Isnin, 2 November 2015 | 12:07am
KEKUATAN lakonan penggiat teater muda di pentas berupaya melahirkan perasaan daripada puisi disampaikan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
AKSI menarik pelakon teater Dari Bintang Ke Bintang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SEBAHAGIAN aksi pelakon teater Dari Bintang Ke Bintang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PEMENTASAN yang diiringi dengan nyanyian Kumpulan Tinaju menampilkan puisi indah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PEMENTASAN bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2015 itu, menghimpunkan lebih 20 karya puisi dan skrip teater Usman. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
GERAKAN tangkas pelakon teater Dari Bintang Ke Bintang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dari Bintang Ke Bintang hilang Melayu?


PEMENTASAN teater Dari Bintang Ke Bintang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PAKAIAN pelakon yang mencolok mata sehingga mendedahkan dada dengan pakaian gaya moden pasti tidak mencerminkan identiti Melayu seperti yang tersurat dan tersirat pada karya Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Usman Awang.

Bagaimanapun, penampilan itulah yang dapat disaksikan pada pementasan teater Dari Bintang Ke Bintang di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pementasan bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2015 itu, menghimpunkan lebih 20 karya puisi dan skrip teater Usman.

Kali pertama dipentaskan pada tahun 1998, teater itu kembali semula dengan beberapa rombakan terutama barisan pelakon, skrip dan jalan cerita yang lebih moden.


PENGARAH pementasan teater Dari Bintang Ke Bintang, Fauziah Nawi.

Berbeza dengan gaya Usman

Meskipun mengekalkan pengarah sama, iaitu Fauziah Nawi yang berganding bahu dengan Iryanda Mulia, pementasan itu mungkin gagal menepati selera pengikut karya Usman Awang yang merindui sisi romantis dan kelembutan dalam bait puisinya.

Gaya penyampaian puisi oleh Usman yang tenang dan bersahaja dalam mengeluarkan setiap butiran kata amat berbeza dengan lenggok disampaikan oleh pemain teater Dari Bintang Ke Bintang yang melaung dengan jeritan kuat sehingga sebahagian khalayak tidak dapat menikmati dan menghayati makna di sebaliknya.

Sastera BH yang berkesempatan menyaksikan teater itu tidak menafikan kekuatan lakonan penggiat teater muda di pentas kerana bukan saja berupaya melahirkan perasaan daripada puisi disampaikan bahkan melagukan karya Usman dengan indah, malangnya ia tidak meresap ke dalam jiwa khalayak.


LENGGOK penyampaian pemain teater Dari Bintang Ke Bintang agak berbeza dengan gaya penyampaian puisi oleh Usman yang tenang dan bersahaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bagaimanapun, Fauziah ketika ditemu bual mempertahankan pementasannya kerana menganggap karya itu mewakili semangat orang muda dan bertunjangkan kisah masyarakat hari ini melayari kehidupan dalam dunia yang serba mencabar.

Tidak berbaju, tanda berani

Fauziah berkata, kebanyakan mesej penting yang disampaikan dalam teater itu diterjemah ke dalam pelbagai elemen termasuk kostum pelakon, seni reka pentas dan warna hitam putih yang mengisi hampir keseluruhan persembahan.

"Mungkin orang akan bertanya mengapa pelakon lelaki tidak berbaju, ia sebenarnya satu cara saya untuk menunjukkan sisi kelelakian hari ini yang perlu berani dan bertanggung jawab dalam segala hal.


WATAK pelakon lelaki tidak berbaju tunjukkan sisi kelelakian hari ini yang perlu berani dan bertanggungjawab dalam segala hal. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Bahkan, latar pentas yang berbentuk perahu atau bahtera adalah bagi menjawab tema keseluruhan kisah yang disampaikan, iaitu simbolik kepada turun naik kehidupan ini dan bagaimana cara kita melayarinya," katanya pada pementasan anjuran bersama ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Usman Awang dan Stefani Events.

Malah, Fauziah menganggap reaksi penonton tidak mengecewakan terutama mereka yang pernah menyaksikan pementasan itu 17 tahun lalu memberitahu lebih suka versi baharu yang lebih segar dan padat ini.

Rombak skrip asal

"Kali pertama dipentaskan pada tahun 1998, ia dipersembahkan lebih satu jam, namun ia tidak lagi relevan dalam konteks hari ini kerana bimbang cerita akan meleret-leret.

"Wajah baharu Dari Bintang Ke Bintang ini hanya dipentaskan dalam durasi 50 minit dengan pemilihan puisi yang lebih terperinci dan bersesuaian dengan tema persembahan, sekali gus kami merombak semula skrip sebelum ini," katanya.


WAJAH baharu Dari Bintang Ke Bintang ini hanya dipentaskan dalam durasi 50 minit. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pementasan yang diiringi dengan nyanyian Kumpulan Tinaju menampilkan puisi seperti Suara dari Pusara, Mata Ayah, Jebat Pahlawan Rakyat dan Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar.

Pelakon yang membintangi Dari Bintang Ke Bintang termasuk Mohsein Mohyi, Raouf Arif, Afnan Shahir, Raja Muhammad Hafiz, Iellyas Fietrie, Jali Masari, Ieka Simone, Syeera Ishak dan Shafinaz Mohd Shah.

324 dibaca
Berita Harian X