Ahad, 28 September 2014 | 3:28pm
KETUA jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola ketika perlawanan Bundesliga menentang FC Cologne, semalam.- Foto AFP

Bundesliga: Bayern kekal di takhta liga, Schalke tundukkan Dortmund

BERLIN: Gergasi Jerman, Bayern Munich mengukuhkan kedudukan di puncak Bundesliga Jerman selepas mencatat kemenangan ke atas FC Cologne manakala Schalke 04 menang pertembungan tetangga Lembah Ruhr dengan menewaskan Borussia Dortmund, semalam.

Bayern meneruskan rekod tanpa bolos dalam empat perlawanan Bundesliga dengan kemenangan 2-0 sekali gus mengumpul 14 mata, kelebihan dua mata di depan Borussia Moenchengladbach.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi Mario Goetze sebelum jaringan sendiri pemain Cologne, Daniel Halfar pada minit ke-66 mengesahkan kemenangan Bayern.

"Mereka tidak melakukan apa-apa. Mereka hanya bermain di bahagian belakang dan cuba untuk melakukan serangan balas dan tidak pernah menyerang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain, mereka kekal tenang dan kami hanya melakukan tugas kami," kata pemain sayap Bayern, Arjen Robben.

Dalam pada itu, Gladbach mencatat kemenangan 2-1 di Paderborn hasil jaringan Patrick Herrmann dan Raffael dengan Jens Wimmer menjaring gol sagu hati kelab yang baru dinaikkan pangkat ke saingan elit Jerman itu.

Kemenangan menyaksikan Gladbach mengatasi Bayer Leverkusen yang terpaksa bermain dengan 10 pemain selama sejak sebelum mencatat keputusan seri 0-0 menentang SC Freiburg di laman lawan.

Pertahanan Leverkusen, Emir Spahic dibuang padang pada babak pertama dengan Freiburg turut menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Pavel Krmas memperoleh tindakan sama.

Di Gelsenkirchen, Schalke meraih kemenangan kedua berturut-turut di laman sendiri selepas menewaskan Dortmund 2-1.

Jentera pertahanan Dortmund terus goyah apabila Schalke merobek gawang mereka menerusi jaringan Joel Matip dan Eric Maxim Choupo-Moting berakhir babak pertama.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp cuba mengurangkan defisit hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang namun ia gagal membantu Dortmund sekurang-kurangnya meraih satu mata.

"Ia kemenangan yang penting, terutama buat peminat. Ia menakjubkan," kata jurulatih Schalke, Jens Keller. - AFP

121 dibaca
Berita Harian X