Khamis, 4 Oktober 2018 | 9:18pm
MASJID Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak di sini yang tersegam indah dan penuh dengan seni bina halus Melayu. - Foto Fathil Asri
SET geduk (Indonesia) di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri
MASJID Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak di sini yang tersegam indah dan penuh dengan seni bina halus Melayu. - Foto Fathil Asri
SET geduk (Indonesia) di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri

Masjid Ar-Rahman sulam keunikan seni bina Melayu, Islam

Setiap inci binaan Masjid Ar-Rahman menampilkan keunikan seni bina Islam dan Melayu. Tersergam indah di Pulau Gajah di Sabak, ia turut menerapkan gabungan hiasan binaan dari empat negara luar iaitu Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.

• Penderma individu biaya kos pembinaan.

• Turut sumbangkan idea dan konsep seni bina masjid berpandukan pengalaman berkunjung ke luar negara

• 10 pekerja Indonesia hasilkan lebih 90 peratus ukiran tangan pada masjid, separuh daripadanya ayat suci al-Quran

• Sudut pandangan atas memberi gambaran seolah-olah masjid berada di sebuah pulau kecil

• Rimbunan pokok dan parit yang mengelilingi menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada masjid

KOTA BHARU: Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah, dekat Sabak, di sini tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Melayu, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.

Dari reka bentuk luaran hingga perincian dalaman, setiap butiran seni bina mencerminkan kedamaian dan ketenangan, malah binaan turut dikelilingi hutan dan parit mewujudkan panorama semula jadi.

Melangkah masuk Masjid Ar-Rahman cukup mengujakan apabila setiap langkah disambut pemandangan gerbang besar yang dibina tinggi menggunakan kayu cengal.

Masjid Ar-Rahman mula dibina pada awal 2016 untuk menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah, selepas melihat keadaan masjid lama Pulau Gajah yang semakin sempit.


SET geduk (Indonesia)di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri

Pembinaan masjid di atas tapak seluas 0.8 hektar itu mengambil masa kira-kira dua tahun dan kini ia mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Uniknya, khidmat 10 pekerja dari Indonesia diguna pakai untuk menghasilkan lebih 90 peratus ukiran tangan pada masjid, separuh daripadanya ukiran ayat suci al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman, Hasan Mahmood, berkata pembinaan masjid dengan kos lebih RM6 juta itu hasil sumbangan penderma individu, malah pelan serta idea pembinaan juga cetusan daripada hamba Allah itu.

Seni bina empat negara

Menariknya, beliau berkata, binaan Masjid Ar-Rahman ini, ia turut mempertontonkan gabungan hiasan dari sekurang-kurangnya empat negara, selain seni bina Melayu.


HASAN Mahmood berdiri salah satu pintu masuk masjid dari Yaman di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri

“Dua pintu masuk masjid contohnya dari Yaman, tiang tempat imam solat pula dari Maghribi. Set geduk berasal dari Indonesia dan lakaran al-Quran dalam bulatan di tengah siling pula dibawa dari Turki.

“Rahsianya, individu yang membiayai pembinaan Masjid Ar-Rahman ini sering merantau ke luar negara terutama Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki. Dari situlah cetusan idea hiasan dimanfaatkan.

“Malah pintu kayu berusia ratusan tahun yang dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran di hadapan tempat Imam solat diimport dari Magribi. Harganya saya tidak tahu kerana semuanya diuruskan penderma,” katanya.

Keunikan Masjid Ar-Rahman tidak terbatas pada pandangan luar dan dalam bangunan, sebaliknya sudut pandangan atas memberi gambaran lebih menarik seolah-olah masjid berada di sebuah pulau kecil.


TEMPAT mengambil wuduk di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri

Pemilihan lokasi masjid yang dikelilingi parit dan rimbunan pokok turut memberi kelebihan apabila menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada binaan itu, selain lokasi juga terletak di hujung kampung.

Aspek kemudahan diutamakan

Mengenai aspek kemudahan, Hasan yang juga Imam Tua Masjid Ar-Rahman.

berkata, tempat letak kenderaan yang luas untuk kemudahan jemaah disediakan, malah bumbung parkir juga dipasang panel solar bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik.

“Secara peribadi, saya tidak pernah menjejak kaki ke dalam masjid seindah ini. Ia memberi gambaran seolah-olah berada di sebuah masjid yang dibina oleh Wali Songo, penyebar Islam di tanah Jawa di Indonesia pada abad ke-14.


PINTU gerbang di Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah, Sabak. - Foto Fathil Asri

“Seorang pengunjung wanita turut menitiskan air mata melihat keindahan dan ukiran seni halus ayat al-Quran di masjid ini kira-kira dua bulan lalu, kerana tidak menyangka masjid sebegini indah mampu dibina orang Melayu,” katanya.

Mengenai cetusan idea pembinaan, Hasan berkata, pada mulanya dia meminta pertolongan seorang hamba Allah untuk membesarkan masjid lama.

“Saya terkejut apabila individu berkenaan menawarkan untuk membina masjid baharu di atas tanah miliknya sendiri dan bagi kami, ia ibarat anugerah,” katanya.

Info: Masjid Ar-Rahman

• Lokasi: Kampung Pulau Gajah di Sabak, Kota Bharu

• Dibina 2016 dengan kos RM6 juta dan memakan masa dua tahun untuk disiapkan

• Mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa

• Masjid diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)

Berita Harian X