Jumaat, 20 Oktober 2017 | 4:58pm
TIMBALAN Pengarah Eksekutif Program Penjaga Dua Kota Suci Untuk Haji dan Umrah, Dr Zeid Ali Aldakkan.

Tanda sokongan moral dunia Islam

Tahun ini, Arab Saudi menerima kehadiran lebih 2.35 juta jemaah haji dari seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 5,114 jemaah adalah jemputan khas Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci Untuk Haji dan Umrah.

Mereka adalah kalangan terpilih dari seluruh dunia yang ditaja Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Ikuti temu bual wartawan BH, Wan Hazmir Bakar dengan Timbalan Pengarah Eksekutif Program Penjaga Dua Kota Suci Untuk Haji dan Umrah, Dr Zeid Ali Aldakkan, di khemah penempatan jemaah di Mina ketika kemuncak musim haji, baru-baru ini.

S: Boleh ceritakan sejarah program ini dan kenapa Arab Saudi memilih Malaysia menyertainya?

J: Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci ini bermula pada awal 1997, iaitu ketika penderitaan umat Islam Chechen. Almarhum Raja Fahd Abdulaziz Al Saud memerintahkan 1,000 Muslim berkenaan dijemput menunaikan haji dengan tajaan baginda. Pada tahun berikutnya, baginda memerintahkan supaya 1,000 orang lagi dijemput dan sejak itu program ini bermula. Kemudian ia diperluaskan ke negara berhampiran Chechnya dan Soviet Union. Selepas tujuh tahun, ia berkembang ke Afrika. Dalam tempoh 10 tahun, 300 jemputan dikhususkan dari negara Afrika, menjadikan keseluruhan 1,300 jemputan.

Sejak tujuh tahun lalu, kami menjemput 100 jemaah dari Sudan Selatan kerana ia adalah negara baharu. Ia sebagai sokongan moral untuk umat Islam di sana. Tahun ini, kami menjemput 1,000 waris syuhada Palestin dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Kami juga menjemput waris syuhada dari Mesir, Yaman, Sudan dan beberapa negara lain. Program ini membabitkan hampir semua negara di dunia yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ada negara yang kita tidak pernah dengar tetapi selagi mereka umat Islam, kita akan sedaya upaya membawa mereka menyertai program ini. Program ini turut meliputi Asia Tenggara dengan tumpuan istimewa kerana ia rantau dengan penduduk Islam paling ramai. Malaysia adalah antara negara Islam terkuat di Asia. Umat Islam berbeza pemikiran, cara hidup dan sebagainya tetapi bagi mengeratkan ukhuwah sesama kita, program ini turut membabitkan Malaysia, terutama mereka dalam bidang agama, akademik, media dan yang berkhidmat untuk negara. Malaysia adalah antara negara penting yang kami berurusan setiap tahun. Kami menjemput saudara di Malaysia mengerjakan haji atau umrah kerana kami juga melaksanakan program umrah. Saban tahun, akan ada jemputan untuk peserta dari Malaysia. Hari ini program ini membabitkan banyak negara dengan pelbagai budaya, bahasa, warna kulit dan pemikiran. Kita berbeza tetapi semuanya berkumpul dalam perhimpunan yang besar. Kemuncaknya di Arafah, kita bersama setiap masa dan memakai pakaian ihram yang serupa. Semua kita berada di sini demi menyahut seruan Allah SWT untuk menunaikan haji.

S: Apa penilaian pihak tuan mengenai kejayaan program ini?

J: Kita tidak boleh menilai diri kita melainkan apa yang kita lakukan. Pada akhir program, anda diberi borang kaji selidik mengenai program ini untuk dinilai. Justeru, kami menilai diri kami menerusi anda sebagai jemputan kami dan kami melakukan yang terbaik bagi membangunkan program ini. Kami melihat kepada tanggungjawab kami, pemimpin pula meyakini program ini. Sebab itu mereka menjadi tuan rumah kepada sebegitu ramai tetamu. Namun, kami tidak boleh menyatakan tugas kami sempurna, kami sentiasa memperbaikinya. Kami melakukan yang terbaik untuk semua tetamu program ini dari mula kami menerima nama mereka hinggalah kami mengiringi mereka ke lapangan terbang untuk pulang.

S: Apakah kriteria bagi memilih peserta program ini?

J: Ia bergantung kepada keadaan, sebagai contoh jika diletakkan kategori tertentu, ada dari negara tertentu tidak dapat menepatinya. Pada asasnya program ini menetapkan beberapa kriteria. Pertama ialah ahli akademik tanpa mengira bidang pengkhususan. Kedua ialah mereka yang terbabit dalam bidang agama. Ketiga mereka yang membantu usaha dakwah termasuk media. Keempat ialah saudara baharu termasuk di negara Barat. Ini adalah kriteria asas, secara keseluruhannya kami menjemput mereka yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat masing-masing.

S: Apakah kesan program ini kepada hubungan Arab Saudi dengan komuniti atau negara peserta?

J: Apabila mereka pulang, kami akan cuba untuk terus berhubung, sama ada kami menziarahi mereka atau mereka kembali lagi. Apabila mereka datang, ia bukan hanya kesan satu hala, tetapi dua hala. Kami memahami mereka dan mereka memahami kami. Mereka menyaksikan tempat suci, keadaan negara ini serta bagaimana Raja dan Putera Mahkota melakukan yang terbaik untuk menjaga kota suci Makkah dan Madinah serta Mina dan Arafah dan lain-lain. 

Ini adalah perkara yang meninggalkan kesan kepada umat Islam di seluruh dunia. Apabila mereka melihat kota suci seperti Makkah dengan masjid paling besar di dunia serta jemaah paling ramai dalam sesuatu masa, ia menyentuh perasaan. Semuanya di Makkah adalah besar, masjidnya, sistem bunyi dan malah Pintu Raja Abdullah adalah yang terbesar di dunia. Tiada yang boleh dibandingkan dengan Makkah. Sama juga di Madinah, Masjid Nabawi dan tempat sekelilingnya. Ada kompleks terbesar di dunia untuk mencetak hanya satu kitab, iaitu al-Quran. Kita sebagai umat Islam seharusnya berbangga dengan semua ini. Kami memungkinkan orang ramai datang ke sini, mereka berasa perkara sama yang anda rasa. Mereka berasa dekat dengan kota suci dan yakin negara dan kerajaan ini melakukan segala-galanya untuk berkhidmat. Kami berbangga dengannya, kita dapat rasakan kekuatan umat Islam.

S: Sehingga kini berapalah bilangan peserta program ini?

J: Sudah hampir 45,000 peserta dan tak lama lagi akan mencecah 50,000 peserta. 

S: Berapakah kos yang ditanggung Arab Saudi bagi menjayakan program ini?

J: Kos program ini tidak dapat menyaingi manfaatnya. Apabila ramai yang mendapat manfaat menunaikan haji, itulah nilainya. Itulah yang paling penting.

259 dibaca
Berita Harian X