Selasa, 13 Oktober 2015 | 5:29pm

Pesara tentera diminta daftar JHEV, PBTM untuk kebajikan


MAS'OD Muhammad (kiri) bermesra dengan bekas anggota tentera yang hadir pada majlis meraikan anggota cedera semasa Operasi dan Latihan berisiko tinggi peringkat 2 Briged hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Pesara dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) diminta berbuat demikian bagi memperoleh faedah yang disediakan pihak berkenaan.

Panglima 2 Briged Jen Mas'od Muhammad berkata, menerusi pendaftaran itu, mereka akan menerima pelbagai faedah seperti khidmat nasihat dan bantuan yang telah disediakan untuk menjaga kebajikan mereka.

"Saya menyeru mana-mana pesara dan bekas anggota tentera yang belum mendaftar supaya mendaftar sebagai ahli untuk memudahkan pihak JHEV dan PBTM mengikuti perkembangan semasa dan memberi sebarang bentuk bantuan jika memerlukan.

"Kedua-dua agensi ini memainkan peranan yang sangat penting bagi membantu anggota tentera yang sudah menamatkan perkhidmatan dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka," katanya ketika berucap pada majlis meraikan anggota tentera cedera semasa operasi dan latihan berisiko tinggi peringkat 2 Briged di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 84 anggota yang masih berkhidmat dan pesara yang bertugas pada operasi dan latihan itu hari ini dirai dan menerima sumbangan wang tunai RM500 daripada Sel Kebajikan Tabung Angkatan Tentera.

Mengenai sumbangan berkenaan, Mas'od berkata ia adalah tanda penghargaan ATM kepada pesara dan anggota tentera yang masih berkhidmat kerana berjuang dan mempertahankan kemerdekaan negara. "Ramai anggota tercedera atau hilang upaya semasa berjuang, namun mereka tidak pernah berasa kesal dengan perjuangan tersebut apatah lagi dihargai dan dibayar ganti rugi," katanya.

Sementara itu, Mustapa Saji, 63, seorang pesara yang hilang kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar komunis ketika terbabit dalam Operasi Naga Line pada 1977 di Baling, Kedah melahirkan rasa gembira di atas penghargaan yang diberikan ATM.

"Ketika itu, saya baharu tujuh tahun berkhidmat dalam ATM. Walaupun sedih kerana hilang sebelah kaki, namun saya bangga dengan keadaan saya begini disebabkan mahu mempertahankan negara.

"Saya rasa terharu kerana masih ada pihak yang masih mengingati jasa dan pengorbanan saya yang berjuang mempertahankan negara," katanya.

- BERNAMA

335 dibaca
Berita Harian X