Selasa, 17 November 2015 | 6:46pm

Bahang Anugerah Juara Lagu ke-30 mula dirasai


ARTIS, Elizabeth Tan.

KUALA LUMPUR: Petang tadi di Balai Berita diumumkan 30 lagu yang terpilih ke Separuh Akhir Muzik Muzik edisi ke-30. Daripada 30 lagu berkenaan, hanya 12 lagu sahaja akan berentap di Anugerah Juara Lagu ke-30 yang dijangka berlangsung sekitar Januari tahun hadapan. 12 lagu berkenaan akan disenarai pendek menerusi tiga siri persembahan separuh akhir.

Separuh akhir pertama akan berlangsung pada 22 November membabitkan 11 buah lagu, diikuti 10 lagu pada 29 November dan sembilan lagu pada 6 Disember. Antara artis tanah air yang bakal berentap ialah Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Aizat Faizal Tahir, Forteen, Hafiz, Adira, Hazama, Elizabeth Tan, Kak Azraff, Tasha Mansahar, Bunkface, Stacy, Noh Salleh, Black, Ronnie Hussein dan Amir Jahari.

Tuah juga kepada penyanyi baharu Sandra yang turut mara ke separuh akhir menerusi lagu Hey Kau selepas lagu Lautan nyanyian Yuna menarik diri.

"Muzik-Muzik antara program carta muzik di TV3 yang paling lama bertahan. Malah jenama Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu sudah bertahan selama 30 tahun Istimewa tentang kedua-dua jenama ini ialah kredibiliti rancangan ini sebagai platform titik rujukan yang menggambarkan evolusi muzik tanah air.

"Ini kerana setiap tahun kita boleh melihat cita rasa dan kehendak muzik semasa kerana setiap lagu yang terpilih di carta muzik-muzik juga merupakan pilihan dan undian orang ramai. Maka tidak hairanlah kedua-dua rancangan ini memperlihatkan aliran muzik yang terkini setiap tahun" kata Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin.

Sidang media itu turut mengumumkan penaja yang bakal menyerikan lagi separuh akhir muzik-muzik ke 30 serta bakal menjadi penaja utama Anugerah Juara Lagu yang ke-30 iaitu Pamoga Qu Puteh. Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hajah Hasmiza Othman atau mesra dengan panggilan Datuk Seri Vida turut teruja menjadi sebahagian daripada acara itu nanti.

"Saya sangat teruja diberi peluang menjadi sebahagian daripada acara yang berprestij ini. Harapan saya, pembawaan jenama produk Pamoga Qu Puteh turut sama diangkat tinggi dalam adunan program ini. Seperti mana AJL yang ditunggu-tunggu oleh semua penonton saban tahun, begitu juga harapan saya pada industri muzik tanah air dan juga penonton supaya sentiasa menyokong rangkaian produk Pamoga Qu Puteh.

"Saya sentiasa berdoa agar industri muzik Malaysia akan lebih maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan penampilan Pamoga Qu Puteh yang diharapkan sentiasa mengiringi dan menggamatkan anugerah yang berprestij ini pada tahun ini. Coming together is only a beginning, keeping together is a process, and working together is a success." Insyaallah," katanya.

Separuh Akhir Muzik Muzik 30 juga akan membawakan persembahan menarik oleh pemenang Projek Muzik Hot FM yag digabungkan dengan penyanyi terkenal setiap minggu di penghujung rancangan. Antaranya Mark Adam bersama Masweera, Awi Rafael dan S.I.R serta Monalyssa bersama Aizat Amdan.

Bahang separuh akhir sudah bermula namun debaran menanti Anugerah Juara Lagu juga makin terasa. Nantikan 30 buah lagu berentap di Separuh Akhir Muzik-Muzik yang berlangsung pada 22 & 29 November serta 6 Disember nanti jam 9.00 malam eksklusif di TV3.

Rancangan ini dihoskan oleh AG dan Fara Fauzana yang bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Penonton digalakkan menggunakan #SFMM30 untuk sebarang komunikasi di laman sosial berkaitan Separuh Akhir Muzik Muzik 30.

Separuh akhir pertama

* Biarkanlah - Drama Band

* Langit Tetap Biru - Aizat

* Untuk Cinta - Hafiz & Adira

* Knock Knock - Elizabeth Tan

* Sampai Mati - Hazama

* Hantu Atau Buaya - Nana Sheme

* Cinta Yang Sempurna - Qanda

* Bukan Hal Aku - Kaka Azraff & Aliff

* Di Pintumu - Firman

* Melepaskanmu - Sakura Band

* Terima Kasih Cinta - Tasha Mansahar menampilkan RJ

Separuh akhir kedua

* Hanya Namamu - Caliph Buskers

* Malam Ini Kita Punya - Bunkface

* Potret - Akim &The Majistret

* Not For Sale -Stacy

* Hey Kau - Sandra

* Syurga - Alyah

* Angin Kencang - Noh Salleh

* #Peristiwa - Sofazr, Asfan dan RJ

*Senyum - Aziz Harun

* Mana Mungkin - Black

Separuh akhir ketiga

* Di Koyak Waktu - Ronnie Hussein

* Selalu Ada - Amir Jahari

* Tak Pernah Menyerah - Dayang Nurfaizah

* Al Nura Yang 5 dan 6 - Mawi, Hazama menampilkan Dali Filsuf

* Assalamualaikum - Faizal Tahir

* Siapa Diriku - Ayda Jebat

* Kau Tercipta - Lah Ahmad

* Nyawaku - Azmil

* Linangan Terakhir - Forteen

219 dibaca
Berita Harian X