Ahad, 18 Oktober 2015 | 12:08am
DARI kiri, Ezlisa, Ahmad Ezzrin dan Elfira Loy. - Foto Rohanis Shukri
NAMA kafe Love Me Sevendays diilhamkan atas rasa cinta yang ada dalam dirinya sebagai manusia biasa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
EZZRIN Loy, Elfira Loy dan Ezlisa Loy di kafe Love Me Sevendays di Wisma Alam Damai, Cheras. Foto Shiraz Ali

Elfira Loy beralih cinta


HINGGA saat ini, kisah cinta Elfira Loy belum mampu diduga di manakah kesudahannya. Pernah dikaitkan dengan Zizan Razak, Zoey Rahman dan pelakon seberang, Baim Wong, empunya badan hingga saat ini masih dilihat menyendiri.

Tidak terlalu tertekan mengenai hal itu atau melihat cinta itu sebagai keperluan, si genit berusia 21 ini sebaliknya gigih menebarkan cintanya ke arah lain.

Saat ini cintanya terhadap bidang lakonan dan pengacaran diperlahankan buat sementara waktu. Kini cintanya hanya fokus pembelajaran tahun akhirya di Kolej Damansara Utama (KDU), Glenmarie Shah Alam dalam jurusan seni hiburan selain memperkukuhkan empayar perniagaan restorannya diberi nama kafe Love Me Sevendays yang baharu beroperasi hampir tiga bulan di Alam Damai, Cheras.

Berbeza dengan remaja seusianya, Elfira kini dilihat begitu bijak merencana masa hadapannya. Kafe Love Me Sevendays saban hari berjaya menarik ramai penggemar atau kaki makan. Mengetengahkan konsep fusion, Elfira menerusi khidmat chef berpengalaman yang bertugas di kafe itu berusaha sehabis baik memberikan hidangan paling enak.

Menurut Elfira lagi, nama kafe berkenaan diilhamkan atas rasa cinta yang ada dalam dirinya sebagai manusia biasa. Elfira menjelaskan, hatinya terpaut pada konsep dan dekorasi kafe di Thailand yang menggabungkan pelbagai elemen gaya hidup sebagai tarikan. Katanya lagi, pengusaha kafe di Thailand cukup kreatif dengan menjadikan kata-kata hikmah sebagai nama premis.

"Selepas puas berfikir, saya memilih Love Me Sevendays yang dianggap kena dengan konsep cinta yang mahu dikongsi dengan pelanggan tetapi menerusi makanan. Pendek kata dalam seminggu itu, kita harus tebarkan kasih sayang dan cinta berulang-ulang hingga ke minggu berikutnya. Ditambah dengan inspirasi kafe di Thailand, saya pilih untuk namakan kafe ini kepada apa yang saya rasa.


ELFIRA Loy di kafe Love Me Sevendays di Wisma Alam Damai, Cheras. - Foto Shiraz Ali

"Kalau di Thailand saya pernah lihat ada kafe diberi nama Hugs Cafe contohnya. Tak kurang yang menggunakan madah dan kata hikmah. Itu antara sebab saya memilih nama berkenaan kerana saya mahu kongsi rasa sayang dan cinta dengan semua yang datang ke kafe ini. Kawan saya yang asalnya mencetuskan nama ini. Jadi saya katakan kenapa tidak namakan Love Me Sevendays sahaja," katanya dalam pertemuan dengan BH Plus di kafe beliau baru-baru ini.

Ditanya kenapa memilih untuk membuka perniagaan kafe, ia didorong oleh minat sejak kecil.

"Sejak kecil, saya memang selalu mengikuti mama bekerja. Ketika di sekolah tadika lagi saya sudah terdedah kepada perniagaan. Ketika itu, mama melakukan banyak kerja dalam satu masa daripada pengurusan majlis hinggalah katering. Jika mama boleh lakukan kenapa saya tak buat juga. Lagipun, saya sudah ada asas dalam dunia perniagaan, jadi saya patut manfaatkannya

"Selain itu saya buka kafe ini pun kerana ia boleh buat semua orang gembira. Dengan makanan pastinya kita boleh ubah mood seseorang itu. Jelas makanan sangat penting dalam hidup manusia. Ia perniagaan yang bagus dan saya cuba meneroka lebih daripada menyajikan makanan kepada mereka yang datang

"Alhamdulillah setakat ini, sambutan cukup menggalakkan. Paling penting kalau ramai yang berpuas hati dengan kualiti makanan disajikan... itu sudah mampu membuatkan saya bersyukur. Kami cuba menyajikan kelainan di kafe ini. Ada yang siap tanya, letak apa dalam menu itu dan ini. Itu pastinya rahsia. Walau jauh manapun lokasi kafe ini, saya yakin ramai akan datang kerana tahu kualiti makanannya," katanya.


ELFIRA melayan pelanggan yang datang ke restorannya di Wisma Alam Damai, Cheras. - Foto Shiraz Ali

Ditanya apakah menu menarik yang menjadi perhatian pelanggan setiap kali datang ke kafenya, Elfira memberitahu setiap menu yang dijual mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

"Nak cakap di kafe ini ada menu istimewa, tak ada sebenarnya. Setiap orang yang datang makan ada kegemarannya sendiri. Tapi apa yang penting chef dan pekerja kafe saya akan cuba tampilkan kelainan dalam setiap menu yang dihidangkan sekalipun menu ringkas. Saya bertuah kerana dapat tukang masak terbaik. Rezeki saya barangkali. Alhamdulillah.

"Kebetulan saya ada saudara bekerja di sebuah hotel yang kenal dengan chef terbaik. Chef itu pula perkenalkan saya kepada kawan chefnya. Chef yang bekerja di kafe saya ini mempunyai kelayakan dan pengalaman di hotel lebih 15 tahun. Ramai yang memuji dan kredit seharusnya diberikan kepada chef itu," katanya sambil memberitahu kafe mula beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Ketika ini, Elfira memberitahu jadual pengajiannya cukup memenatkan.

"Almaklumlah semester akhir. Kelas setiap hari ada. Saya hanya cuti pada hari Sabtu dan Ahad. Dunia seni saya memang perlahan ketika ini. Tapi saya tetap sibuk di laman sosial termasuk Instagram. Ikutkan memang ada tawaran berlakon dan mengacara, tetapi saya tak nak susahkan orang lain hanya kerana nak ikut jadual saya. Pengajian saya akan berakhir tak lama lagi. Selepas itu boleh kembali buat comeback di arena seni," katanya.


ELIFIRA Loy. - Foto Rohanis Shukri

Bagaimana pula dengan perancangan mendatang dan juga hasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara menerusi kursus jangka pendek?
"Dalam kepala ini memang banyak perancangan. Macam-macam nak buat. Tapi nanti saya akan realisasikan perancangan yang terbuku dalam hati. Saya akan senaraikan perancangan yang mahu dibuat dan selebihnya serahkan kepada peminat untuk memilihnya. Entahlah dalam kepala ini terfikir nak keluar dengan rangkaian alat solekan sendiri. Tak pun skrub atau bijiran.

"Mengenai perancangan nak lanjut pelajaran dalam kursus jangka pendek itu rencananya pada tahun hadapan. Mungkin dalam bidang fesyen atau perniagaan. Saya tak boleh terlalu merancang sangat. Saya ikut sahaja aliran dan apa yang bakal terjadi pada masa mendatang," katanya.

517 dibaca
Berita Harian X