Sabtu, 4 November 2017 | 7:08am

Perkukuh akidah minoriti mualaf


MUALAF Orang Asli menerima sumbangan daripada Pertubuhan Infaq Kasih Sayang Selangor dengan kerjasama Bahagian Dakwah JAKIM pada Misi Lawatan dan Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Sungai Rasau, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

CABARAN dihadapi mualaf yang tinggal di kawasan dihuni majoriti bukan beragama Islam lebih besar kerana mereka mungkin berdepan kesukaran menyesuaikan diri dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat sekeliling.

Ada mualaf yang masih tinggal serumah dengan keluarga atau sanak saudara berlainan agama dan ini dibimbangi menimbulkan konflik jika tidak ada kefahaman atau toleransi dalam menghormati kepercayaan masing-masing.

Inilah yang dihadapi mualaf dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang berasa terpinggir selepas memeluk Islam dan memerlukan sokongan untuk terus istiqamah mengenal Islam secara lebih mendalam.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, Pertubuhan Infaq Kasih Sayang Selangor dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Misi Lawatan dan Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Sungai Rasau, Puchong, Selangor, bagi menyantuni golongan saudara baharu dan masyarakat Islam di sana.

Tonjol keindahan hijrah

Pengerusi Pertubuhan Infaq Kasih Sayang Selangor, Adam Ham Abdullah, berkata lawatan berkenaan bukan sekadar untuk menyalurkan bantuan asas kepada mualaf dan asnaf, ia turut memfokuskan pengukuhan ilmu agama dengan penyampaian dakwah berkesan.

"Terdapat lebih 200 mualaf Orang Asli kaum Temuan yang terdiri daripada 52 keluarga tinggal di perkampungan ini. Mereka adalah kelompok minoriti orang Islam, justeru, penting untuk memberikan bantuan dan sokongan selain membuka mata mereka mengenai indahnya penghijrahan," katanya.

Beliau berkata, mendekati mualaf yang tinggal jauh dari penempatan bandar dan kurang pendedahan agama seharusnya dilakukan secara proaktif bagi memelihara akidah mereka.

Katanya, menerusi lawatan itu juga diharap dapat memberi kesedaran kepada golongan muda yang terbabit sebagai sukarelawan memahami konsep kesyukuran dengan melihat sendiri masyarakat Orang Asli masih boleh tersenyum walaupun hidup serba sederhana.


SAMBUTAN ulang tahun untuk masyarakat Islam Orang Asli turut diadakan.

Galakan tuntut ilmu

Memberikan suntikan kerohanian dalam pendekatan tazkirah santai, sesi lawatan itu turut diisi dengan perkongsian penghijrahan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah JAKIM, Nurmaisara Leong.

Katanya, beliau banyak berkorban dengan melakukan perubahan demi perubahan secara perlahan bagi mendalami Islam termasuk mempelajari ilmu fardu ain dengan guru agama dan mengamalkan ibadat yang diwajibkan syariat.

"Saya tidak pernah berputus asa untuk membetulkan sebutan dalam solat walaupun ada ketikanya dipandang rendah oleh orang lain.

"Ia tidak mematahkan semangat langsung, bahkan terus mengukuhkan niat dan syahadah bagi mendalami ilmu agama dan mengenal Islam dengan lebih serius," katanya.

Beliau turut memberi galakan kepada masyarakat mualaf Orang Asli untuk terus menuntut ilmu, sama ada duniawi atau ukhrawi bagi memperbaiki kehidupan supaya dapat bergerak seiring dengan golongan majoriti.

Semangat ukhuwah

Pada program yang berlangsung di surau taqwa Kampung Sungai Rasau itu, pihak surau, keluarga asnaf dan mualaf Orang Asli setempat turut menerima sumbangan. Acara diserikan dengan sambutan ulang tahun khusus untuk masyarakat Islam Orang Asli yang menyambut kelahiran pada Oktober.

Ternyata penganjuran program berkenaan memberi kegembiraan terutama kepada kanak-kanak dan jelas pada raut wajah mereka kepuasan serta kesyukuran.

Inspirasi daripada program pasar percuma atau free market, sukarelawan membawa pelbagai kelengkapan harian seperti pakaian, beg, kasut, tudung, buku agama, peralatan solat, perkakas elektrik dan dapur untuk diambil secara percuma bagi keluarga yang memerlukan. Pada akhir program, hadiah cabutan bertuah turut diterima oleh tiga keluarga dengan masing-masing menerima kelengkapan rumah iaitu sebuah mesin basuh dan dua ketuhar elektrik.

283 dibaca
Berita Harian X