Jumaat, 27 Oktober 2017 | 6:13am
Waktu paling afdal untuk melakukan akikah ialah pada hari yang ketujuh, 14 atau 21 selepas kelahiran bayi, atau sebelum mencecah umur dua tahun. - Gambar hiasan

Tarbiah anak sejak dalam kandungan

Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapa yang mencorakkan mereka menerusi didikan serta bimbingan. Justeru, ibu bapa perlu melakukan yang terbaik dengan mengikut ajaran agama. Ikuti penjelasan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani antara amalan yang perlu dilakukan menerusi slot Mau'izati di IKIMfm.

Setiap bayi yang lahir berada dalam keadaan fitrah, ibu bapa memainkan tanggungjawab besar mendidik anak dan mengelakkan tanggapan bahawa anak akan memilih jalan hidup sendiri apabila dewasa kelak. Tarbiah anak bukan hanya bermula apabila dilahirkan, tetapi sejak mereka berada dalam kandungan ibu.

Ada ulama berpendapat untuk melahirkan zuriat yang baik bermula daripada memilih calon isteri yang solehah.

Rasulullah SAW berpesan, apabila mati anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, termasuklah doa anak yang salih. Oleh itu, Islam sangat menggalakkan umatnya mempunyai zuriat yang ramai.

Bagi yang tidak mempunyai zuriat sendiri, digalakkan memelihara anak angkat, anak susuan, anak saudara atau anak yatim supaya dapat membantu mendoakan semasa ketiadaannya nanti.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, digalakkan untuk menamakan bayi dengan nama yang baik kerana ia mempunyai kaitan dengan keadaannya ketika berada di Padang Mahsyar.

Nama yang baik

Beliau berkata, jika diberi nama yang tidak baik, mereka akan dibenci oleh Allah SWT kerana antara kebencian yang paling mengundang kemurkaan Allah SWT ialah manusia yang memiliki nama raja kepada segala raja.

Katanya, sesungguhnya tidak ada raja selain Allah SWT dan tiada kuasa besar di dunia ini kecuali Allah SWT. Malah, Rasulullah SAW tidak menyukai anak yang diberi nama Aflah (orang yang paling berjaya), Nafi', Rabah dan Yasar.

"Rujuklah nama yang bakal diberikan untuk anak kepada alim ulama supaya nama itu dapat memberi kebaikan kepadanya pada hari akhirat kelak," katanya.

Menjelaskan mengenai amalan akikah, Ahmad Dusuki berkata, akikah bererti memutuskan hubungan yang membawa maksud bayi dilahirkan masih tergantung dalam gadaian Allah SWT. Bagi melepaskan bayi daripada gadaian haruslah melaksanakan akikah iaitu disembelihkan kambing pada hari ketujuh kelahiran.

Bukti ketaatan

Pada hari itu juga bayi diberikan nama serta dicukur kepalanya. Pada pandangan ulama, amalan itu adalah sunat yang dituntut. Anak lelaki disembelih dua ekor kambing atau dua bahagian daripada lembu. Amalan akikah dilakukan sewaktu anak masih kecil kerana bagi yang sudah dewasa ibadat korban lebih baik.

Waktu paling afdal untuk melakukan akikah ialah pada hari yang ketujuh, 14 atau 21 selepas kelahiran bayi, atau setidak-tidaknya sebelum mencecah umur dua tahun. Disunatkan haiwan yang disembelih untuk akikah tidak dipatahkan tulangnya manakala dagingnya dimasak manis kerana mempunyai hikmah tersendiri.

Hikmah amalan akikah untuk mendekatkan anak dengan Allah SWT pada awal kehidupannya di dunia. Akikah juga peluang anak memberi syafaat kepada ibu bapa atas pengorbanan harta benda yang telah dilakukan untuk membesarkan serta mendekatkan mereka kepada Allah SWT.

Selain itu, adalah bukti ketaatan dan kesungguhan hamba mentaati serta menunaikan syariat Allah SWT tanpa mempertikai syarat yang dikenakan antara anak lelaki atau perempuan. Sifat orang Mukmin hanya mengikut perintah Allah SWT dan menerimanya dengan sepenuh hati.

Kembali kepada fitrah

Digalakkan mengkhitankan anak yang baru lahir, iaitu dengan memotong kulit menutup kepala kemaluannya (anak lelaki). Diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir, Rasulullah SAW bersabda, "Di antara fitrah dalam hidup ini ialah berkumur untuk membersihkan mulut. Kedua, membersihkan hidung dengan air, ketiga ialah menggunting misai dan janggut supaya tumbuh dengan rapi, bersugi, memotong kuku, membersihkan bulu ari-ari, membuang bulu ketiak untuk mengelakkan bau badan yang tidak menyenangkan, serta berkhitan."

Menurut Mazhab Syafie, berkhitan wajib dilakukan bagi lelaki manakala bagi perempuan pula disunatkan untuk mengurangkan rangsangan syahwatnya.

Afdalnya khitan dilakukan pada hari bayi dilahirkan supaya apabila sempurna akalnya kelak dan memahami segala urusannya, dia akan dapat membezakan keadaan diri serta berada dalam keadaan bersih.

Islam menggalakkan umatnya berkhitan supaya mendidik mereka menjadi seorang yang mementingkan kebersihan kerana Islam adalah agama fitrah. Semoga apabila kembali menghadap Allah SWT kelak, mereka juga berada dalam keadaan fitrah dan bersih.

Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm

677 dibaca
Berita Harian X