Jumaat, 16 Oktober 2015 | 3:16pm

MAI garis 4 teras untuk Bajet 2016


KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Madani Sahari (tengah) bergambar bersama pasukan Taylor Racing Team (baju hitam) pada pelancaran Formula SAE ASEAN 2016 di Cyberjaya. - Foto Fakhrurrazi Usuldin

CYBERJAYA: Institut Automotif Malaysia (MAI) menggariskan empat teras untuk diberi perhatian oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2016 minggu depan, seperti terkandung dalam perancangan Dasar Automotif Negara (DAN) 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madani Sahari berkata, teras berkenaan adalah mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor automotif, peningkatan kerjaya, menjana usahawan baharu dan memperhebatkan perniagaan sedia ada.

"Dalam Bajet 2016, kami merangka beberapa pelan iaitu penyediaan peluang pekerjaan baharu bagi lebih 25,000 orang dan melatih 10,00 pekerja sedia ada sejajar dengan DAN 2014 dalam usaha meningkatkan keupayaan industri automotif tempatan.

"Selain itu, kami berharap kerajaan dapat memperkasakan daya saing lebih 100 syarikat vendor tempatan bagi meningkatkan operasi dan perkhidmatan lebih baik.

"Kami juga merangka pelan untuk membangunkan 2,500 bengkel automotif dalam usaha menambah jumlah usahawan dalam bidang berkaitan selain dapat meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan berkaitan.

"MAI turut berharap usaha membangunkan usahawan baharu dalam jualan, pengedaran, servis, pembaikan, pembuatan, pembuatan semula dan kitar semula dapat dilaksanakan menerusi Bajet 2016," katanya kepada media selepas pelancaran Formula SAE ASEAN 2016 di sini, hari ini.

Madani berkata, MAI mengharapkan Bajet 2016 dapat memberikan peruntukan secukupnya kepada sektor automotif bagi melaksanakan pelan yang dirangka.

Katanya, peruntukan yang cukup amat perlu dalam usaha memacu industri tempatan mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau.

"Tahun lalu, sumbangan sektor automotif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 3.8 peratus dan MAI mensasarkan sumbangan ini meningkat kepada 4.5 peratus tahun depan," katanya.

Selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau, Madani berkata, MAI dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) giat mempromosikan pelbagai inisiatif termasuk Formula SAE ASEAN iaitu perlumbaan kereta prototaip yang dibangunkan sektor swasta dan universiti di ASEAN, meningkatkan pakar dalam bidang kejuruteraan, memperkasakan vendor di peringkat serantau dan memacu pertumbuhan rantaian bekalan.

"Kami sudah memulakan langkah yang perlu selaras dengan hasrat memperkasakan sektor automotif tempatan untuk mencapai cita-cita menjadikan Malaysia sebagai hab automotif ASEAN," katanya.

124 dibaca
Berita Harian X