Isnin, 6 Oktober 2014 | 12:56pm

Remaja mati lemas ketika memancing di lombong

IPOH: Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas terjun ke dalam lombong ketika sedang memancing di sebuah lombong di Kampung Kurnia Jaya Tambahan di Kamunting dekat sini, semalam.

Mayat Mohd Ajmal Ahmad Zulkifli, 15, dari Kampung Sentosa Jaya, Kamunting ditemui pada 8.22 malam ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting itu bersama-sama dua rakannya menaiki sebuah bot untuk memancing di lombong berkenaan.

"Bagaimanapun sampan yang mereka naiki telah bocor dan dimasukki air. Mangsa bertindak terjun ke dalam lombong untuk menyelamatkan diri, namun terus tenggelam ke dalam lombong dan lemas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata dua rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya menyelamatkan diri.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 5.26 petang.

"Mangsa ditemui di dasar lombong pada kedalaman tiga meter," katanya.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat sebelum itu memulakan operasi di lombong itu yang berkeluasan 183 meter panjang x 122 meter lebar dengan kedalaman lombong sehingga 12 meter.

Sebanyak enam anggota pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba Kuala Kangsar, polis dan Jabatan Pertahanan Awam turut membantu dalam operasi berkenaan. - BERNAMA

223 dibaca
Berita Harian X