Jumaat, 3 November 2017 | 7:09am
ANAK adalah anugerah Allah SWT yang wajib didik mengikut panduan syariat Islam supaya jadi generasi soleh. - Foto hiasan

Ibu bapa tak tinggalkan anak soleh pasti menyesal

APABILA orang mukmin menemui kematian, hanya sekali mereka menghadapi suasana dan keadaan yang menggemparkan itu. Namun, ada manusia yang mati dan kembali menghadap Allah SWT dalam keadaan penuh penyesalan dan memohon agar dihidupkan semula kerana tertinggal melakukan amalan soleh.

Antara amalan tertinggal ialah tidak mendapat anak soleh sehingga menjadi penyesalan sangat besar.

Terdapat beberapa faktor menjadi punca kerosakan anak seperti pandangan ulama, termasuk hidup yang diselubungi kemiskinan. Anak yang serba kekurangan dari segi makan dan minum, pakaian, tempat tinggal serta tiada orang dapat membantu untuk mengecapi kenikmatan hidup di dunia, akan menyebabkan mereka mencari jalan keluar daripada kesulitan hidupnya. Anak terbabit akan terabai dari segi pendidikan kerana sibuk mencari rezeki dan kebendaan sehingga menyebabkan mudah terjerumus ke kancah jenayah dan kejahilan.

Kefakiran hampiri kekufuran

Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan umatnya bahawa kefakiran menghampiri kepada kekufuran. Sewajarnya anak dibekalkan ilmu oleh ibu bapa dan diajar mendekati Allah SWT serta Rasulullah SAW, sekali gus dibesarkan dalam suasana beragama seperti mendengar kuliah di masjid.

Selain itu, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya dalam slot Mau'izati, menyatakan antara faktor yang mampu merosakkan anak ialah ibu bapa yang sering bertelingkah. Pertengkaran itu pula berlaku di hadapan anak sehingga mengakibatkan mereka tidak bahagia dan mencari jalan untuk keluar dari rumah.

Malah keadaan itu akan berlarutan sehingga apabila kematian ibu bapa, perasaan kasih dan sayang tidak akan timbul di kalangan anak, apatah lagi untuk mendoakan kedua orang tua yang kembali menghadap Allah SWT. Anak keluar dari rumah untuk mencari ketenangan, mudah terpengaruh dengan kawan yang jahat. Rasulullah SAW berpesan kepada pasangan suami isteri yang sedang bertelingkah agar membaca doa, "Lindungilah aku ya Allah daripada kejahatan syaitan yang direjam," agar keadaan itu tidak berlarutan dan membawa kemudaratan kepada keluarga.

Faktor ketiga mempengaruhi perjalanan hidup anak adalah apabila rumah tangga yang dibina pada peringkat awal lagi sudah tidak mempunyai matlamat jelas dan menyebabkan ahli keluarga membawa haluan hidup masing-masing. Akhlak, akidah dan amal ibadat anak akan rosak kerana matlamat hidup keluarga yang menyimpang daripada perjalanan hidup menuju Allah.

Apabila berumahtangga kerana bersandarkan kecantikan pasangan, harta kekayaan atau populariti semata-mata, ia akan membawa keluarga menuju kehancuran sekiranya tidak berserta matlamat untuk menuju syurga Allah SWT. Rumah tangga yang retak dan menemui kegagalan menyebabkan hanya si isteri yang membesarkan anak, sebaliknya suami meninggalkan rumah dan tidak memikul tanggungjawab dengan sewajarnya.

Keadaan itu memaksa si ibu meninggalkan rumah untuk menampung sara hidup keluarga, meninggalkan anak tanpa perhatian dan berkeliaran tanpa pengawasan. Ia akan mendedahkan mereka kepada kerosakan dan meruntuhkan keyakinan dalam beragama.

Sepanjang kehidupan anak terlalu banyak ruang kosong yang tidak diisi dengan perkara bermanfaat. Ini termasuk aktiviti melepak dan budaya leka dengan permainan video atau internet yang akhirnya merosakkan tubuh badan kerana tidak perlu banyak melakukan pergerakan sehingga menyebabkan mereka menjadi lemah. Islam mengajar agar masa lapang dipenuhi dan mengelakkan masa berlalu tanpa melakukan apa-apa bermanfaat.

Program berkait solat

Penuhi masa anak dengan program berkaitan solat kerana ia akan mendorong mereka untuk melakukan ibadat itu dengan lebih sempurna, selain menjadi antara bentuk riadah, simbol kebersihan fizikal dan hati. Mereka juga perlu didedahkan dengan seni mempertahankan diri, keluarga dan negara, diajar menunggang kuda, berenang dan aktiviti yang menguatkan fizikal. Malah, masa lapang boleh diisi dengan menambah ilmu melalui bahan bacaan bermanfaat terutama al-Quran.

Generasi anak pada masa kini dan akan datang perlu dibentuk mengikut kadar kemampuan ibu bapa bertanggungjawab sehingga mampu menjadi generasi yang menggentarkan musuh agama Allah SWT. Sebagaimana peringatan Rasulullah agar manusia merebut lima masa sebelum tibanya lima masa yang antaranya ialah merebut peluang ketika masih muda sebelum tiba usia tua.

Awasi anak agar tidak terjebak bergaul dengan golongan yang merosakkan mereka sebagaimana pengajaran menerusi firman Allah di dalam surah Al-Furqan, ayat 27-29: "Dan (ingatkanlah) perihal hari orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia menyesatkan aku daripada jalan peringatan (al-Quran) selepas disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)."

Penulis adalah Penerbit Kanan Rancangan IKIM fm

616 dibaca
Berita Harian X