Jumaat, 13 November 2015 | 12:20am
KESEGARAN ketam sangat diutamakan di Restoran Chilli's Crab, Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMILIK Chilli's Crab, Annissa Idrus (kiri) bersama pembantu di restorannya di Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dulu pelanggan, sekarang tauke restoran


JIKA dulu Anissa Idrus, 27, adalah pelanggan setia restoran makanan laut itu tetapi kini beliau adalah pemiliknya.

Restoran terletak di Dataran Sunway, Kota Damansara itu sebelum ini dimiliki peniaga Cina yang menyediakan hidangan makanan laut halal.

Anissa dan arwah abangnya, Rahimi Idrus kerap makan di restoran berkenaan sehingga dalam seminggu pasti tiga hingga empat kali mereka akan ke sana menjamu selera.

Apabila pemilik asal restoran itu menawar kepadanya mahu menjual restoran itu, pelawaan itu terus disambut Anissa dengan tangan terbuka.

Minat memasak, membuatkan anak kelahiran Terengganu ini, nekad membuat keputusan membeli restoran itu. Malah, kalau orang lain biasanya memberi premis, beliau turut membeli semuanya - daripada peralatan sampailah 'rahsia resipi' asal restoran itu serta mengekalkan cef dan pekerjanya.


PEMILIK Chilli's Crab, Anissa Idrus menunjukkan menu istimewa di restorannya di Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Katanya, tiga tahun lalu restoran itu dikenali sebagai Tanjung Tualang Prawn House tetapi ditukar kepada nama sekarang iaitu Chilli's Crab, berikutan isu halal apabila kerap kali ditanya pelanggan.

"Bagi pelanggan pertama kali berkunjung ke restoran, hati pasti berbelah bahagi memikirkan sama ada restoran ini menyediakan makanan halal atau tidak.

"Itulah situasi yang biasa saya lalui apabila ada pelanggan berasa ragu-ragu status halal di restoran miliknya, ketika awal pembukaan restoran ini.

"Sehinggakan ada seorang wanita, meminta pekerja saya mengucap kalimah syahadah dulu untuk memastikan restoran ini milik Muslim. Tidak cukup itu, pelanggan itu berulang kali bertanya pemilik, beragama Islam atau tidak," katanya sambil tersenyum mengimbas awal pembabitan mengusahakan restoran itu.

Kini, pelanggan tidak lagi meragui status halal hidangan disajikan di restoran Chilli's Crab, hinggakan ada kala Anissa dan pekerjanya tidak menang tangan melayani kunjungan pelanggan.


ANTARA hidangan istimewa di Restoran Chilli's Crab, Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Semua berlaku dengan pantas dan tanpa disedari, sudah tiga tahun Anissa menjadi tauke restoran berkenaan.

"Ketika itu, saya bekerja dengan syarikat ayah di Kuala Lumpur. Tak sangka arwah abang mahu membelinya atas rasa percaya dan yakin saya akan menguruskan dengan baik," katanya.

Kebetulan, beliau mempunyai latar belakang dalam pendidikan makanan dan pengurusan restoran. Lalu, beliau teruja mencuba menguruskan perniagaan berasaskan makanan.

Bagaimanapun, sedihnya, pemergian arwah abangnya, Rahimi dalam satu kemalangan di Lebuh raya Pantai Timur, baru-baru ini cukup menyedihkan Anissa kerana selama ini, semangat dan dorongan untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai salah satu cabang rezeki banyak diperoleh daripada arwah.

"Kehilangan abang cukup besar buat saya. Arwah sanggup membelikan restoran ini kepada saya atas dasar percaya saya mampu menguruskan ia dengan baik. Sebagai membalas jasa abang, saya akan meneruskan legasi perniagaan ini selagi mampu," katanya.


ANISSA Idrus menunjukkan ketam segar di Restoran Chilli's Crab, Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sebelum Anissa mahir berkenaan perihal restoran, pelbagai suka duka ditempuhi. Namun, benar pepatah alah bisa tegal biasa.

"Rupanya bukan mudah untuk uruskan pekerja dan pelanggan. Ketika itu, saya cuma berusia 24 tahun dan perlu memberi arahan kepada pekerja lebih dewasa dan ia bukan mudah.

"Bayangkan, pada hari pertama, saya menyorok dalam tandas seharian kerana rasa segan dan tidak tahu macam mana mahu melayan pelanggan," katanya.

Bagaimanapun, Anissa cepat belajar. Hanya dalam tempoh tiga bulan, beliau sudah boleh memasak semua menu hidangan restoran, menguruskan pekerja dan melayan pelanggan dengan baik.


HIDANGAN ketam mendapat sambutan ramai di Restoran Chilli's Crab, Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ilmu mengendalikan perniagaan itu banyak diperoleh daripada cef restoran itu, Cef Muhizad Mohid.

Cef Muhizad sudah berpengalaman dalam dunia masakan sejak sembilan tahun lalu. Sebut apa saja resipi, pasti hasilnya tidak mengecewakan. Tidak hairanlah sesiapa yang pernah mengunjungi restoran ini akan mengulang kembali kunjungan mereka ke restoran berkenaan.

Anak ke-11 daripada 14 adik-beradik ini, berkata dalam keluarganya, cuma beliau 'lari bidang' kerjaya berbanding yang lain dan ayah juga bekerja dalam industri minyak dan gas.

"Ayah saya memiliki syarikat minyak dan gas di Terengganu dan Kuala Lumpur. Jadi, kesemua adik-beradik bekerja dalam bidang ini kecuali saya.

"Minat memasak membuatkan saya mahu ke arah industri makanan dan hasrat ini tidak pernah dihalang keluarga," katanya.


ANISSA Idrus di hadapan Restoran Chilli's Crab, Kota Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Beliau berkata, walau bagaimanapun, bukan mudah berniaga dalam usia muda.

"Saya bekerja 12 jam sehari. Tidak ada waktu terluang untuk membeli-belah atau berjumpa kawan. Tetapi minat mengatasi segala-galanya. Ini apa yang saya cari selama ini ," katanya.

Walaupun tauke restoran, beliau masih memasak di dapur restoran, mengelap meja, mencuci pinggan dan membantu pekerja menyediakan keperluan restoran.

Info:

  • Chilli's Crab menyedia 12 menu ketam segar setiap hari.
  • Dibuka jam 10 pagi hingga 11 malam setiap hari kecuali Rabu pertama dan ketiga.
  • Setiap hidangan mempunyai rempah ratus dan adunan ramuan rahsia asal pemilik restoran.
  • Istimewanya restoran ini hanya menggunakan ketam nipah untuk dihidangkan kepada pelanggan.
  • Setiap hari 40 kilogram (kg) ketam dipesan, 80kg ketam diperlukan pada hujung minggu.
  • Ketam diimport dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka dan China.
  • Menu utama ketam Kum Heong, ketam cili, lada hitam, keju mentega, masam manis, kari, marmite, sup, lemak cili api dan ketam sos istimewa.
  • Menu lazat lain Bee Hoon Singapura berketam, Hokkien Bee Hoon berketam serta ketam cengkerang lembut.
406 dibaca
Berita Harian X