Jumaat, 10 November 2017 | 7:20am
Khidmat runding cara membantu pihak menghadapi konflik mendapatkan nasihat. - Foto Rosela Ismail

Kaunseling syarie bantu tangani konflik

Ada juga yang menuding jari kepada jabatan agama apabila statistik perceraian membabitkan pasangan Islam terus meningkat ke rana berpandangan sistem kaunseling yang dilaksanakan kurang berkesan sehingga tidak mampu membantu suami isteri mengubah keputusan untuk bercerai.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bukhari Md Akhir, berkata unit runding cara di jabatan agama bertujuan membantu keluarga bermasalah menyelesaikan konflik dihadapi melalui khidmat nasihat dan kaunseling.

Bagaimanapun, katanya, unit berkenaan bukan pihak yang da pat menentukan keputusan terbaik bakal diambil oleh pasangan yang datang mendapatkan bantuan kerana perkhidmatan diberi lebih bersifat nasihat.

"Selalunya unit runding cara adalah kaedah terakhir bagi pasangan suami isteri yang berdepan konflik untuk mendapatkan nasihat. Tetapi, kebanyakan yang hadir untuk sesi kaunseling sebenarnya sudah membuat keputusan masing-masing.

"Malah, ada yang hadir bukan untuk berbincang masalah dihadapi, tetapi mendapatkan maklumat bagi memudahkan proses perceraian terutama membabitkan tuntutan nafkah dan harta sepencarian. Dalam sesetengah keadaan, mereka mempunyai alasan konkrit untuk memohon perceraian," katanya.

Bukan tidak capai objektif

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil jika ada yang mengatakan sesi kaunseling dikelolakan jabatan agama gagal membantu pasangan dan tidak berjaya mencapai objektif. Apatah lagi mengaitkan ia sebagai faktor peningkatan statistik perceraian kerana bilangan pasangan yang berkahwin juga bertambah.

Malah, dalam sesetengah kes katanya, unit runding cara tidak berpeluang untuk membantu pasangan yang berdepan konflik rumah tangga kerana ada pasangan yang memilih untuk melafazkan cerai di luar mahkamah.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Pegawai Runding Cara dan Fasililator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Peringkat Kebangsaan 2017 dan Pelancaran Modul PKKSK yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, baru-baru ini.


Prof Madya Dr Che Zarrina Sa'ari (kanan) dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyampaikan pandangan pada Konvensyen PKKSK di ILIM, Bangi. - Foto Rosela Ismail

Bukhari berkata, berdasarkan pengalaman, kebanyakan kes perceraian berpunca daripada kegagalan suami menyediakan nafkah dan keperluan asas untuk isteri serta anak kerana hilang punca pendapatan.

Katanya, perceraian juga bukan hanya membabitkan pasangan muda kerana kalangan mereka yang usia perkahwinan sudah berpuluh tahun dan warga emas pun bercerai apabila gagal mempertahankan rumah tangga mereka.

Menurutnya, bimbingan kaunseling yang disediakan unit runding cara jabatan agama bukan untuk pasangan menghadapi konflik perkahwinan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM turut memberikan perkhidmatan menyeluruh untuk menangani isu sosial keluarga Islam.

Perlu diperluaskan

Ini termasuk turun padang bagi menyelami masyarakat yang terjebak dengan jenayah seksual, berkhidmat sebagai pekerja seks, kes pembuangan bayi dan pesakit virus HIV. Mereka yang berdepan masalah sedemikian boleh mengunjungi pejabat agama atau mendapatkan perkhidmatan kaunseling di cawangan disediakan.

Presiden Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI), Dr Md Noor Saper dalam pembentangan kertas kerja bertajuk 'Kaunseling Syarie Pemacu Kesejahteraan

Ummah' berkata, pendekatan kaunseling berasaskan Islam atau kaunseling syarie perlu diperluaskan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, mungkin tidak ramai mengetahui mengenainya, tetapi ia satu inovasi kepada kaedah konvensional dalam memberikan bimbingan menyeluruh lagi seimbang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial, emosi, rohani dan spiritual.

Katanya, ahli psikologi Barat dan Islam mempunyai pandangan sama iaitu elemen agama mampu merawat pelbagai masalah terutama membabitkan emosi, kesihatan mental dan mengurangkan isu sosial dalam masyarakat.


Sebahagian peserta Konvensyen Pegawai Runding Cara dan Fasilitator Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti Peringkat Kebangsaan 2017. - Foto Rosela Ismail

"Ini tidak bermakna amalan kaunseling sedia ada diketepikan, sebaliknya kaunseling syarie menjadi nilai tambah dalam menangani pelbagai permasalahan semasa dihadapi oleh umat Islam.

"Kaedah kaunseling berpandukan al-Quran dan sunah dapat membantu umat Islam berdepan konflik hidup serta memahami diri seterusnya meletakkan matlamat hidup lebih jelas iaitu mencapai keredhaan Allah SWT," katanya.

Beliau berkata, keperluan kepada kaunseling syariah juga mendesak melihat kepada kemerosotan nilai pegangan agama dalam masyarakat sehingga berlakunya pelbagai kes jenayah, penceraian dan tingkah laku negatif terutama membabitkan remaja.

Wajar ubah persepsi

Dr Md Noor berkata, pandangan yang mengaitkan kaunseling hanya untuk golongan bermasalah wajar diubah kerana konsep kaunseling syarie bertujuan membangun dan membina modal insan berpotensi tinggi dalam segenap hal merangkumi kesejahteraan di dunia serta akhirat.

Kaunseling syarie menekankan konsep fitrah dan kesejahteraan manusia secara dinamik dan komprehensif, sekali gus mengajak umat Islam mengurus isu, masalah dan ujian kehidupan sejajar dengan peranan mereka sebagai khalifah.

Ia mula diperkenalkan pada 2011 dan manual kaunseling syarie dilancarkan pada 22 November 2013. Awalnya ia digunakan untuk membantu pegawai runding cara dan fasililator, khasnya di JAKIM sebelum diperkenalkan ke jabatan dan majlis agama Islam negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Bahagian Agama dan Kaunseling Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fakta Nombor:

725 - pegawai runding cara dan fasililator PKKSK yang ditempatkan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merangkumi 14 negeri

10 - modul diperkenalkan PKKSK untuk digunakan pegawai runding cara dan fasililator merangkumi panduan dalam menangani permasalahan bagi peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa hingga warga emas

Info: PKKSK

  • Diwujudkan untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sosial umat Islam dengan menggunakan pendekatan agama berteraskan al-Quran dan sunah.
  • Berfungsi sebagai pusat rujukan yang menyediakan khidmat nasihat, bimbingan kekeluargaan dan sosial kepada masyarakat Islam.
  • Operasinya dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sementara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penyelaras.

198 dibaca
Berita Harian X