Rabu, 1 November 2017 | 12:59pm
PENGERUSI Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Kikis sifat cintakan harta dunia

Amalan berzakat tidak akan mengurangkan harta yang kita miliki, bahkan yakinlah dengan janji Allah SWT bahawa mereka yang menunaikannya akan menerima pelbagai ganjaran di dunia dan akhirat kelak.

Sudah lumrah manusia, tidak dapat lari daripada sifat sayangkan harta sehingga ada dalam kalangan kita sukar untuk memberikannya kepada orang lain sekiranya tidak dijanjikan pulangan lumayan.

Bagaimanapun, sifat terlalu cintakan harta dunia ini perlu dikikis kerana ia mendorong kita bersifat bakhil, tamak, dan tidak prihatin bagi membantu saudara seagama yang dalam kesusahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103)

Berzakat yang juga rukun Islam ketiga memberi kesan baik terhadap harta kerana ia akan bertambah, bukannya berkurangan.

Jangan ambil mudah

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali, berkata umat Islam perlu lebih serius dalam menunaikan ibadat zakat kerana ia adalah perintah Allah SWT yang difardukan terhadap orang Islam yang cukup syarat.

Beliau berkata, adalah menghairankan apabila sesetengah umat Islam mengambil serius ibadat tertentu seperti sembahyang, puasa dan haji, tetapi mengabaikan tuntutan menunaikan zakat.

"Di dalam al-Quran ada tiga perintah Allah SWT yang berangkai dan perlu bergerak seiring iaitu tunaikan zakat dan dirikan solat. Kedua, mentaati Allah SWT dan rasul, ketiga berterima kasih kepada-Nya serta kedua orang tua.

"Jadi, jika kita menunaikan solat tetapi tidak berzakat, maka sia-sialah amalan yang kita laksanakan," katanya pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Katanya, pandangan zakat hanya perlu ditunaikan oleh golongan kaya adalah tidak benar kerana setiap individu Muslim yang mencukupi syarat wajib berzakat mesti melaksanakan kewajipan itu, bukan menunggu bergelar jutawan untuk berbuat demikian.

Hak orang lain

Che Mat berkata, terdapat hak orang lain terhadap harta yang dimiliki iaitu asnaf yang terdiri daripada fakir miskin, individu menanggung hutang untuk kelangsungan hidup, yang memerlukan bantuan perubatan dan pendidikan.

Lagipun katanya, kadar zakat yang perlu dibayar sangat rendah iaitu cuma 2.5 peratus, jadi mengapa masih ramai yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menunaikannya. Contohnya, jika kita memiliki wang RM20,000, kadar yang perlu dizakatkan cuma RM 500 sahaja.

PPZ-MAIWP juga sedang rancak menjejaki prospek pembayar zakat terutama dalam kalangan generasi muda yang dilihat masih kurang kesedaran mengenai kewajipan menunaikan zakat harta selain zakat fitrah.

Selain menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan akses pengguna seperti kaunter zakat fizikal dan dalam talian, PPZ-MAIWP turut bergerak aktif menjalankan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak.

"PPZ-MAIWP bergerak secara aktif bagi menarik perhatian golongan muda dengan turun padang secara berkala, membuka kaunter informasi dan menjalankan program di tempat terbuka termasuk masjid, pasar tani, pasar malam, pasar raya dengan kerjasama sektor kerajaan serta swasta.

"Selain itu, kami juga mempunyai Skuad Mesra Pembayar Zakat PPZ-MAIWP dan Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP bagi sasaran pembayar daripada pelbagai golongan dan umur," katanya.

Manifestasi Kesyukuran

Beliau berkata, selain menunaikan tanggungjawab yang diwajibkan oleh syarak, umat Islam perlu memahamai falsafah zakat yang bertujuan mendidik mereka menjadi hamba yang bersyukur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Antara manifestasi kesyukuran yang boleh ditunjukkan seorang hamba terhadap nikmat kurniaan yang diberikan Allah SWT kepada mereka ialah dengan melaksanakan tuntutan membayar zakat kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa.

Mungkin ada yang masih mengandaikan diri mereka tidak termasuk dalam kalangan yang wajib berzakat, justeru, disarankan membuat taksiran dengan melawati kaunter cawangan PPZ-MAIWP bagi menentukan status sama ada mereka wajib membayar zakat atau sebaliknya.

Saluran pembayaran zakat PPZ-MAIWP

- Kaunter zakat sekitar Kuala Lumpur termasuk di Wisma PPZ-MAIWP di Taman Shamelin Perkasa Cheras, Seksyen 5 KLSC Wangsa Maju, Anjung Niaga Taman Tun Dr Ismail, Masjid Al-Imam Al-Ghazali Kepong, Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong, Masjid Negara, Plaza RAH Kampung Baru, Putrajaya Presint 9 dan 15, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral dan Labuan Times Square.

- Beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dan Sabtu (minggu kedua dan keempat), jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

- Portal zakat PPZ-MAIWP boleh layari pautan www.zakat.com.my bagi pembayaran zakat secara dalam talian.

- Skim potongan gaji dinamakan Skim Thohir dan borang boleh didapati di kaunter PPZ-MAIWP atau muat turun
di www.zakat.com.my.

- Kaunter zakat bergerak PPZ-MAIWP berada di lokasi tertentu setiap hari bagi memudahkan orang awam menunaikan zakat. Bagi mendapatkan perkhidmatan ini di premis anda, hubungi Talian Zakat di 1-300-88-5757 atau berinteraksi menerusi laman sosial Facebook PPZ-MAIWP dengan melayari www.facebook.com/myzakat.

418 dibaca
Berita Harian X