Jumaat, 16 Oktober 2015 | 12:52pm

Alcatel Flash 2 beri pengalaman baharu rakam gambar


Alcatel Flash 2

MEMBAWA tema mobigraphy, menjadikan telefon terbaharu daripada Alcatel ini menjadi antara pilihan pengguna telefon pintar.

Rata-rata pengguna telefon pintar pastinya mahukan sebuah peranti yang mempunyai keutamaan dalam menangkap gambar dan Alcatel Flash 2 mungkin menjadi pilihan yang tepat.

Pelancaran rasmi Alcatel Flash 2 di pasaran Malaysia di Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu, bakal memberikan pengalaman baharu kepada pengguna merakam detik indah.

Sudah tentu kekuatan utama telefon pintar ini adalah pada kamera belakang yang mempunyai 13 megapiksel dan dilengkapi dengan realtone dual flash.

Teknologi ini memberikan kesesuaian kepada pengguna untuk merakam gambar pada semua jenis keadaan cahaya tidak kira malap atau gelap.

Kebiasaannya jika keadaan cuaca malap, penggunaan flash terpaksa digunakan dan ia sering kali tidak memberikan warna sebenar keadaan ketika itu atau tidak cantik, namun tidak dengan Alcatel Flash 2.

Selain itu, ketika menggunakan flash juga, ia tidak terlalu tepat ke wajah atau objek yang ingin diambil gambar tetapi mempunyai teknologi menyesuaikan flash dengan keadaan sekitar.

Ia turut hadir dengan track-mode, rakaman time-lapse, HDR, dan sokongan Live Photo Mode.

Alcatel Flash 2 menggunakan sensor daripada Samsung untuk kamera belakang ini, iaitu Samsung S5K3M2 ISOCELL.

Untuk kamera hadapan, atau turut dipanggil sebagai Profie Cam oleh Alcatel, ia dilengkapi kamera 5-megapiksel dan aperture f/2.2.

Itu bagi kameranya saja. Bagi spesifikasi lain, Alcatel Flash 2 mempunyai skrin bersaiz 5 inci dengan paparan HD (1280×720 pixel), cip pemprosesan MediaTek MTK6753 1.3Ghz, memori 2GB RAM, dan ruangan storan dalaman 16GB.

Alcatel Flash 2 turut memberikan keselesaan kepada pengguna, lantaran itu reka bentuk luarannya sangat selesa.

Ia memberikan bentuk yang mudah digenggam dan mengikut bentuk tangan ketika menggenggam.

Alcatel Flash 2 menggunakan bateri 3000mAh, dan dilengkapi sokongan 4G LTE. Ia menggunakan sistem operasi Android 5.1 Lollipop.

Bagi pasaran Malaysia, model Alcatel ini akan ditawarkan melalui Lazada Malaysia mulai 26 Oktober dengan harga istimewa RM549.

130 dibaca
Berita Harian X