Selasa, 20 Oktober 2015 | 7:31pm

Cai Lin sasar layak acara kedua Olimpik Rio


MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) bergambar bersama atlet memanah negara, Saritha Cham Nong (kiri) yang menerima insentif bernilai, RM6,000 dan atlet renang negara, Khoo Cai Lin (kanan), menerima insentif RM 4,250 pada majlis anugerah kecemerlangan sukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2015. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Selepas layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil dalam acara 400 meter gaya bebas wanita, perenang jarak jauh negara, Khoo Cai Lin kini mahukan tiket untuk acara 800 meter (m) gaya bebas pula.

Cai Lin, 26, sebelum ini menempah tiket ke Rio dalam acara 400m gaya bebas selepas meraih pingat perak Sukan SEA Singapura Jun lalu.

Dia percaya masih mempunyai masa untuk menempah satu lagi tiket ke Sukan Olimpik pada awal tahun hadapan sebelum temasya sukan berprestij itu bermula.

"Setakat ini saya sudah layak untuk acara 400m gaya bebas dengan catatan empat minit 17.79 saat. Saya harap dapat memperbaiki catatan itu sebelum ke Rio.

"Pada masa sama, saya juga meletakkan sasaran mendapatkan tiket beraksi dalam acara 800m," katanya selepas menerima insentif daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Insentif sebanyak RM4,250 diberikan atas kejayaannya mendapat dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Sukan Universiti ASEAN di Palembang, Indonesia baru-baru ini.

Menurut Cai Lin, beliau tidak akan menyertai sebarang kejohanan sehingga penghujung tahun ini dan hanya akan menumpukan perhatian dalam latihan kerana mahu memberi lebih perhatian kepada pelajarannya.

Beliau yang juga pelajar ijazah jurusan komunikasi massa serta ijazah perhubungan awam dan pemasaran di Taylor's University, ketika ini perlu menyeimbangkan masa untuk pelajaran dan sukan.

- BERNAMA

24 dibaca
Berita Harian X