Sabtu, 21 Oktober 2017 | 6:23am
Pendidikan anak adalah tugas hakiki ibu bapa bermula dengan mengajar mereka ilmu agama termasuk tauhid, al-Quran dan hadis diikuti ilmu berkaitan kehidupan sempurna di dunia.

Transformasi keluarga Islam

Kerapuhan institusi keluarga dikesan bukan hanya berpunca daripada masalah sosial seperti kes penderaan, pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah. Faktor lain ialah pengabaian tanggungjawab oleh ibu bapa, gagal menunaikan nafkah, ketidakadilan dalam berpoligami serta terjerat hutang.

Justeru, ibarat sudah terang lagi bersuluh, transformasi dalam kehidupan berkeluarga perlu digerakkan dan direalisasikan mengikut syariat Islam.

Jika tidak, maka pincanglah tujuan asal perkahwinan menurut Islam yang bertujuan memelihara keturunan manusia sejagat, memenuhi keperluan naluri seks dan fizikal manusia, memperbanyakkan jumlah keturunan serta mewujudkan nilai kasih sayang sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan )yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat 21)

Masyarakat tidak bahagia

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir Abdullah, berkata peningkatan masalah sosial menunjukkan masyarakat tidak bahagia.

Beliau berkata, keperluan untuk menangani isu masalah sosial yang melanda masyarakat hari ini sudah sampai ke tahap yang amat mendesak dan memerlukan rawatan paling mujarab iaitu menyuntik semula nilai agama dalam diri setiap individu.

Katanya, langkah pertama yang perlu diperbetulkan adalah aspek komunikasi keluarga iaitu mengamalkan komunikasi berhikmah dan bijaksana seperti bercakap dengan lemah lembut, bertolak ansur serta sabar dalam segala hal membabitkan ahli keluarga.

"Cara berinteraksi perlu betul dengan diplomasi dan psikologi, tegas mengikut keadaan. Bimbingan suami amat diperlukan kerana mereka adalah peneraju utama rumah tangga. Sebagai pemimpin, mereka hendaklah menunjukkan akhlak baik yang akan menjadi teladan kepada anggota keluarga lain," katanya.

Menurut beliau, aspek yang sering kali diperlekehkan dalam konsep kekeluargaan adalah menanamkan sikap saling memaafkan. Bermaafan hanya dipraktikkan pada hari raya sedangkan ia perlu dilakukan setiap hari bagi mewujudkan suasana harmoni, sekali gus dapat menepis salah faham daripada berpanjangan.

Pendidikan agama, spiritual

Amini berkata, kegagalan meleraikan permasalahan melalui komunikasi menyebabkan ahli keluarga bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Akhirnya, hubungan keluarga menjadi dingin sehingga pasangan atau anak mula menjauhkan diri dan membuat hal masing-masing.

Justeru, asas mengenai komunikasi dan kekeluargaan menurut perspektif Islam perlu diketengahkan supaya pasangan yang berkahwin dapat mewujudkan nilai kasih sayang dan kemesraan berterusan. Fokusnya ialah memberi tumpuan kepada pendidikan keagamaan dan spiritual.

Beliau menyeru badan berwajib mengetengahkan konsep komunikasi dan kekeluargaan menurut perspektif Islam sebagai usaha mewujudkan interaksi, persefahaman, meningkatkan jalinan kasih sayang dan kemesraan berterusan dalam membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Antara inisiatif yang boleh diambil ialah menjalinkan kerjasama erat antara pelbagai agensi untuk mengatasi masalah kekeluargaan, perceraian dan gejala sosial. Kita perlu mengkaji semua kurikulum untuk kursus praperkahwinan.

"Tidak dilupakan, menganjurkan kursus pascaperkahwinan untuk pasangan yang memasukkan kemahiran keibubapaan dan pengurusan isi rumah kerana selepas berkahwin, pasangan berdepan kehidupan realiti, maka kena tahu cara menangani masalah keluarga," katanya.

Anak tidak menjadi

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata dalam Islam, setiap anak yang lahir mempunyai fitrah sendiri dan membesar mengikut pengaruh siapa yang mendidiknya.

Katanya, ibu bapa tidak patut mengambil ringan peranan mendidik anak dengan menganggap akhlak anak yang tidak baik sebagai lumrah seperti pepatah lama Melayu, 'dalam setandan pisang pastinya ada yang buruk'.

"Apabila anak kurang menjadi atau terbabit dengan perkara yang tidak baik, kita tidak boleh memberikan alasan ia kebiasaan dalam setiap keluarga. Perkara ini tidak dapat diterima dalam agama Islam kerana seolah-olah ibu bapa tidak mengaku salah sebab gagal menunaikan tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, menurut Islam, pendidikan anak adalah peranan hakiki ibu bapa bermula dengan mengajar mereka ilmu agama termasuk tauhid, al-Quran, hadis diikuti ilmu berbentuk keduniaan.

Mengupas lanjut, beliau berkata, pembinaan karakter ketika anak masih kecil penting kerana ia akan mempengaruhi peribadi mereka sepanjang proses pembesaran. Anak mudah menyerap karakter ibu bapa dan terikut-ikut dengan kelakuan orang di sekelilingnya.


Kursus pascaperkahwinan meningkatkan ilmu membina rumah tangga harmoni.

Ilmu kekeluargaan Islam

Ibu bapa perlu menjadi qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) kepada anak supaya membesar sebagai insan berakhlak mulia. Jika anak dibesarkan tanpa pembinaan akhlak yang baik, mereka lebih mudah terpengaruh perkara negatif kerana keadaan itu mirip kepada gaya hidup berkeluarga yang dilaluinya.

Lebih parah, jika anak itu bertindak mempengaruhi rakan sebaya yang mempunyai latar belakang dan kelakuan hampir sama.

Menurut Nik Salida, ilmu kekeluargaan Islam sepatutnya menjadi agenda penting disampaikan secara adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat dalam konteks pembangunan hari ini, khususnya mereka yang berdepan krisis keluarga.

"Contohnya, kita semua tahu tindakan isteri tidak taat kepada suami bersalahan dengan ajaran agama. Bukan hanya perkara itu perlu dijelaskan, tetapi hendaklah diterangkan secara terperinci apakah ciri-ciri suami yang wajib ditaati," katanya.

Beliau berkata, mempunyai ilmu agama yang kukuh boleh menjadi benteng sekiranya difahami hikmah dan maqasidnya. Jika tidak, kita tidak akan dapat menghayati setiap sesuatu hukum dan panduan yang ditetapkan.


Peruntukkan masa berkualiti bersama anak dan didik mereka mengikut lunas Islam.

INFO: Tip memantapkan keluarga

  • Perkasa fungsi wali termasuk bapa, datuk, moyang lelaki, bapa saudara selaku entiti penting dalam sebuah keluarga Islam.
  • Tingkatkan ilmu keibubapaan, dapatkan pandangan atau berguru dengan ahli agama dan ulama.
  • Jalankan kempen kesedaran memupuk keluarga harmoni.
  • Kuatkasakan undang-undang yang mengukuhkan hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga.
  • Tingkatkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan hidup berkeluarga yang aman dan harmoni.
760 dibaca
Berita Harian X