Selasa, 6 Oktober 2015 | 3:39pm

Risteena `kejar' lelaki kaya


BIBAH, lakonan Nur Risteena (kiri) dalam drama Alaa... Bib di TV3.

KUALA LUMPUR: Tidak seorang pun dalam hidup ini yang tidak mahu hidup senang, tetapi tidak mudah untuk kita memperoleh kejayaan dan kekayaan.

Hanya usaha dan kerajinan yang dapat membantu kita untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan. Namun berbeza dengan Bibah, lakonan Nur Risteena dalam drama terbaharu berjudul Alaa... Bib di slot Iris bermula 12 Oktober ini, yang mahu menjadi kaya dengan jalan mudah.

Walaupun sudah dinasihati oleh ibunya supaya menerima sahaja pekerjaan yang sedia ada, kedegilan Bibah yang menginginkan pekerjaan dengan gaji lumayan menyebabkannya terus menganggur.

Suatu hari, Bibah mendapat poskad daripada buah hatinya, Hakim, yang berada di London. Hakim memberitahu akan pulang ke Malaysia untuk meminang seorang gadis. Sangkaan Bibah, dia adalah gadis yang dimaksudkan, menyebabkan Bibah menolak lamaran Luqman (Ammar Titan).


DRAMA Alaa.. Bib turut dijayakan oleh Iqram Dinzly, Syafiq Kyle dan Sheila Mambo.

Sangkaan Bibah nyata meleset. Hakim hanya mahu Bibah menjadi pengapit bakal isterinya, seorang wanita yang dikenalinya di London.

Bibah kemudian bertemu semula dengan teman lamanya, Mira (Atikah Suhaime), yang sudah berubah menjadi lebih cantik dan kaya. Bibah mendapat tahu Mira menjadi kaya raya kerana berkahwin dengan seorang lelaki yang kaya.

Mira memujuk ibunya meminjam wang sebanyak RM2,000, kononnya untuk membuat pelaburan sedangkan sebenarnya ia ingin digunakan Bibah untuk membeli baju baharu, alat solek dan perhiasan dengan satu tujuan, untuk memikat lelaki kaya. Adakah strategi Bibah untuk mendapatkan lelaki kaya akan berjaya?

Saksikan perancangan Bibah dalam drama Ala Bib setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang di slot Iris TV3. Alaa.. Bib turut dijayakan oleh Iqram Dinzly, Syafiq Kyle dan Sheila Mambo.

37 dibaca
Berita Harian X