Ahad, 1 April 2018 | 6:23am

Personaliti Agama: Sheikh Ninowy pencinta ilmu

Mengapa seseorang itu bergelar Muslim antara persoalan yang tampak senang, tetapi sebenarnya sukar dijawab oleh kebanyakan umat Islam terutama generasi muda.

Amat malang jika masyarakat Islam tidak faham mengapa mereka perlu beriman kepada Allah SWT, mengapa disyariatkan kita menjalankan ibadat dan kewajipan untuk tidak menyembah selain daripada-Nya.

Ini antara perjuangan dakwah yang cuba disebarkan kepada masyarakat Muslim di seluruh dunia menerusi pendidikan berteraskan al-Quran dan sunah oleh ulama prolifik kelahiran Syria, Sheikh Dr Muhammad Yahya Al-Husayni An-Ninowy.

BH Agama yang berpeluang menemuramah Sheikh Ninowy ketika kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini dapat melihat semangatnya yang cukup tinggi dalam mengembalikan zaman keemasan perkembangan ilmu dunia Islam.

Tokoh pendakwah lulusan Sarjana Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir ini, amat mengagumi konsep pendidikan Islam dibawa Imam Ghazali dan ingin melihat ia diaplikasikan dalam konteks dunia moden.

Selepas menetap di Amerika Syarikat (AS) lebih tiga dekad, Sheikh Ninowy menubuhkan Institut Madina yang pertama di Atlanta pada 2012 dan mendapat sambutan baik masyarakat Islam dunia.

Institusi yang bergerak sebagai badan bukan berorientasikan keuntungan itu berjaya dikembangkan ke banyak negara seperti United Kingdom (UK), Afrika Selatan dan Kanada.

Sejak lima tahun lalu, ia turut menembusi rantau Nusantara dengan pembukaan cawangan pertamanya di negara ini.

Menurut Sheikh Ninowy, konsep pengajian yang diterapkan di Institut Madina, menekankan prinsip Islam dengan memastikan ia bukan saja dapat memberikan ilmu selari dengan al-Quran dan sunah, bahkan boleh disesuaikan atau diaplikasikan mengikut gaya hidup umat Islam hari ini.

"Tanpa menjejaskan prinsip Islam, Institut Madina amat serius dalam membina umat Islam terutama sasarannya generasi muda yang progresif bukan sekadar mengamalkan nilai atau ibadat secara ikut-ikutan.

"Ilmu pengajian di sini merangkumi pelbagai bidang ilmu termasuk tauhid, fiqh, hadis dan ilmu hadis yang bukan sekadar mengikuti kuliah tetapi menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal.

Tertarik dengan Malaysia

"Bagi saya, setiap individu Islam patut diberikan peluang untuk mengajukan apa saja soalan atau kekeliruan dan ia dijadikan budaya di Institut Madina supaya mereka mendapat pencerahan dan tidak terkeliru dalam soal agama," katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan Malaysia bagi kampus cawangan Institut Madina, beliau amat tertarik dengan nilai budaya dan tradisi diamalkan dalam masyarakat yang hidup harmoni walaupun pelbagai kepercayaan dan bangsa.

Katanya, corak pengajian juga diolah bagi memastikan ia mempunyai elemen Nusantara supaya lebih mudah diterima masyarakat Malaysia.

Buat masa ini, Syeikh Ninowy memberitahu, cawangan Institut Madina di Malaysia hanya menawarkan pengajian berbentuk kuliah agama serta seminar dan dalam perancangan untuk mendapatkan kelulusan bagi mewujudkan program peringkat ijazah.

Selain giat menguruskan Institut Madina, beliau turut dikenali sebagai penulis prolifik kerana banyak menghasilkan karya yang merangkumkan ilmu sains dalam disiplin agama termasuk tauhid, hadis dan usuluddin.

Naskhah tulisannya yang mendapat perhatian ramai seperti The Concept of Bid'a and Its Application, Nisf-Sha'ban Virtues in the Authentic Sunah, Hadithi Commentary on the Shamaa'el of Imam Tirmidhi dan Explanation of the Al Fiyyah in Hadith Terminology.

Karya berjudul Menzahirkan Gembira di Atas Kelahiran Cahaya antara yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan mengupas perbahasan mengenai hukum meraikan Maulid Nabi serta hujah berkaitan dengannya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang mikrobiologi University of Illinois ini sempat berkongsi impiannya yang begitu besar untuk melihat Islam mampu mengatasi pelbagai cabaran globalisasi terutama sekatan daripada sesetengah masyarakat dunia yang berfahaman sekular.

Katanya, umat Islam perlu lebih bersedia mendepani pelbagai kemelut semasa dalam erti kata lain mempersiapkan setiap Muslim dalam memahami Islam daripada perspektif yang betul, iaitu agama mencerminkan kasih sayang, kedamaian dan bersifat toleransi bukan saja termasuk dalam kalangan orang bukan Islam.


Sheikh Dr Muhammad Yahya Al-Husayni An-Ninowy.

Info: Muhammad Yahya al-Ninowy

Umur: 52 tahun
Tempat lahir: Aleppo, Syria
Tempat tinggal: Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat
Status: Berkahwin, tiga orang anak
Kerjaya: Pengasas dan Pengarah Institut Madina
Bidang kepakaran: Hadis.

411 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »