Khamis, 26 Oktober 2017 | 2:23pm
MASJID Gogceli yang terletak di daerah Carsamba.
MASJID kayu berusia 800 tahun di utara Turki membuktikan kehebatan pertukangan bangsa itu sehingga masih mampu bertahan meskipun berdepan ujian masa.

Masjid kayu Turki 'kebal gempa'

ANKARA: Masjid kayu berusia 800 tahun di utara Turki membuktikan kehebatan pertukangan bangsa itu sehingga masih mampu bertahan meskipun berdepan ujian masa, lapor Agensi Anadolu.

Masjid Gogceli yang terletak di daerah Carsamba dalam wilayah Samsun, dibina tanpa menggunakan paku, skru ataupun gam pada 1206.

Malah, masjid kayu tertua di Turki itu masih digunakan dan menjadi tempat beribadat 300 penduduk ketika menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Menjadi contoh yang begitu nyata bagi seni bina Anatolia, dinding masjid itu dibina dengan begitu teliti serta kukuh sehingga gegaran gempa bumi yang sering melanda Turki selama lapan abad tidak merosakkannya.

Imam masjid itu, Ahmet Ozkose, memberitahu Agensi Anadolu, masjid itu dibina pada zaman pemerintahan Giyaseddin Keyhusrev daripada kesultanan Turki Seljuk berdasarkan legenda tempatan.

Ahmet berkata, saintis pernah melawat masjid itu pada 1990-an dan mengambil sampel daripada bahagian dinding, sekali gus membuktikan bangunan itu berusia lebih lapan abad.

Masjid Gogceli kini secara rasmi disenaraikan sebagai tapak warisan budaya di Turki. - BERNAMA

907 dibaca
Berita Harian X