Isnin, 16 November 2015 | 12:04am
OGY mengakui hingga saat ini hatinya belum terfikir untuk berkahwin lagi. - Foto Nik Hariff Hassan

Ogy Ahmad Daud tak kisah tiada suami


LEBIH sedekad hidup solo tanpa kehadiran insan bernama suami, Ogy atau Fauziah Ahmad Daud mengakui hingga saat ini hatinya belum terfikir untuk kahwin lagi.

Malah kehadiran Nuraminah Aishah kini berusia lapan tahun yang dipeliharanya sudah cukup menebarkan kasih sayang dan cintanya sebagai manusia.

Pertemuan BH Plus dengan anak kepada seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati Allahyarhamah Datin Saadiah baru-baru ini di Restoran Podium, Plaza Damas dengan kerjasama ilham dekorasi, Ombredreamskl dalam sidang media memperkenalkan beliau sebagai watak Chombi menerusi teater Mak Cun memberi ruang untuk mendasari hatinya.

Sekadar mengimbas kembali, Ogy berkahwin dengan Eman Manan pada 1990. Mereka bernikah ketika masing-masing berada di puncak kerjaya mereka.

Bagaimanapun tugu cinta yang dibina atas dasar cinta hanya bertahan selama 12 tahun, enam bulan dan lapan hari apabila. Eman melafazkan cerai pada 2 Julai 2003 di Mahkamah Syariah, Kuala Lumpur.

"Soal kahwin itu memang tak pernah terlintas. Malah pada satu tahap, ia menjadi seperti masalah buat saya. Kadang-kadang saya terfikir, hormon saya sudah tidak stabil mungkin kerana bayangkan saya pernah berdoa kepada Tuhan supaya jangan menjodohkan saya dengan sesiapa lagi. Ini kerana saya takut, jika ada suami dan andai kata saya mula mengkritiknya... saya akan jadi isteri durhaka pula.


OGY juga menjadi guru persembahan program Pencetus Ummah 2015. - Foto Amirudin Sahib

"Terus terang, saya takut dijodohkan dengan lelaki yang lembab dalam segala hal. Kalaulah ditakdirkan begitu, bagaimanalah agaknya. Itu yang menakutkan saya. Tapi minta simpanglah. Lebih daripada itu, saya sering tertanya adakah lelaki di luar sana itu dapat menerima anak saya sekali selain diri ini," katanya selamba.

Bagi guru persembahan program Pencetus Ummah 2015 itu, beliau tanpa berselindung mengakui masih tidak mencari pengganti apatah lagi mempunyai kekasih saat ini.

"Memang kalau tanya bab cinta, saya memang tak ada. Menyedihkan tapi itulah hakikat. Tapi saya tak terlalu memikirkannya kerana hidup saya bagaikan sudah terisi dengan kehadiran Nuraminah.

"Selain itu kesibukan saya dengan kerja juga melupakan semua itu. Saya memang suka berkongsi ilmu yang ada. Pada masa yang sama perniagaan sambal goreng Saadiah yang diusahakan juga menerima maklum balas positif.

"Saya cukup menikmati kehidupan ini. Saya banyak menyerap tenaga positif di sekeliling," katanya.

Pertemuan dengannya baru-baru ini juga tak sah ditanyakan mengenai hubungan dengan Erma Fatima yang kembali pulih. Bahkan keduanya beraksi di pentas teater Mak Cun yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 14 hingga 22 November ini. Kali terakhir industri hiburan melihat gandingan mereka berlakon ialah menerusi telefilem Pengantin Popular, lebih 20 tahun lalu.


OGY Ahmad Daud dan Erma Fatima. - Foto Nik Hariff Hassan

Telefilem itu menarik perhatian ramai malah turut mencipta kontroversi kerana mengungkit perang mulut yang pernah terjadi antara mereka selain memaparkan sisi negatif beberapa watak yang benar-benar wujud. Drama arahan Rashid Sibir terbitan BNE Production itu bersiaran menerusi slot Cerekarama TV3 sekitar 1994.

Ogy ditanya kembali apakah sebenar yang terjadi antaranya dengan Erma. Bukan berniat mengungkit cerita lama, Ogy sekadar diajak mengimbas kembali apa yang berlaku serba sedikit di antara mereka hingga Erma sendiri menyifatkan perang sesama mereka itu cukup kronik.

"Tak ada apa sebenarnya. Cuma ia bermula selepas dia (Erma) cakap kepada saya ini sebagai over acting. Saya jawab balik dan cakap dia pula berlakon stereotype. Situasi itu akhirnya turut dijadikan dan intipati dalam telefilem Pengantin Popular. Kebetulan telefilem ini mendapat sambutan dan meletup. Bahkan hingga abad 21 ini pun, ramai yang masih memperkatakan mengenainya. Ia sangat luar biasa.

"Mengenai sengketa kami, biasalah saya manusia biasa yang tak lepas dari berkecil hati. Dalam hati geram juga budak ini berlakon tak betul (merujuk kepada Erma) sudah pandai mengkritik saya ketika itu. Ia berpanjangan.

"Kalau saya bertemu atau bertembung dengan dia pun masing-masing buat muka dan 'berdrama'. Tapi semua itu kisah lama," kata Ogy.

Menurut Ogy, biarpun mereka tidak sebulu suatu ketika dahulu, beliau mengakui mengikuti perkembangan Erma secara tak langsung.


BARISAN pelakon utama teater muzikal Mak Cun di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Ikutkan saya ada menonton karya seninya tak kira sama ada dia sebagai pelakon atau pengarah sewaktu kami tidak menyapa. Cuma selepas sekian lama dan di usia yang sebegini, apa yang berlarutan itu tidak betul. Takkan benda sekecil zarah itu, harus terus disimpan dalam hati. Saya tak berdendam dengannya biar sekelumit pun.

"Biasalah manusia kalau kecil itu, adatlah. Cuma lama-lama terdetik dalam hati, apa yang kami lakukan selama ini tak betul. Yang berlalu itu biarlah. Tak kira kita artis atau apa sesiapa pun, kita bukan di zaman 'jahiliah' lagi. Kita ini umat Muhammad S.A.W. Syukur rasa hati itu bagai didengari Tuhan. Aturan-Nya begitu cantik kerana sekitar September lalu, Umie Aida ada datang kepada saya.

"Sambil membeli sambal goreng Saadiah yang saya jual, Umie ada merisik sama ada saya nak kembali berlakon dengan Erma. Titik tolaknya memang daripada Umie. Saya dengan mudahnya berkata ya. Saya tak ada masalah untuk bertemu Erma. Sehari selepas itu, kami bertemu dan akhirnya begitu mudah serta pantas sengketa kami luput,"katanya.

Menurut Ogy lagi, pertemuan beliau bersama Erma itu berjalan lancar.

"Ibaratnya pertemuan itu tak ada sebarang drama yang sering kita lihat di dalam TV atau pun dalam telefilem Pengantin Popular. Jauh sekali seperti drama Bawang Putih, Bawang Merah. Bagi saya, kami saling memaafkan dan enggan lagi mengenang episod lalu. Maaf itu datang dari dalam hati dan bukan dari lidah.


OGY ketika menjadi juri pada Konsert AF 2015 di Dewan MBSA, Shah Alam. - Foto Adi Safri

"Bahkan kami tak langsung mengungkit atau bertanya mengenai cerita lama. Saya bertemunya dengan harapan untuk memaaf dan melupakan kisah lama sekali gus membuka lembaran baharu. Pada ketika itu, tak kira sama ada dia nak tawar berlakon atau tidak, saya tetap akan melupakan sengketa kami. Dia tetap seperti adik saya. Saya seperti kakaknya.

"Janji Allah itu pasti kerana apabila kita mengeratkan silaturahim, rezeki datang melimpah ruah. Alhamdulillah dia berminat tawarkan saya berlakon teater Mak Cun. "Cuma memang saya ambil masa lama untuk memberi keputusan terhadap tawaran itu. Saya tak mahu susahkan dia kerana ada komitmen lain. Tapi dia beriya-iya nak juga, saya jadi malu alah dan tak mahu hampakan sesiapa. Segala-galanya dipermudahkan. Malah gandingan ini juga seperti reunion filem Puteri kerana Datuk Rahim Razali pun berlakon sama," katanya teruja.


ANTARA persembahan pentas teater muzikal Mak Cun di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO
Ogy Ahmad Daud

  • Pernah meraih beberapa anugerah antaranya, Pelakon Harapan Terbaik (Ceritamu Ceritamu - 1979), Aktres Terbaik (Ali Setan - 1986), Aktres Terbaik (Puteri - 1987), Pelakon Wanita Popular ABP-BH 87 dan Penghibur TV Popular ABPBH 97/98.
  • Filem pertama yang dilakonkannya adalah Hati Batu, ketika itu dia berusia 13 tahun. Manakala kali terakhir dia beraksi di layar perak pada 1995 menerusi filem Simfoni Duniaku.
  • Kali terakhir Ogy beraksi dalam pementasan teater pula adalah pada 2004 untuk teater Deja Vu. Tahun ini dia kembali menerusi teater Mak Cun.
  • Teater ini turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 22 November hadapan.
  • Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.
3234 dibaca
Berita Harian X