguasai majoriti 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan - tewas 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas).

Adenan yang mengambil alih tampuk kepemimpinan negeri pada 1 Mac 2014 dijangka tidak berdepan laluan sukar dalam pilihan raya negeri kali ini, terutama dengan gaya kepemimpinan bersahaja dan tidak berprotokolnya yang cukup disenangi segenap lapisan rakyat, termasuk pemimpin pembangkang sendiri.

Bahkan, banyak pihak menjangkakan kemenangan besar bakal berpihak kepada BN berdasarkan sambutan rakyat terhadap kempen integriti, penurunan tarif elektrik dan tol serta perang yang diisytiharkan terhadap nelayan asing dan pembalak haram.

Malah, perjuangannya mendapatkan kenaikan 20 peratus royalti hasil minyak dan gas negeri dari Kerajaan Pusat turut mengagumkan rakyat, malah beliau menyatakan ikrar 'tidak akan berhenti berjuang selagi belum mendapat kenaikan royalti itu.'

Loghat Sarawak yang tebal, setiap kali berucap serta kejiwaan yang teguh kepada negeri tercinta menyebabkan rakyat begitu menggemari ketrampilannya, malah ungkapan 'Oooooo Haaaaaa' dan 'You..... You' yang menjadi 'trademark' beliau kini menjadi ikutan di seluruh negeri.

Ketika menghadiri Sambutan Aidilfitri Sarawak Energy Berhad 2015 awal bulan ini, Adenan memberi tafsiran baharu terhadap ungkapan 'Battle Cry Iban' itu, masing-masing bermaksud 'Saya Sayang Sarawak' dan 'Saya Dan Kamu'.

Dalam pertemuan semalam, Adenan turut memaklumkan bahawa hampir kesemua calon telah dimuktamadkan, malah ada beberapa nama sudah diumumkan sebelum ini.

Nilai prestasi calon

Namun, iktibar daripada pengalaman lalu, calon-calon yang namanya sudah diumumkan belum boleh menganggapnya diri mereka 'selamat' selagi 'watikah' belum di tangan.

Pada pilihan raya sebelum ini, ada nama yang ditukar pada saat-saat akhir selepas penilaian terakhir dibuat, termasuk mengambil kira faktor reputasi dan penerimaan di peringkat akar umbi.

Perlu diingat, Adenan amat mementingkan elemen 'calon disukai ramai' atau 'calon boleh menang', bukan jagoan laman sosial semata-mata, namun cukup sukar sekali 'melihat muka' untuk pulang ke kawasan berkhidmat kepada rakyat.

Adenan yang akan melalui episod pilihan raya pertamanya sebagai nakhoda ini adalah tokoh istimewa. Beliau boleh membuat kita ketawa, namun juga boleh membuatkan kita takut pada ketegasan serta 'panas telinga' mendengar sindirannya.

Yang penting, beliau terbuka kepada kebenaran biarpun pahit, dan tidak gemar pada pembohongan. Justeru, bagi calon-calon yang akan dipilih. mereka akan disaring seketat mungkin.

"Ada yang akan dicalon semula, ada yang akan bersara dan ada muka baharu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Majlis Tertinggi PBB di Jalan Bako baru-baru ini ketika ditanya mengenai senarai calon untuk 82 kerusi yang bakal dipertandingkan.

Bagaimanapun, tiada Ahli Parlimen akan bertanding untuk kerusi DUN kali ini, tambahnya yang mematikan khabar angin ada antara Ahli Parlimen bertaraf Menteri sedang dipersediakan sebagai Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri yang akan datang.

Yang jelas, pilihan raya kali ini akan menyaksikan penerimaan atau penolakan rakyat terhadap Adenan. Adakah sifat merakyat Adenan dapat melembut hati pengundi Cina? Atau di luar faktor itu ada kerusi yang akan tumbang dek kerakusan parti komponen ber-

saing sesama sendiri.

Adenan akan menguji diri... menguji ketegasan dan menguji kebijaksanaan berhadapan dengan kedegilan parti-parti komponen BN Sarawak yang jelas masih bercakaran.

Bagaimanapun, BN sudah pasti menang kerana dua perkara iaitu kebanyakan kerusi kini ditanding PBB dan satu faktor lagi kerana 'Faktor Adenan' yang diistilahkan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol sebagai 'di hatinya ada Sarawak'.

135 dibaca
Berita Harian X