Isnin, 26 Oktober 2015 | 12:46am

Palestin tolak rancangan Israel pasang kamera di Al-Aqsa


Kamera keselamatan rancangan Israel dipasang di Al Aqsa mendapat bantahan pemimpin Palestin.

BAITULMAQDIS: Pemimpin Palestin menolak rancangan memasang kamera keselamatan di Masjid Al-Aqsa walaupun perkara itu sudah dipersetujui Amerika Syarikat (AS), Israel dan Jordan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap perjanjian itu mengekalkan status quo di pekarangan masjid dikenali Temple Mount dalam kalangan penganut Yahudi, di sini, dapat mengurangkan ketegangan yang mencetuskan keganasan memuncak sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, memberitahu Voice of Palestine, rancangan itu adalah satu perangkap kerana Israel akan menggunakan rakaman video bagi menangkap penganut Islam.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, berkata video pengawasan 24 jam itu mungkin satu titik perubahan dalam mengekalkan kesucian Masjid Al-Aqsa, kawasan suci ketiga umat Islam, namun rakyat Palestin menempelak bahawa beliau jelas mengabaikan masalah asas yang berlaku di situ. - AGENSI

478 dibaca
Berita Harian X